BAHAGIAN TIGA: PANDUAN- PANDUAN DI DALAM MENG INGAT KANDUNGAN MUKA SURAT 1. LATIHLAH OTAK ANDA SUPAYA BERFIKIR DENGAN ISYARAT ………25 2. JAUHKAN GANGGUAN FIKIRAN………………………………………………..26 3. MEMPERKUKUHKAN INGATAN…………………………………………….…..27 4. KENALI DIRI ANDA…………………………………………………………….. ...27 5. JADIKAN TIDUR ANDA BERMANFAAT………………………………………..28 6. SEDIAKAN RUANG UNTUK LATIHAN………………………………………….29 7. BIARKAN OTOT MELAKUKAN PERINGATAN………………………………..30 8. JANGAN GUNAKAN CARA BELAJAR YANG SAMA BERULANG………....30 9. JANGAN GUNAKAN CARA BELAJAR YANG SAMA BERULANG………….31 10. PENDEKKAN SETIAP SESI BELAJAR……………………………………….….32 11. BEREHAT KETIKA BELAJAR…………………………………………………...32 12. SENTIASA MENGULANGKAJI NOTA YANG TELAH DIBUAT…………..….33 13. CARA MENGINGAT…………………………………………………………………33 14. MENFAATKAN KERJA RUMAH ANDA………………………………………….34 15. AKTIVITI BELAJAR BERKUMPULAN……………………………………….35 16. MEMERAH OTAK YANG EFEKTIF………………………………………………36 PANDUAN MENGINGAT 1 : LATIHLAH OTAK ANDA SUPAYA BERFIKIR DENGAN ISYARAT Belajar mengandungi 2 bahagian iaitu belajar dan mengingat. Belajar ialah fakta atau idea dan memahaminya. Mengingat pula ialah menyimpan maklumat-maklumat tersebut untuk ingatan jangka panjang di dalam otak anda. Untuk tujuan ujian dan peperiksaan kedua-duanya adalah amat diperlukan. Mengingat boleh berlaku dengan dua cara iaitu cara menghafal atau menggabung-jalinkan. Hafalan ialah apabila anda mengulang-ulangkan sesuatu berkali-kali. Ini akan dihuraikan dalam Panduan Mengingat 13 nanti. Gabung-jalin pula ialah apabila anda menggabungkan dua perkara bersama-sama di dalam fikiran anda. Ia lebih baik dan berkesan daripada hafalan. Oleh itu adalah lebih mustahak supaya menggunakan teknik ingatan gabung-jalin ini sekerap dan sebanyak yang mungkin. Isyarat yang pertama ialah mencari alasan untuk mengingat apakah yang telah anda baca wlaupun ia adalah soalan sampingan yang kurang markahnya di dalam peperiksaan nanti. Anda akan kurang menghadapi masalah jika sekiranya anda dapat menyakinkan diri bahawa ia adalah sesuatu yang penting untuk diingati. Tetapkanlah untuk mengingat, bukan sekadar untuk mengingat sahaja tetapi mengingatinya sehingga ke akhir semester ataupun sehingga peperiksaan akhir nanti. Pasti anda akan berjaya. Isyarat yang kedua ialah pergunakanlah dengan sebaik mungkin faktor masa dan tempat. Cubalah untuk belajar matapelajaran yang sama pada masa yang sama dan di tempat yang sama pada setiap hari. Anda akan dapati apabila tiba sahaja masanya anda merasa sudah bersedia untuk belajar. Apabila anda sudah biasa belajar Matematik pada pukul 3 petang di dalam bilik anda, setiap petang ; anda tidak akan menghabiskan banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan matapelajaran, masa dan tempat tersebut. Dengan ini anda akan dapat menjimatkan masa dan mengingat dengan lebih banyak daripada apa yang anda baca. Untuk ulangkaji juga gunakanlah masa dan tempat yang sama bagi sesuatu matapelajaran. Anda akan dapat belajar dengan cepat dan mengingat dengan lebih banyak seperti sewaktu anda belajar juga. Satu lagi cara untuk melatih otak anda berfikir dengan isyarat ialah dengan menggunakan teknik Gabung-jalin. Apabila memulakan pelajaran, jangan terus pergi ke tajuk yang baru. Sebaliknya luangkan seminit atau dua untuk berfikir dan mengingat apa yang telah anda pelajari sebelum ini, apakah kaitannya dengan tajuk yang baru. (Sepatutnya anda sudah membuat garis kasar sukatan pelajaran sebelum kelas bermula pada minggu-minggu awal. Lihatlah Panduan Belajar 1 jika anda masih belum menyiapkannya). Satu atau dua minit berfikir itu menghidupkan dan mengaktifkan semua saraf yang akan terlibat dengan apa yang akan anda pelajar.. Untuk memastikan hasil yang sempurna, anda perlu memiliki satu jadual waktu belajar yang akan ikuti dan patuhi. Kebanyakan buku panduan belajar ada menyentuh tentang perkara ini dan menunjukkan langkah-langkah bagaimana untuk membuat jadual waktu belajar. Kami pasti anda sudahpun ada dan yang menjadi masalahnya ialah mematuhi. Jangan terlalu memaksa diri anda. Jadilah seorang yang realistik dan mudah mengubahsuaikan diri dengan keadaaan. Tentukan berapa lamakah anda ingin belajar dan pecahkannya kepada beberapa bahagian untuk setiap matapelajaran. Guru menghendaki anda belajar dua jam bagi setiap satu jam kelas. Tetapi pada kenyataannya ada matapelajaran yang memerlukan masa yang lebih panjang daripada matapelajaran yang lain. Anda tidak dapat membuat jadual waktu belajar dengan tepat kecuali sudah melalui beberapa minggu yang awal dan dapat mengenalpasti sejauh manakah kesukaran sesuatu matapelajaran itu. Satu perkara penting yang perlu diingatkan bagi kebanyakan orang, otaknya bekerja dengan baik pada siang hari. Kajian menunjukkan bahawa setiap satu jam belajar pada waktu siang hari adalah sama baiknya dengan belajar selama satu jam setengah pada malam hari. PANDUAN MENGINGAT 2 : JAUHKAN GANGGUAN FIKIRAN Otak kita seperti sebuah radio, ada di antara kita mempunyai alat kawalan frekuensi secara automatik manakala yang lainnya tidak. Orang seperti ini boleh belajar ketika sedang menonton siri drama seram ‘Nightmare On Elm Street’! Kebanyakan gangguan diterima melalui pancaindera yang lima iaitu penglihatan, pendengaran, penghiduan, sentuhan dan rasa. Cara untuk mengawal pancaindera ini adalah mudah jika anda memikirkan tentangnya. Jika anda belajar di dalam bilik, jauhi daripada tingkap dan tutupkanlah semua pintu. Menghadap dinding yang kosong adalah cara yang paling baik. Jika anda belajar di perpustakaan atau di bangunan sekolah, pastikan anda memilih tempat yang jauh daripada tempat orang lalu lalang. Pastikan juga tidak ada bau-bauan terutamanya bau makanan sampai ke hidung anda. Jika anda seorang yang tidak boleh berhenti daripada mengunyah, pastikan ada makanan ringan untuk anda kunyah berada dekat dengan anda seperti kacang goreng. Ini akan menghalang anda daripada memikirkan tentang apakah yang ingin anda makan. Hentikan sebaik mungkin tabiat-tabiat buruk seperti menggigit kuku dan memintal rambut. Jika tidak anda akan hanya menghabiskan masa memikirkan tentang kuku dan rambut anda sahaja. Cara yang paling baik untuk menghentikan perbuatan-perbuatan seperti ini ialah dengan memegang pen atau pensil dan memikirkan tentang nota yang akan anda buat. Setiap orang mengetahui bahawa suara orang berbisik sama kesan gangguannya dengan bunyi muzik yang menggila. Sungguhpun begitu, masih ada yang beranggapan bahawa bunyi muzik tidak menganggu pembelajaran. Dr. Mock T. Henderson membuktikan bahawa pelajar-pelajar kolej dapat belajar dengan baik apabila keadaan sekeliling sunyi sepi daripada sebarang bunyi. Sungguhpun begitu, sekiranya anda masih perlukan bunyi-bunyian sebagai latarbelakang sewaktu belajar, pastikan ia adalah muzik yang sentimental. Anda boleh mengurangkan gangguan fikiran dengan menyediakan peralatan yang diperlukan sewaktu belajar sesuatu matapelajaran. Contohnya kalkulator sewaktu belajar matematik. Jika anda tidak menyediakan peralatan-peralatan tersebut terlebih dahulu, pembelajaran akan terganggu apabila terpaksa memikirkan di manakah anda meletakkannya, setelah itu anda mempunyai masalah dan membuang masa mencari dan mengambilnya. Kemudian anda akan menghadapi masalah mendapatkan semula ‘mood’ belajar yang sudah terganggu itu. Punca gangguan yang lain perkara-perkara yang tidak berkaitan yang perlu kita ingatkan seperti tarikh peperiksaan, kelas tambahan atau tuisyen. Tuliskan perkara-perkara ini di atas kertas dan lekatkannya di tempat-tempat yang mudah anda lihat seperti berhampiran dengan cermin muka. Buatkan satu kalendar lengkap dnegan ruangan khas untuk anda menuliskan catatan perkara-perkara yang perlu anda lakukan pada hari itu ataupun hari-hari yang tertentu. Masukkan tarikh-tarikh lahir, surat-surat yang perlu ditulis dan dibalas dan soalan-soalan yang ingin anda tanyakan kepada guru. Semua ini akan mengurangkan gangguan fikiran anda. Gangguan perasaan adalah satu lagi perkara yang paling sukar diatasi dan yang paling mengganggu pembelajaran. Jika anda sedang dilamun cinta, marah kepada seseorang, anda akan dapati sukar untuk belajar. Cubalah untuk mengatasi masalah-masalah ini supaya tidak mengganggu pembelajaran anda. Dapatkan nasihat daripada kawan-kawan, guru-guru, ibu bapa ataupun guru-guru kaunseling untuk mengatasi masalah ini sebelum ia menjadi lebih parah lagi. Satu-satunya perasaan yang dapat membantu dalam pembelajaran ialah perasaan keinginan yang amat sangat. Jika anda terlalu ingin untuk lulus di dalam peperiksaan, ia akan membantu anda untuk mengingat fakta-fakta penting. Sungguhpun begitu, pastikan perasaan tersebut sesuai dengan tempatnya. Contohnya risaukan tentang matematik ketika anda sedang belajar matematik kerana ia akan banyak membantu. Tetapi adalah perkara yang sia-sia untuk risaukan tentang Matematik sewaktu anda sedang belajar Ekonomi. Gangguan fikiran juga berlaku sekiranya anda belajar perkara yang seakan-akan sama berturutan. Boleh jadi apa yang telah anda pelajari akan mempengaruhi apa yang akan anda pelajari ataupun sebaliknya. Contohnya matapelajaran Matematik dan Statistik.