PANDUAN MENGINGAT 13 : CARA MENGINGAT

Apabila kita mengingat sesuatu fakta, ia akan berberkas di dalam otak kita, cara untuk mengingatinya bagi jangka masa panjang ialah dengan mengaitkannya dengan maklumat lain yang sedia ada di dalam kepala anda. Tujuannya ialah semakin banyak anda mencari gabungan sesuatu maklumat itu, semakin mudah ia diingati. Berikut adalah cara-cara untuk menguatkan ingatan :

1. Gabungkan. Kaitkan sesuatu yang ingin anda ingat dengan sesuatu yang sudah lama anda ingat. Contohnya ingatkan nombor telefon kawan anda dengan tarikh lahir anda atau tarikh-tarikh lain yang penting.

2. Bayangkan. Tentang sesuatu perkara yang ingin anda ingat dengan sesuatu imej atau gambar yang sentiasa bermain diingatan anda. Contohnya bayangkan tentang pelangi untuk mengingat warna-warna pelangi itu sendiri.

3. Sebutkan. Apabila anda menyebutkan sesuatu fakta penting dan ingat dengan kuat ia akan membantu anda mengingatinya.

4. Kependekan. Buatkan kependekan yang ringkas dan mudah diingat seperti OK4R yang telah di bincangkan. Cara yang lain ialah dengan Mnemonics, memilih perkataan mula bagi setiap fakta menjadi ayat yang bermakna. Formula yang berbentuk seperti Y = C + I + G juga terdapat membantu mengingati fakta yang berkaitan dengannya. Ada setengahnya memerlukan hafalan seperti sajak, dialog

. Pecahkan kepada bahagian-bahagian kecil dan ingatkan kata kunci setiap bahagian. Apa yang penting ialah keyakinan bahawa anda akan terus mengingati sesuatu perkara itu. Jika anda merasa yakin ingatan itu akan kekal lebih lama diingatan anda. Di samping itu cuba untuk memikirkan sesuatu perkara yang ingin anda ingat dalam jangkamasa tertentu. Semakin lama masa yang diberikan semakin lama ingatan anda itu. Fakta yang sukar kelihatan lebih tahan lama kerana ia diperolehi dengan usaha yang lebih oleh itu berusahalah untuk menjelaskan tentang sesuatu fakta itu sebelum anda mengingatinya.

PANDUAN MENGINGAT 14 : MENFAATKAN KERJA RUMAH ANDA

Ada 2 cara yang boleh digunakan untuk menyiapkan kerja rumah. Cara yang pertama ialah dengan terus menyiapkan secepat yang boleh dan satu cara lagi ialah dengan membaca terlebih dahulu dan meneka apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut. Kebanyakan kerja rumah adalah bertujuan untuk membantu anda mengingat. Dengan itu anda perlu memahami apa yang sedang anda hadapi sebelum terus menyelesaikannya. Lakukan kerja rumah dengan berdasarkan ingatan anda dan kemudian semak dengan berpandukan kepada nota dan modul/buku teks. Jika angka yang digunakan terlalu kompleks, tukarkan dengan angka-angka yang lebih mudah sebelum anda menyemak. Semua jawapan yang anda buat mestilah disemak dan buat semula jawapan yang salah. Ia akan dapat melatih anda memperkukuhkan ingatan.

Ada pakar menyarankan supaya anda membaca 2 kali terlebih dahulu segala nota dan penerangan berkenaan sesuatu masalah sebelum cuba untuk menyelesaikan sebarang masalah atau soalan contoh. Kemudian gariskan apakah yang diinginkan oleh soalan serta langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyelesaikannya. Oleh kerana masalah di dalam Matematik dan Sains saling berkaitan di antara tajuk-tajuk, maka latihan yang anda buat adalah sebagai satu cara mengulangkaji yang tidak menyeksakan anda. Dalam menyelesaikan masalah gunakan ingatan-ingatan seperti gabungan, ingatan otot dan hafalan anda. Bagi matapelajaran bahasa pula, latihan amatlah penting. Gunakan perkataan yang baru sekurang-kurangnya 3 kali sehari sehingga anda biasa menggunakannya. Di samping itu ujian bertulis di dalam mata pelajaran juga memerlukan latihan yang banyak. Bagi soalan-soalan yang dikemukakan masing-masing mempunyai istilah yang biasa digunakan. Kadang-kadang ia mempunyai maksud yang hanya diketahui oleh guru itu sahaja. Contohnya : 1. Namakan, senaraikan, beritahu, memerlukan anda memberikan sahaja fakta penting yang diperlukan. 2. Ringkaskan dan gariskan bermakna memberi isi-isi penting. 3. Gambarkan atau terangkan memerlukan anda memberi contoh. 4. Buktikan memerlukan anda memberikan bukti-bukti. 5. Bincangkan memerlukan anda melihat sesuatu perkara dari semua sudut. 6. Bandingkan mengkehendaki anda menunjukkan sejauh mana persamaan dan perbezaan. 7. Nilaikan memerlukan anda memberikan kebaikan dan keburukan. 8. Terangkan memerlukan anda memberikan penerangan berdasarkan siri yang lojik dan teratur. Semua ini membantu anda untuk mengagak apakah yang dikehendaki oleh soalan. Jangan cuba untuk menerangkan sesuatu menurut yang anda ketahui kerana ia akan membuang masa dan merendahkan markah anda nanti.

PANDUAN MENGINGAT 15 : AKTIVITI BELAJAR BERKUMPULAN

Sesiapa yang pernah menonton siri drama perundangan ‘The Paper Chase’ tentu pernah membuat seseorang itu tertanya-tanya sama ada belajar dan mengingat boleh dilakukan dengan baik di dalam aktiviti berkumpulan. Ia bergantung kepada jenis kumpulan, tujuannya dan bilangan ahlinya. Perbezaan di antara belajar berkumpulan dengan tuisyen ialah tutor/pembimbing adalah seorang yang boleh diharapkan ketepatan apa yang diajarkannya. Apa yang diajarkannya boleh dipercayai sebagai benar dan tepat. Sebaliknya pelajar-pelajar di dalam aktiviti belajar berkumpulan belajar perkara yang sama di dalam masa yang sama. Ada sesetengahnya tahu dengan mendalam tentang tajuk yang dibincangkan tetapi kurang bijak dalam menerangkan apa yang diketahuinya. Jika anda bergantung kepada aktiviti belajar kumpulan sebagai satu sumber untuk mendapat maklumat, anda telah tersilap. Jawapan yang anda dapat tidak boleh dipertanggungjawabkan. Untuk mendapatkan kesan yang baik, berikut diperturunkan cara untuk menafaatkan aktiviti belajar berkumpulan.

1. Bila -

Sertai kumpulan belajar apabila anda telah belajar fakta dan idea yang sepatutunya diketahui. Dengan cara ini anda tidak akan tertipu dengan fakta-fakta yang salah

2. Mengapa -

Tujuan aktiviti berkumpulan ialah berbincang. Dengan ini ia dapat merangsang penglihatan, pendengaran dan percakapan anda dalam mengulangkaji apa yang telah anda pelajari untuk ingatan jangka panjang. Jika anda hanya mendengar sahaja, anda hanya mendapat satu daripada 3 kelebihan berbanding dengan anda menerangkan apa yang anda ketahui kepada orang lain dengan istilah yang tepat.

3. Bagaimana -

Sebarang cara yang membuat anda berfikir dan bercakap tentang fakta dan idea yang telah anda pelajari adalah cara yang baik. Jika anda belajar tentang idea, soal semasa sendiri soalan-soalan yang pernah keluar berbentuk esei. Ini adalah kerana salah satu aktiviti belajar berkumpulan yang baik ialah setiap seorang seharusnya bersedia dengan 5 soalan esei terlebih dahulu dan kemudian setiap ahli menjawab mengikut giliran masing-masing.

4. Di mana -

Pilihlah tempat yang jauh daripada gangguan supaya setiap ahli dapat memberikan sepenuh perhatian kepada bahan perbincangan. Pilihlah tempat yang minat atau kesungguhan ahli di dalam perbincangan tidak terhenti apabila ada yang mengatakan “Tolong Perlahan Sedikit”.

5. Berapa lama -

Salah satu kebaikan belajar dalam kumpulan ini ialah ia dapat menarik minat belajar terhadap mata pelajaran yang sukar dan membosankan. Ini akan dapat membantu menambahkan ingatan sungguhpun begitu, sentiasa ada kecenderungan untuk perbincangan keluar daripada tajuk misalnya berbincang tentang bola sepak ataupun tentang temu janji dengan teman wanita ataupun teman lelaki. Sejam yang penuh dengan tumpuan perhatian bagi setiap ahli kumpulan adalah memadai 4 jam perbincangan yang penuh dengan gelak ketawa dan main-main. 6. Siapa - Sesiapa sahaja yang memahami tujuan belajar berkumpulan boleh menjadi ahli. Bukan untuk belajar tetapi untuk berbincang tentang idea dan fakta yang telah dipelajari. Bukan untuk berbual mesra tetapi belajar. Ia membantu pelajar untuk lebih mengingat dan membantu pelajar yang pandai lebih bersedia. Menjadikan pelajar yang pendiam aktif dan membuat setiap ahli bersedia untuk mempertingkatkan pencapaian masing-masing.

PANDUAN MENGINGAT 16 : MEMERAH OTAK YANG EFEKTIF

Ada 2 cara memeras otak. Pertama anda memulakannya 3 hari sebelum peperiksaan akhir. Baca semua nota dan kumpulkan semua buku dan nota-nota tambahan yang berkaitan. Baca semua nota dan buku kemudiannya membuat nota ringkas dan cuba untuk menghafalnya sehingga penuh di dalam kepala. Jika anda memang daripada orang yang jenis ini, anda cuma perlu mengingat semua dan jangan bimbangkan tentang kehilangan atau kepudaran ingatan tersebut. Ia akan kekal di sana untuk beberapa lama. Pada pagi hari ujian atau peperiksaan tersebut anda akan dapati hanya 20% sahaja yang masih tinggal dan diingati manakala yang selebihnya sudah hilang dan tidak kekal di dalam ingatan jangka panjang. Jika anda berasa gembira untuk menikmati pemandangan dan perasaan ngeri berada di tepi-tepi jurang yang dalam, belajar dengan cara ini akan memberikan keseronakan. Belajar cara ini boleh dilakukan terhadap mata pelajaran-mata pelajaran yang tidak anda perlukan pada masa hadapan.

Untuk matapelajaran yang berkaitan dengan mata pelajaran yang lain ada cara yang lebih baik. Jika anda telah menurut panduan-panduan yang telah diberikan, kerja memerah otak itu tidak lebih daripada 3 atau 4 jam sahaja tetapi hasilnya memuaskan. Jika anda mengulangkaji dengan baik, sepatutnya sekarang anda telah mempunyai beberapa mukasurat yang padat dengan kata kunci, carta, gambarajah yang lengkap dengan fakta dan idea yang perlu diketahui di dalam sesuatu mata pelajaran itu. Ini dapat membantu anda untuk mengingat dengan lebih teliti dan terperinci.

Untuk bahasa asing pula sepatutnya anda telah mempunyai perkataan atau frasa yang dituliskan di atas kad. Bagi mata pelajaran-mata pelajaran teknikal anda sepatutnya mempunyai kad-kad formula yang mempunyai formula dan penerangan tentangnya di bahagian belakang. Buatkan juga kad yang mengandungi persamaan-persamaan dan definisi yang perlu diingat atau dihafal. Untuk persediaan menghadapi peperiksaan akhir, bagi jam yang pertama anda perlu mengumpulkan semua nota yang ada bagi setiap mata pelajaran yang ingin anda ulangkaji. Kemudian keluarkan sukatan pelajaran supaya dapat anda susun segala nota tersebut menurut urutan yang sesuai. Ini juga akan membuat anda mudah mengaitkan sesuatu tajuk dengan yang sebelum atau selepasnya. Kemudian ambil masa beberapa jam lagi untuk menulis semula nota tersebut, menyemak, meringkas dan mengaturkan semua dalam bentuk yang lebih mudah difahami.

Dalam pada itu, uji ingatan anda dan tinggalkan fakta-fakta dan idea yang sudah sebati dengan anda. Selepas selesai, sebaiknya anda mempunyai satu atau dua langkah muka tajuk-tajuk penting dan nota-nota yang paling ringkas. Ketika ulangkaji tersebut dijalankan fikirkan tentang bentuk-bentuk soalan yang akan dihadapi. Adakah ia soalan-soalan objektif, kiraan atau esei ataupun gabungan kesemuanya sekali? Pastikan apakah jenis jawapan yang diperlukan bagi setiap soalan dan sediakan cara menjawab yang khusus bagi setiap satu jenis soalan tersebut. Untuk ujian-ujian berbentuk esei disediakan 8 sehingga 10 tajuk penting berdasarkan sukatan pelajaran. Buatkan satu atau dua soalan bagi setiap tajuk [rujuk Panduan Mengingat 14 untuk keterangan lanjut]. Kemudian tuliskan ringkasan-ringkasan langkah-langkah yang akan diambil apabila menjawab saoalan-soalan esei. Jangan terlalu ghairah menjawab soalan-soalan itu di dalam bentuk esei yang penuh pada waktu ini kecuali sebagai latihan dari segi bahasa. Begitu juga halnya mengulangkaji untuk soalan lisan. Boleh digunakan cara yang sama. Bagi soalan kiraan atau penyelesaian masalah ambil satu saoalan daripada buku latihan yang mempunyai jawapan atau soalan-soalan daripada buku latihan tentang sesuatu hukum atau formula yang perlu anda ketahui. Campur-adukkan soalan-soalan daripada berbagai tajuk di dalam satu senarai dan cuba selesaikan satu persatu untuk mengenalpasti konteks soalan tersebut dan semak dengan jawapan yang betul. Anda akan dapat mengenalpasti di manakah kelemahan anda. Segala cara memerah otak dan lain-lain petua belajar yang telah anda baca di dalam buku ini jika digabungkan akan membuahkan hasil yang baik. Di samping itu anda juga perlu tahu bagaimana untuk menduduki ujian dan peperiksaan dan anda boleh mendapatkan panduan mengenainya di dalam buku-buku berkaitan.

Sungguhpun begitu, petua-petua yang telah anda baca di dalam buku ini adalah berdasarkan kajian sains yang terkini. Ia tidak menjanjikan A untuk semua mata pelajaran tetapi ia pasti akan membantu anda mendapat gred yang lebih tinggi daripada apa yang pernah anda perolehi sebelum ini.