JANGAN SEKALI - KALI MENGAKU KALAH " Biar putih tulang, jangan putih mata." -Pepatah Melayu "Agi idup agi ngelaban" -Motto Regimen Renjer Pernahkah anda merancang sesuatu perkara dengan begitu terperinci dan teliti tetapi membuahkan hasil yang sebaliknya? Semua orang pasti sekali seketika di dalam kehidupan mereka mengalami keadaan sedemikian rupa. Apa yang perlu diingati ialah dunia masih belum kiamat lagi. Kita masih punya ruang , masa dan tenaga untuk bangun dan mempersembahkan yang terbaik pada masa yang akan datang. Banyak peristiwa dan keadaan yang kelihatannya negatif tetapi sebaliknya membuahkan natijah dan hasil yang positif. Tentu kita pernah mendengar bagaimana orang yang ditimpa bala bencana yang dahsyat kemudian daripada itu menjadi seorang yang berjaya di dalam kehidupannya. Banyak peristiwa yang pelik dan ajaib berlaku ketika manusia berhadapan dengan kesusahan dan kesempitan. Ketika zaman penjajahan Jepun di negara kita dahulu banyak kreativiti dan pencapaian yang telah dicapai oleh rakyat negara ini sehingga sentiasa beringat dan berusaha untuk mengekalkan dan mengisi kemerdekaan ini dengan sebaik- baiknya. GANTUNGKAN CITA- CITA ANDA Adakah anda mempunyai satu cita - cita atau harapan sama ada untuk memiliki sesuatu, melakukan sesuatu, mengalami sesuatu ? Apa yang perlu anda lakukan ialah gantungkan cita- cita anda itu di tempat yang boleh anda lihat dengan mudah dan kerap seperti di dalam bilik tidur dan meja membaca anda. Dapatkan gambaran cita- cita anda itu seperti gambar motorsikal idaman anda, gambar pemandangan tempat yang ingin anda pergi dan seumpamanya dan berikan bingkai kemudian gantungkannya. Sekurang- kurangnya sekali sehari perhatikan gambar tersebut dan bayangkan bagaimana keadaan anda sekiranya cita- cita anda itu dapat menjadi kenyataan. Jangan lupa untuk berusaha dengan secara fizikal dan mental kearah merealisasikan gcita- cita dan harapan anda itu. MENGAPA CITA- CITA TIDAK KESAMPAIAN "Benih padi ku tanam, mengapa lalang pula yang tumbuh?" -Pepatah Melayu Kita sering bertanya kepada diri dan juga orang mengapa matlamat yang kita tetapkan gagal atau tidak dapat kita capai ? Tetapi pernahkah kita bertanya kepad diri sendiri tentang berapa banyakkah perhatian, pengorbanan , keyakinan dan usaha yang telah kita curahkah untuk memastikan apa jua matlamat kita itu dapat menjadi kenyataan ? Matlamat akan hanya tinggal matlamat jika tidak diyakini adan diusahakan serta dibayangkan sebagai telah berjaya ? Sama juga halnya manusia itu tidak bernama manusia jika tidak ada roh dan hanya jasad semata- mata. Roh matlamat ialah keyakinan yang diberikan kepadanya. Semakin banyak keyakinan yang diberikan kepadanya semakin besar kemungkinannya untuk menjadi kenyataan. Kita menetapkan sesuatu matlamat , berusaha sambil lewa untuk mencapainya, meragui kemungkinannya untuk menjadi kenyataan , tidak membayangkannya sebagai berjaya malah tidak mengharapkannya berjaya dan sekadar melepaskannya kepada takdir, kemudian kita bertanya mengapa matlamat kita tidak menjadi kenyataan. Asas yang menjadi tiang kepada sesuatu matlamat itu goyah dan tidak kukuh maka tidak hairanlah jika matlamat itu tidak dapat berdiiri dan menjadi kenyataan. Mulai dari saat ini , tetapkan matlamat dengan terperinci, gariskan langkah- langkah yang perlu untuk mencapainya, berusaha sepenuh daya untuk merealisasikannya dan membayangkannya sebagai berjaya. Tunggu dan lihatlah dengan penuh keyakinan bahawa matlamat anda itu akan menjadi kenyataan….