Laman Yang Merestui Perjuangan Menegakkan Sebuah Negara Islam

Anda Pengunjung ke Sejak 4 Mac, 1999

Kemaskini Terakhir: 06 November 1999

______________________________________________________________________________

 

 

BERTAUBATLAH JIKA ANDA MASIH MENYOKONG KEZALIMAN!

Saya berkesempatan membaca Utusan Meloya hari ini 6 November, 1999 setelah sekian lama saya melupakan akhbar harian negara itu. Maka saya terlihat satu artikel yang ditujukan khas untuk ahli PAS bertajuk 'Satu peringatan Untuk Ahli-ahli PAS'.

Kerana saya ahli PAS, maka saya ambil kesempatan barang setengah jam meneliti pendapat manusia yang menamakan dirinya 'Teropong Keramat'. Saya baca dari A hingga Z biar sampai mesej Teropong Keramat kepada saya selaku pandangan seorang yang pro-UMNO (tak tahu ke penulis tu ahli UMNO atau tidak).

Selesai membaca saya tersenyum sendirian sambil menghabiskan kopi 'O' minuman kegemaran saya. Maka di dalam hati saya memang beginilah generasi yang mahu dilahirkan Mahathir. Yang bertuhankan dunia dan material tetapi dalam masa yang sama mengaku orang Islam dan beriman. Justeru saya rasa 'Teropong Keramat' sudah tersesat dalam kecelikan duniawi, maka sebagai manusia Islam sesama Islam saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengajak 'Teropong Keramat' kembali meneropong dalam dirinya sendiri sebagai manusia yang mengaku Islam dan beriman.

Saudaraku Teropong Keramat,
jika saudara belum pasti, saya hanya ingin kembali mengingatkan saudara bahawa pengakuan Islam kita bukan hanya mahu diikrar di lidah semata. Ia mestilah bermula di hati, diikrar dilidah dan dilaksanakan dengan perbuatan. Jika kita mengaku dengan lafaz dua kalimah syahadah 'Tiada Aku Mengaku Tuhan, Selain Allah dan nabi itu Pesuruh Allah' maka ikrar kita itu memerlukan komitmen di hati dan perbuatan. Adakah seseorang itu boleh basah tubuh badannya jika hanya menyebut 'aku nak mandi', sedangkan dia tidak membuka pakaian untuk mandi pun, apa lagi perbuatannya menyentuh air pun tidak? Maka amat jelas kepada kita umat Islam bahawa pengakuan beriman itu perlu dibuktikan dengan hati, kata-kata dan perbuatan secara sekaligus!

Saudara Teropong Keramat, antara yang saya masih ingat ialah tulisan saudara yang mencerca ulama. Saudara labelkan ulama PAS dan ulama UMNO. Saya cabar saudara siapakah ulama UMNO yang saudara maksudkan. Mengapakah saudara gagal menamakan walau seorang ulama pun dalam tulisan saudara itu? Sedangkan saudara sedia maklum hampir kesemua ulama yang ada di negara ini sudah menyokong perjuangan Islam yang  kini hanya didokong oleh PAS dalam ertikata perlaksanaan yang perlu dibuktikan dengan hati, kata-kata dan perbuatan secara sekaligus!

Mungkin saudara kata maksiat dan judi serta arak juga ada di Kelantan. Saya tidak nafikan dan katakan kepada saudara itu adalah benar!!! Saudara harus tahu keadilan Islam. Allah mencipta keadilan untuk Islam dan bukan Islam. Walau pun masih ada kedai judi dan minuman arak masih dijual di Kelantan, tetapi itu bukanlah bererti bahawa Kerajaan Islam PAS menjual agamanya kerana beberapa buah kedai judi dan kedai menjual arak.

Judi dan arak adalah dalam tanganan pemerintahan PAS Kelantan. Oleh kerana orang bukan Islam masih mahu berjudi dan meminum arak, walaupun semua agama di dunia melarang perbuatan sedemikian, maka satu peraturan ketat sudah dilaksanakan. Peminum arak tidak dibenarkan meminum arak di kedai tersebut. Beli dan bawa pulang minum di hadapan keluarga. Langkah sedemikian alangkah indahnya kerana PAS mengambilkira seseorang yang memandu dalam keadaan mabuk dan apabila pulang memaki hamun isterinya tanpa sebab yang nyata. Hanya kerana mabuk semata berkelakuan sedemikian.

Maka peraturan yang ketat ini menghasilkan natijah yang baik dan mengurangkan kadar peminum arak di Kelantan. InsyaAllah akhirnya perbuatan minum arak akan kepupusan dan dikala itu amatlah mudah jika kita menghapuskan sama sekali. Demikianlah perinya peninggalan bekas pemerintahan UMNO di Kelantan yang membawa manusia ke arah kesesatan dan budaya minum arak sudah menjadi satu kebiasaan.

Saudara Teropong Keramat, saudara juga sama seperti pimpinan saudara menuduh PAS dan parti Alternatif suka membuat fitnah dan berbohong. Janganlah kita tuduh menuduh. Marilah kita melihat di mana kekusutan berlaku.

Fitnah yang amat besar berlaku dalam negara kita berlaku pada tanggal 2 September, 1998. Ketika itu DSAI yang juga ahli UMNO telah dipecat keahliannya sekali gus kedudukannya sebagai TPM, Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden UMNO. Tidak kiralah siapa yang memecatnya, samada Majlis Tertinggi UMNO atau Presiden UMNO sendiri. Apa yang saya nak katakan di sini, tuduhan liwat dan seks luar tabiee adalah perkara larangan dalam Islam, seandainya kita tidak mengemukakan saksi yang cukup dan muktabar.

Adakah saudara Teropong Keramat selaku manusia cerdik dan matang mahu menerima 'fitnah' iaitu tuduhan tanpa bukti? DSAI dipenjara bukan kerana kesalahan liwat. Beliau dipenjara kerana tuduhan rasuah menyeleweng kuasa untuk kepentingan dirinya, walau pun itu masih boleh dipertikaikan tetapi saya tidak ingin membicarakan di sini.

Saya ulangi pertanyaan saya, apakah saudara menerima sogokan kata-kata (jika tidak mahu diistilah fitnah) orang yang bukan saksi dan tidak pernah melihat dengan mata kepalanya sendiri? Amat bodohlah saudara jika saudara bersifat sedemikian. Iaitu menerima sahaja kata-kata orang lain yang belum tentu hujung pangkal kebenarannya. Inilah yang menyebabkan ahli UMNO rosak binasa!

Dan seperkara lagi dalam kes DSAI saya ingin perjelaskan di sini bahawa siapakah yang memulakan api fitnah? Adakah Tuan Guru Datuk Hj. Nik Aziz Nik Mat telah melakukan fitnah liwat ke atas DSAI? Adakah Presiden PAS Dato Fadhil Noor yang memfitnah liwat ke atas DSAI? Adalah Lim Kit Siang Setiausaha Agung DAP memfitnah DSAI atas tuduhan liwat? Cuba saudara teropong siapakah yang memulakan api fitnah itu?

Ringkasnya di sini kehadiran parti alternatif adalah dalam satu kesatuan membela nasib insan yang terfitnah. Selain dari itu untuk menjayakan fitnah terbesar abad ini sebelum negara memasuki alaf baru, maka segala jentera kerajaan digunakan dan diperalatkan. Pasukan polis diarah untuk memerangi 'pembela' insan yang menjadi mangsa fitnah UMNO dan Presidennya Maha Firau itu!!!

Saudara Teropong Keramat,
Kemana pun perbicaraan saudara, saya lihat fakta saudara kaku dan beku. Fikiran saudara nyata tidak bebas. Ayat suci yang saudara turunkan dalam artikel saudara pun begitu kaku iaitu surah 'AlAsh' dan saya tak jumpa surah itu dan terjemahan saudara begitu longgar. Saya nasihatkan saudara bertaubat. Carilah guru yang muktabar dan belajar kembali membaca ayat suci Al-Quran dan terjemahannya. Ini mungkin bukan sahaja boleh menambah keimanan saudara tetapi saya percaya akan mengubah pendirian saudara dari bersekongkol dengan kezaliman, sebaliknya menjadi satu jihad untuk membela kebenaran.

Saya juga dahulu seperti saudara. Saya memang kagum dengan pembangunan ala Mahathir yang mengaburi mata rakyat dan dalam kesempatan itu beliau 'curi' harta negara untuk dijadikan hartanya. Ini bukan fitnah saudara lihat sendiri dengan mata hati apa yang berlaku kepada negara kita.

Masih belum terlambat untuk saudara bertaubat. Marilah bersama-sama saya serta ahli UMNO yang lain yang kini sudah menemui jalan lurus. Tiada istilah 'jihad' dalam UMNO sebagaimana dakwaan mereka. Jika saudara masih tidak percaya apa yang saya katakan rujuk Al-Quran. Apakah jihad dan pengertiannya, syarat-syarat untuk berjihad dan saranan berjihad yang dituntut sebagai kewajipan dalam alaf baru yang semakin mencabar Islam dan keimanan umatnya.

Semoga Allah menerima taubat saya dan taubat saudara. Kita lupakan persengketaan duniawi yang tidak ke mana. Kita kembali kepada Tuhan yang mengajar kita menjadi pejuang kebenaran dan pembela maruah Islam. Islam jika ditentang tidak akan hancur. Yang akan hancur ialah saudara dan mereka yang masih bersekongkol dengan kezaliman.

Ingatlah bahawa siksa Allah itu benar. Timbangan amalan itu benar. Neraka dan syurga juga benar. Jadilah pembela ugama yang lebih mulia dan terpuji di sisi Allah jua. TAKBIR!!!

Polong Cyber