KEJAHILAN BOLEH MENYAKITKAN Ada benarnya perkara tidak kita ketahui akan mendatangkan mudarat kepada diri dan keluarga kita. Ada juga benarnya bahawa apa yang tidak kita ketahui tidak akan mendatangkan sebarang kemudaratan kepada diri dan keluarga kita. Secara umumnya apa yang tidak kita ketahui mempunyai kecenderungan dan kebarangkalian yang besar untuk mendatangkan kemudaratan sama ada kecil ataupun besar keatas sama ada diri kita sendiri, kaum keluarga dan mungkin juga kerjaya kita. Bagi masyarakat madani atau yang berinformasi sekarang ini, jika kita tidak mengetahui atau mengambil pusing apa jua perkembangan di sekeliling kita, maka kita akan mengalami kerugian. Setidak- tidaknya kita akan berasa rendah diri kepada orang lain yang mengetahui tentang sesuatu perkara yang tidak kita ketahui. Setiap tahun beratus malah beribu orang terbunuh, tercedera, kecewa dan hampa kerana kekurangan maklumat, kebijaksanaan dan kematangan di dalam berfikir. Sebagaimana seseorang kanak- kanak boleh mendapat kecederaan yang parah kerana kejahilannya tentang bahaya akibat daripada menarik cerek yang sedang mendidih, begitulah juga halnya yang akan berlaku ke atas orang dewasa yang jahil yang mengenepikan hukum alam, atau apa jua hukum yang ditetapkan oleh Tuhan dan Pemerintah. Bayangkan seseorang yang mempunyai tabiat buruk suka memandu dengan laju tanpa mengira keadaan , tempat dan masa. Apakah yang akan berlaku jika beliau gagal mengawal kenderaannya ? Mungkin beliau sendiri yang akan mendapat kecederaan bahkan kematian disamping orang dan harta benda milik orang lain akan mengalami kemusnahan dan kerosakan. Walaupun seseorang itu mempunyai keyakinan dan kecekapan yang tinggi di dalam mengawal kenderaannya tetapi lambat- laun jika beliau terus dengan tabiat buruknya itu ia akan membawa padah kepada dirinya dan juga orang lain. Begitu juga halnya suami atau isteri yang sering merendah-rendahkan pasangan masing- masing di hadapan orang lain. Seperti batu yang di baling ke dalam kolam, riaknya akan kembali ke tengah kolam apabila memukul tepian kolam. . Lambat laun tabiat buruk itu akan membawa padahnya yang besar yang membawa kepada pertengkaran dan pergaduhan dan mungkin lebih buruk lagi akan membawa kepada keruntuhan di dalam rumahtangga. Cinta dan kasih sayang walau bagaimana agung sekalipun boleh musnah dan hancur kerana kejahilan. Sesuatu yang agung dan cantik tidak mempunyai kuasa untuk mencegahnya daripada kejahilan. Tidak ada sesuatu berlaku dengan tidak sengaja. Kejahilan boleh diatasi apabila kita dengan secara sedar menumpukan sepenuh daya dan upaya untuk mengambil tahu tentang perkara yang berkaitan dan penting dengan kehidupan kita. Selepas daripada itu kita akan dapat melihat sendiri hasilnya. Apabila kita memandu dengan cermat mengikuti perturan di jalanraya dan mengambil langkah yang berterusan untuk memastikan kesihatan diri dan keselamatan kenderaaan kita , sudah pasti besar kemungkinanya kita akan dapat menjauhkan diri dan kenderaaan daripada terlibat di dalam kemalangan. Kemalangan mungkin berlaku, jika tidak tidaklah ia dinamakan sebagai kemalangan. Tetapi jika berlakupun miungkin kecederaan dan kerosakan akan diminimumkan ataupun kematian akan dapat dielakkan. Apabila kita berkata dan bertindak dengan bijak untuk memupuk dan menyiram benih- benih kasih dan sayang terhadap orang yang kita cintai, maka benih cinta itu akan berkembang membuahkan hasil.. Selagi kita terus berkata dan bertindak dengan bijak makan proses dan kasih sayang ini akan berterusan berkembang dan membuahkan hasil yang kita harapkan. Kata Huxley: " Kita akan dihukum kerana kejahilan kita sama cepatnya dengan tindakan yang sengaja melanggar peraturan." Apa sahaja yang tidak kita ketahui atau sengaja untuk tidak mengetahuinya akan dengan sengaja pula mendatangkan kemudaratan kepada diri, keluarga dan kerjaya kita. Dalam kehidupan seharian kita dapat melihatnya dengan jelas dan nyata. Berusahalah untuk mengetahui segala sesuatu dengan sedar dan mengikut kemampuan dan keupayaan kita supaya apa juga kesan dan akibat keatas diri, keluarga dan kerjaya kita berada di dalam perkiraan kita. "Lebih baik tidak dilahirkan daripada dilahirkan tetapi tidak didik dan diajar." - PLATO " Bukanlah orang yang jahat yang perlu ditakuti, tetapi ialah orang yang jujur yang tidak mengetahui apa yang sedang dilakukannya."- OWEN D. YOUNG "Di dalam dunia nyata, kejahilan adalah sama seperti pelanggaran hukum secara sengaja dan boleh dihukum sebagai menghukum kesalahan jenayah. Hukuman alam ke atas sebarang kejahilan tanpa sebarang kata dan amaran, apa yang berlaku ialah ia datang tiba- tiba dan tinggallah simangsa berfikir- fikir tentang apakah yang telah dilakukannya maka dia dihukum sedemikian rupa."- THOMAS. H. HUXLEY