PANDUAN MENGINGAT 6 : SEDIAKAN RUANG UNTUK LATIHAN Minda Separa Sedar ( MSS ) bertugas untuk memperkukuhkan lagi ingatan ketika anda sedang tidur atau melakukan kerja-kerja yang lain. Gunakanlah peluang ini sebaik-baiknya. Sediakan ruang latihan yang mencukupi supaya MSS anda sentiasa bekerja dalam waktu itu. Salah satu sebab mengapa ruang untuk latihan ini perlu ialah kerana kesan Ziegarnik (nama orang yang menemuinya). Menurut Ziegarnik otak kita cenderung untuk mengingat sesuatu yang masih belum kita selesaikan. Ia cenderung untuk melupakan apa yang dianggapnya sebagai tidak perlu untuk diingat lagi oleh kita. Itulah sebabnya mengapa begitu sukar untuk mengingat kembali faktor-faktor penting yang kita baca untuk menghadapi peperiksaan pada tahun lalu. Itulah juga sebabnya mengapa kami memberitahu anda supaya belajar dengan tujuan untuk ingatan jangka panjang dalam Panduan Mengingat 1 yang lalu. Seperkara lagi yang perlu diingat oleh pelajar tentang cara fikiran kita mengingat ialah ia tidak memerlukan usaha yang berat dan bersungguh-sungguh. Kerja mengingat ini boleh dilakukan sambil makan, berlari atau menari. Biarkan fikiran anda melakukan tugasnya bersendirian. Fikiran lebih cenderung untuk bekerja menyelesaikan masalah yang menarik baginya. Kebanyakan kita menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang diminati. Helah untuk menpengaruhi fikiran supaya mengingatkan apa yang sepatutnya ialah dengan mencuba sedaya upaya untuk memfokuskan kepada idea-idea atau fakta-fakta yang ingin kita ingati itu pada minit-minit yang pertama yang sedang anda lakukan sama ada makan, berlari atau menari. Sungguhpun begitu perlu disedari tentang Hukum Pulangan Bertambah Kurang. Jika anda belajar dan mengulangkaji berlebihan, anda akan cenderung untuk melupakannya selepas melepasi satu-satu tahap masa yang tertentu. Kepada kebanyakan orang, tempoh masa untuk mengulangkaji adalah seperti berikut : Ulangkaji pertama : selepas 10 - 15 minit belajar kedua : pada bila-bila masa dalam hari yang sama ketiga : seminggu kemudian keempat : sebulan kemudian kelima : sebelum peperiksaan Tempoh ini boleh dilonggar dan diketatkan lagi bergantung kepada bagaimana sukar atau membosankan sesuatu mata pelajaran itu. Di sinilah letaknya kepentingan menghidupkan minat dan kesungguhan untuk belajar. Semakin banyak faktor yang perlu diingat, semakin banyak latihan yang diperlukan. Untuk kesan yang lebih baik pecahkan ulangkaji untuk peperiksaan akhir anda kepada 2 masa. Pertama belajar pada waktu petang sehari sebelum peperiksaan. Sungguhpun begitu segera anda berhenti apabila anda mendapati bahawa kesedaran anda mula pudar dan anda mula merasa mengantuk atau bosan. Masa yang kedua ialah buat pengukuhan ingatan secara sepintas lalu sebaik sahaja anda bangun daripada tidur. Bagaimana untuk mengulangkaji 5 - 10 minit selepas belajar? Cara yang paling mudah ialah tutup semua buku dan pergi berjalan-jalan buat seketika dan jangan terlalu lama. Kemudian duduk semula dan tuliskan kembali apa yang sepatutnya anda ingat seperti ringkasan, tarikh, hukum dan nama (Ini sudah diterangkan dengan panjang lebar dalam Panduan Belajar 5 dan 9). Selepas selesai menuliskannya, segeralah menyemaknya kembali dengan berpandukan kepada buku teks untuk memastikan apa yang anda ingati itu adalah betul dan tepat. Dalam hal ini mengulangkaji kedua merupakan ulangkaji yang ringkas semua fakta penting bagi semua mata pelajaran sebelum anda masuk tidur. Lima minit bagi setiap mata pelajaran sudah memadai. Di dalam kelas pula gunakan masa selepas mata pelajaran itu untuk melihat sepintas lalu tajuk-tajuk penting yang telah dibincangkan. Sungguhpun begitu bersedialah untuk melakukan ulangkaji ringkas untuk kelas yang berikutnya. Untuk ulangkaji di rumah, rujuk buku nota yang diambil sewaktu di dalam kelas dan buat nota yang lebih ringkas (lihat Panduan Belajar 9). Ulangkaji selama 2 minit nota hari sebelumnya untuk kelas hari ini supaya anda dapat menjadikannya sebagai ulangkaji yang kedua (dalam Panduan Mengingat 9 anda akan diterangkan dengan pelbagai cara untuk mengulangkaji). Apa yang penting ialah cuba untuk selalu menguji daya ingatan anda tanpa merujuk kepada nota. Walaupun begitu jangan lakukannya dengan secara berlebihan kerana anda akan cepat menjadi bosan. Tetapi latihan otak yang kerap dan teratur secara berulang-ulang akan menjadi sebagai latihan dan persediaan sebelum tiba ujian yang berikutnya. PANDUAN MENGINGAT 7 : BIARKAN OTOT MELAKUKAN PERINGATAN Para pelajar menghabiskan banyak masa mencuba untuk menyimpan fakta di dalam kepala mereka dengan beranggapan bahawa di situlah tempat fakta disimpan. Tetapi sebenarnya otot kita mempunyai ingatan yang lebih kuat daripada otak. Pada satu ketika, kami melihat orang tua berusia 68 tahun menunggang basikal untuk pertama kalinya selepas 40 tahun. Selepas beberapa kali percubaan mengayuh beliau telah dapat mengimbangkan dirinya. Walaupun kepalanya mampu untuk mengingat kembali kurang daripada 10% fakta yang telah dipelajarinya 28 tahun lalu, tetapi ototnya telah membekalkan 90% daripada ingatan itu yang membolehkannya melakukan sesuatu yang telah ditinggalkan begitu lama. Itulah sebabnya mengapa tindakan mengambil nota akan dapat membantu anda mengingat dan meningkatkan pencapaian di dalam peperiksaan daripada hanya mendengar semata-mata. Ini adalah kerana tindakan mengambil nota itu adalah satu aktiviti otot. Walau bagaimanapun menaip tidak membantu otot untuk mengingat, kecuali jika anda dibenarkan untuk menaip di dalam dewan peperiksaan. Walau bagaimanapun, ada pelajar yang tidak dapat mendengar dengan baik ketika mengambil nota. Nota yang diberi oleh guru atau yang boleh dibeli adalah banyak membantu. Tetapi cara yang paling baik ialah dengan menuliskan semula nota itu dan mengubah sebanyak mungkin perkataan dengan mengekalkan isi-isinya. Untuk melakukan ini anda terpaksa memikirkan apa yang sedang anda tuliskan dan ini menggerakkan otot untuk mengingat. Anda mungkin berfikir bahawa banyak fakta yang ketinggalan ketika mengambil nota. Tetapi kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa anda lebih banyak ketinggalan jika hanya mendengar sahaja dan cuba untuk menulis nota selepas itu. Begitu juga halnya jika anda merujuk kepada nota orang lain biar betapa teliti sekalipun. Kajian menunjukkan bahawa anda akan mengingati lebih banyak jika otot-otot digunakan untuk menulis dengan tindakan mengambil nota. PANDUAN MENGINGAT 8 : LIHAT DAN SEBUTKAN Sewaktu di sekolah rendah dahulu kita selalu didedahkan dengan aktiviti lihat dan ceritakan. Ia menghiburkan di samping guru mengetahui bahawa ia membantu kita untuk mengingat. Ini adalah kerana ia menggabungkan 2 pancaindera yang kuat iaitu penglihatan dan pendengaran. Jika kita menghubungkan sesuatu fakta dengan imej yang boleh kita lihat, kita akan mengingatinya dengan lebih baik. (Bayangkan tentang orang tua yang sedang menunggang basikal dan idea yang cuba diketengahkan dalam panduan sebelum ini). Jika kita mendengar orang lain menerangkan sesuatu kepada kita ia juga dapat membantu kita untuk mengingatinya. Dengan sebab itu pergunakanlah penglihatan dan pendengaran untuk membantu anda mengingat. Bentukkanlah rajah-rajah dan lain-lain bentuk yang boleh dilihat terhadap nota-nota anda seperti yang ditunjukkan dalam Panduan Belajar 9. Cubalah belajar untuk mengingatnya. Contohnya fikirkan tentang filem “Bukit Kepong” untuk mengingat tentang komunis di Tanah Melayu. Ingatan cara begini juga adalah rahsia kebanyakan ahli-ahli silap mata yang terkenal. Untuk membuat pendengaran membantu anda, perlulah anda berbincang dengan rakan-rakan. Jika anda mempelajari bahasa asing, contohnya, cubalah supaya selalu menyebut dan menggunakannya atau menyebutkan dengan kuat bersama-sama dengan guru dan rakan-rakan anda di dalam kelas. Apabila anda membaca sesuatu bab, ringkaskan kepada beberapa bahagian dan sebutkannya satu persatu. Terangkan kepada diri anda sendiri dan kaitkannya dengan pelajaran-pelajaran yang telah lalu (baik dilakukan ketika anda sedang belajar bersendirian). Gabungkan teknik lihat dan sebutkan. Terangkan tentang imej-imej yang anda bina di dalam fikiran untuk mengingat sesuatu atau idea. Kemudian gabungkan teknik-teknik ini dengan daya ingatan otot anda. Sambil anda menulis sebutkan perkataan itu kuat-kuat. Sambil membuat rajah, terangkan perkaitan-perkaitannya. Gabungkan ketiga-tiga dan anda akan mendapat manfaat yang lebih 3 kali ganda daripada membaca seperti yang biasa anda lakukan.