HIDUP DAN MATI Hidup dan mati adalah peraturan dan ketentuan Tuhan terhadap semua makhluk yang bernyawa. Ia adalah hak mutlak Tuhan dan tidak ada sesiapapun yang mengetahui dengan tepat saat kelahiran dan kematian. Hidup mempunyai dua aspek atau bahagian iaitu hidup yang hidup dan hidup yang mati. Hidup yang hidup ialah makhluk atau benda yang bernyawa memenuhi kehidupan mereka dengan aktiviti sama ada yang telah ditetapkan sejak azali ataupun melakukan aktiviti yang mereka pilih sendiri berdasarkan sumber yang mereka ada. Hidup yang mati ialah apabila makhluk yang bernyawa pada zahirnya hidup tetapi mati secara mental atau spiritualnya. Bagi manusia mereka ini adalah seperti orang yang mempunyai sakit yang tenat , koma ataupun mereka yang menjadi penagih yang amat berat terhadap sesuatu ketagihan seumpama dadah. Mereka ini umpama melukut di tepi gantang, ada tidak menambah, tiada tidak mengurang. Bahkan kadang- kadang lebih elok mereka mati sahaja daripada menyakitkan mata dan hati orang yang memandang. Mati juga boleh dilihat daripada dua aspek itu mati yang hidup dan mati yang mati. Mati yang hidup ialah orang yang berjasa sewaktu hidupnya menjadi sebutan dan bualan orang sesudah kematiannya. Hidupnya berjuang matinya di kenang. Seperti kata bidalan harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan tulang dan manusia mati meninggalkan nama. Mati yang mati pula ialah orang atau makhluk yang bernyawa mati apabila tiba ajalnya dan kematiannya adalah sama seperti ribuan dan jutaan kematian lain sebelumnya dan kematian lain selepasnya. Orang ini hidup seperti orang yang biasa dan mati juga seperti orang yang biasa dan tidak ada sesuatu yang luarbiasa untuk menjadi kenangan dan bualan orang selepas tiba ajalnya. Hidupkanlah kehidupan kita ini dengan hidup yang hidup supaya mati kita nanti akan menjadi mati yang hidup. AMBIL BERAT DAN AMBIL RINGAN Ambil berat ialah apabila kita memasukkan unsur- unsur hati dan perasaan di dalam setiap apa yang kita lakukan. Ambil ringan pula ialah apabila kita melakukan sesuatu seadanya atau setakat yang patut dan perlu sahaja. Di dalam kehidupan seharian kita perlu mengambil berat terhadap perkara- perkara yang positif dan mengambil ringan terhadap perkara- perkara yang negatif. Apa sahaja yang kita lakukan untuk kebaikan dengan niat, cara dan natijah yang InsyaAllah akan membuahkan hasil yang positif seperti di dalam hubungan kita sesama insan , maka perlulah kita mengambil berat. Kita melakukan kerja yang diamanahkan kepada kita bukan sekadar untuk mendapat gaji atau ganjaran yang tertentu sahaja tetapi lebih daripada itu. Kita bekerja untuk menunaikan amanah yang telah diberikan kepada kita sebagai satu tanda ketaatan, kepatuhan dan pengabdian diri kepada Allah dan Rasulnya yang memerintahkan kita agar berusaha mencari rezki yang halal. Bagi perkara- perkara yang negatif kita perlu memandang ringan kepadanya dalam ertikata kita tidak memasukkan unsur- unsur hati dan perasaan yang berlebihan terhadapnya. Kita atau orang lain sama ada secara sengaja ataupun tidak pernah, sedang dan akan melakukan kesalahan dan kesilapan. Apa yang boleh kita lakukan ialah memohon ampun daripada Allah dan memohon maaf daripada orang yang terlibat dan mengingatkan diri kita agar tidak mengulanginya pada masa yang akan datang. Inilah yang dimaksudkan dengan mengambil ringan terhadap perkara yang negatif. Apa yang berlaku sekarang ini ialah sebaliknya. Kita mengambil berat terhadap perkara yang negatif manakala terhadap perkara yang positif pula kita mengambil ringan sahaja. Kita menyimpan perasaan dendam , marah dan sakit hati yang mendalam dan berpanjangan terhadap orang yang melakukan kesilapan terhadap kita sama ada seacara sengaja ataunpun tidak. Jika secara sengaja kesalahan atau kesilapan itu dilakukan terhadap kita maka lebih banyak dan lebih lamalah perasaan negatif itu di dalam diri kita. Sebaliknya terhadap perkara yang positif seperti pencapaian yang cemerlang di dalam sukan dan pelajaran serta kehidupan , kita merasa berat untuk menunjukkan hati dan perasaan kita seperti ucapan tahniah, rasa kagum dan hadiah terhadap pencapaian tersebut. Kita memujuk hati kita dengan menganggapnya sebagai perkara yang biasa dan perkara yang kecil sahaja erti dan nilainya terhxcap kita dan orang tersebut. Secara tidak langsung kita telah meneguhkan perkara yang negatif dan dengan secara tersiratnya menggalakkan agar ia berulang lagi pada masa yang akan datang. Maka tidak hairanlah perkara yang negatif itu berlaku dan berulang lagi dan lagi … Maka dengan itu marilah kita mengambil berat terhadap perkara yang positif dan mengambil ringan terhadap perkara yang negatif. Ini akan memberikan rangsangan kepada perkara yang positif untuk berulang dan menghentikan perkara yang negatif daripada berulang pada masa yang akan datang.