SENARAI IDAMAN Bayangkan begini. Anda bangun pada suatu pagi dan mendapati apa sahaja ayang anda idamkan akan menjadi kenyataan di hadapan mata anda sendiri. Anda idamkan sebuah kereta 'sport' dan tiba- tiba ia muncul di garaj anda.Anda idamkan badan yang tegap sasa dan tiba- tiba ia menjadi kenyataan. Amat menakjubkan dan menghiburkan sekali. Anda idamkan jutaan ringgit di dalam akaun anda di bank, dan ia menjadi kenyataan dengan tiba- tiba. Kemudia anda mendapati bahawa wang bukan lagi satu keperluan kerana tidak ada apa yang perlu dibeli lagi kerana semuanya berada di hadapan mata anda sekarang. Anda idamkan sebuah komputer yang terbaru dan yang tercanggih , binatang peliharaan yang comel dan manja, rumah bak mahligai dan pasangan yang penyayang. Semuanya menjadi kenyataan dan hadir di hadapan mata dengan sekelip mata sahaja . Lama kelamaan ia menjadi sesuatu yang melampau, apa sahaja yang anda fikirkan walaupun perkara yang remeh - temeh , akan menjadi kenyataan dan semuanya bertimbun di hadapan mata.Ia menjadi sesuatu yang membosankan . Apa gunanya semua 'sampah- sarap' ini ? Anda akhirnya cuba untuk mengurangkan keinginan anda kerana ia akan membuat kehidupan anda penuh dengan sampah. Anda tidak dapat lari ke mana- mana lagi. Akhirnya anda berharap untuk tidak mempunyai kuasa ini lagi dan keinginan inipun tercapai dan segala yang berada di hadapan mata anda hilang meninggalkan anda sama seperti sebelumnya dengan pengalaman dan sedikit kebijaksanaan. Semua ini memberikan anda pengertian tentang betapa pentingnya usaha dan ikhtiar di dalam memperolehi sesuatu perkara yang anda idamkan. Anda menyedari bahawa keinginanan bukanlah boleh dipenuhi dengan perkara yang anda ingini tetapi ialah pengalaman dan kebijaksanaan yang anda perolehi di dalam proses merealisasikan impian dan idaman anda itu. Anda akhirnya menyedari bahawa kehiudpan ini dengan segala masalah, kesulitan dan cabaran yang ada bersamanya adalah lebih baik daripada mempunyai kuasa untuk menzahirkan idaman dan impian anda di dalam sekelip mata tanpa sebarang usaha. Usaha dan ikhtiar itulah yang menjadikan keinginan dan idaman yang dicapai sesuatu yang menggembirakan dan membahagiakan dan menjadikan kehidupan ini lebih bermakna.  Oleh Ralph Marston  Terjemahan Azaman Muhammad ( Kaunselor PMUUM)