PANDUAN MENGINGAT 3 : MEMPERKUKUHKAN INGATAN Bila anda benar-benar mempunyai ingatan yang baik, anda akan melupakan sekurang-kurangnya ¼ daripada apa yang telah anda pelajar menjelang penghujung setiap hari. Jangan merasa hairan jika banyak yang anda lupakan menjelang tibanya malam. Cara yang paling baik untuk mengekalkan ingatan yang kemudiannya diuji ialah dengan memperkukuhkan daya ingatan kita. Ahli-ahli sains telah menetapkan jadual yang paling berkesan untuk memperkukuhkan ingatan bagi jangkasama panjang. Cara yang paling baik ialah dengan mengulang-ulangkan apa yang telah dipelajari selepas setiap 5 minit belajar, sekali lagi pada hari yang sama, sekali lagi pada keesokan harinya, sekali selepas seminggu, sekali selepas sebulan dan sekali sebelum ujian atau peperiksaan. Anda akan didedahkan bagaimana untuk melakukan ulangkaji yang tidak membebankan apabila terus membaca buku ini. Apa yang paling penting sebelum mengulangkaji ialah pastikan fakta-fakta yang betul dan tepat sahaja yang perlu diingati. Oleh itu pastikan anda mempunyai nota yang betul-betul baik. Jika anda membaca Panduan Belajar 11, tentu anda akan telah mengetahui mengapa ini amat penting. Berhati-hatilah ketika anda cuba untuk mengingat semula perkara-perkara yang kecil dengan lebih teliti. Fikiran anda adalah seperti Tukang Karut yang amat bijak menambahkan yang tidak-tidak. Kadang-kadang ia kelihatan seperti betul dan tepat. Oleh itu pastikan untuk menyemak 2 atau 3 kali apa yang ingin anda ingati sebelum anda menyimpannya di dalam otak anda. Untuk tujuan yang sama, perbetulkan segala maklumat dan kefahaman yang salah sebaik sahaja anda mengenalinya. Perbetulkan kesalahan yang anda temui dengan sebaik mungkin. Jika anda membuat kerja rumah, ulang semula jawapan dan jalan penyelesaian yang salah dengan jalan penyelesaian dan jawapan yang betul. Gunakanlah segala peluang yang ada untuk mengenalpasti tempat yang anda kira fikiran anda melakukan kesalahan. Jika guru selalu memberikan kuiz atau ujian, maka anda adalah bernasib baik. Tetapi kebanyakan guru dan sekolah hanya mempunyai beberapa ujian penggal atau semester sebelum ujian akhir atau peperiksaan-peperiksaan yang penting. Dalam hal ini anda cubalah untuk mencari buku latihan yang mempunyai jawapan di belakangnya dan latihlah diri anda melakukannya dalam tempoh masa yang tertentu. Jika anda boleh mengenalpasti ketepatan jawapan anda, menunjukkan daya ingatan anda sudah bertambah. PANDUAN MENGINGAT 4 : KENALI DIRI ANDA Jumlah perhatian yang anda berikan terhadap sesuatu matapelajaran sama pentingnya dengan jumlah masa yang anda gunakan untuknya. Semakin banyak anda sedar apa yang sedang anda pelajari, semakin banyak yang anda dapat. Kesedaran kita semakin berkurang dari waktu kita bermula sehingga sesuatu tugas yang kita lakukan itu selesai. Bahagi-bahagikan jadual waktu belajar anda supaya matapelajaran-matapelajaran yang sukar dipelajari ketika kesedaran anda berada di tahap yang tinggi. Simpankan matapelajaran yang mudah menyeronokkan kemudian supaya nanti anda akan terhalang daripada rasa mengantuk. Kesedaran kita boleh dibahagikan kepada dua kawasan yang penting dan utama. Ada di antara kita yang kesedarannya tinggi pada waktu siang dan lemah pada waktu malam. Ada pula yang taraf kesedarannya tinggi pada waktu malam tetapi lemah pada waktu siang. Ada yang bangun dengan cergas dan bersemangat pada waktu pagi dan beransur-ansur lemah menjelang malam. Cuba kenal pasti anda berada di dalam golongan yang mana? Jika anda aktif pada sebelah siang, membaca sebelum sesuatu pelajaran bermula adalah amat baik. Sebaliknya jika anda aktif pada sebelah malam, tumpukan untuk belajar pada sebelah malam. Sungguhpun begitu, kadangkala kita cenderung untuk tertidur atau terlelap pada waktu kesedaran kita tinggi. Saintis memanggilnya sebagai “hayunan” dan ia muncul setiap 2 atau 3 jam yang bertahan antara seminit atau dua sehingga kepada ½ jam ataupun lebih. Hayunan ini berbeza di antara seorang dengan seorang yang lain. Jangan cuba untuk belajar pada waktu hayunan ini. Anda mungkin akan dapat mengingat sebahagian sahaja daripada apa yang telah anda pelajari. Dalam pada ini jangan terus tidur kecuali anda orang yang akan berasa cergas dan segar semula selepas tertidur dua atau tiga minit. Sebaliknya lakukan latihan dan pergerakan fizikal seperti bersenam atau berjalan-jalan, membersihkan meja, bermain gitar atau berbual-bual. Jika anda sering merasa begini pada waktu 4 hingga 4.30 petang, bolehlah anda jadualkan waktu ini untuk berbincang dan belajar dengan kawan-kawan anda. Salah satu ‘hayunan’ yang lain ialah ia membuat kita banyak mengingati perkara yang berada pada peringkat permulaan dan penutup sementara isi di tengah-tengah sering dilupakan. Apabila mengulangkaji, gabung-jalinkan atau katakan apa yang telah anda pelajari semalam atau minggu lepas supaya apa yang berada di tengah-tengah itu menjadi permulaan atau penutup. Salah satu cara untuk menghalang kelupaan jenis ini ialah dengan membaca dengan kuat ketika mengulangkaji. Sesuatu yang dibacakan dengan kuat dan berulang-ulang akan dengan sendirinya menambahkan jumlah ingatan pada kadar 25 hingga 100%. PANDUAN MENGINGAT 5 : JADIKAN TIDUR ANDA BERMANFAAT Dahulu ada dijalankan kajian untuk membuktikan bahawa manusia boleh belajar sewaktu tidur. Orang yang melakukan kajian ini masuk tidur dengan pita rakaman dipasangkan ditelinganya. Mereka gagal dalam kajian tersebut. Manusia tidak boleh belajar ketika sedang tidur atau dalam keadaan separuh sedar. Apabila anda tiba-tiba terjaga pada waktu malam dan terus membaca, kemungkinan besar anda tidak akan dapat mengingat apa yang telah anda baca dalam keadaan separuh sedar itu. Sungguhpun begitu ada perbezaan yang besar dan nyata di antara belajar dan mengingat. Dalam kes mengingat, tidur dapat membantu anda dengan dua cara. Pertama, ada kaitnya dengan faktor pengganggu seperti yang telah dibincangkan dalam Panduan Mengingat 2 dahulu. Semakin banyak gangguan semakin sukar untuk mengingat. Begitulah sebaliknya. Semakin sedikit gangguan yang anda hadapi, semakin banyak yang anda dapat ingat. Gangguan fikiran berada pada tahap paling minima ketika anda sedang tidur. Memandangkan hal yang demikian, adalah penting supaya dapat anda menggunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya jika anda akan menghadapi ujian keesokan harinya, cubalah untuk mengulangkaji fakta-fakta dan idea-idea yang penting setelah anda melakukan ulangkaji secara menyeluruh. Ketika anda berada dalam keadaan sedar. Kemudian simpankan buku anda dan masuk tidur sedang fikiran anda tetap meneguhkan lagi ingatan-ingatan anda sepanjang malam. Penyelidik-penyelidik juga telah mendapati dengan tepat bahawa anda memerlukan sekurang-kurangnya 4 hingga 6 jam tidur yang selesa untuk membolehkan anda mempunyai ingatan yang segar keesokan harinya. Jika anda berjaga sepanjang malam membaca untuk peperiksaan pada pukul 8.00 pagi - 9.00 pagi nanti, anda sebenarnya sedang menipu diri sendiri. Dalam pada itu tidak perlu tergesa-gesa untuk masuk tidur. Lakukan sesuatu yang menyenangkan dan merehatkan fikiran. Jika anda belajar pada waktu siangnya, pergilah bersembahyang dan berdoa. Ini lebih baik dan kadang-kadang lebih berkesan daripada berjaga dan belajar sepanjang malam. Kenalilah diri anda. Tentukan sama ada anda orang yang bangun awal dan boleh terus belajar atau jenis yang memerlukan sejam atau dua sebelum memulakan pelajaran pada awal pagi. Aturkanlah jadual anda berdasarkan tabiat anda itu.