Laman Yang Merestui Perjuangan Menegakkan Sebuah Negara Islam

Anda Pengunjung ke Sejak 4 Mac, 1999

Kemaskini Terakhir: 07 November 1999

______________________________________________________________________________

 


DEDAHKAN KESEMUANYA DAN JANGAN MEMILIH BULU..

Minda mingguan kali ini berasa terpanggil untuk sama mendedahkan suatu perkara yang terjadi di peringkat negeri. Pendedahan ini mungkin tidaklah sehebat RM3 bilion sebagaimana didedahkan oleh Datuk 'Murai' minggu lalu. Tetapi sebagai menyahut laungan atau desakan peringkat tertinggi UMNO yang mahukan rakyat membuat pendedahan, maka dengan berat hati Minda Rakyat akan cuba mendedahkan siri kepincangan yang melibatkan bagaimana maruah seorang yang terjebak dalam kancah seks boleh terlepas dengan pertolongan seorang ulama bisu.

Beberapa minggu lalu, Minda Rakyat pernah mendedahkan isu dua orang ADUN ditangkap khalwat berturutan minggu. Pengerusi EXCO Ugama Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hj. Mohd Zaim Abu Hassan (ADUN Belanja) dan Saikidul Mohd Noor (ADUN Semanggol) masing-masing ditangkap khalwat oleh pegawai pencegah maksiat dari JAIP. Namun kesemua rekod penangkapan dipadamkan dan beberapa orang pegawai tertentu ditukarkan untuk melindungi perbuatan maksiat itu.

Minda Rakyat pernah menyuarakan rasa kekesalan ke atas perbuatan menutup rekod kejahatan dan maksiat yang berlaku dalam pimpinan kerajaan BN. Jika rakyat tiada kuasa untuk memperbetulkan keadaan, sudah pasti ada orang yang mesti bertanggungjawab terhadap perkara ini. Jika bukan Ramli Marcos sendiri, maka orang itu ialah Datuk Hj. Harussani Hj. Zakaria, Mufti Negeri Perak.

Jika isu 3 gadis menyertai pertandingan ratu cantik di Selangor tahun lalu yang menyaksikan rentetan peristiwa yang membawa kepada pemecatan Mufti Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Hj. Ishak Baharom, mengapa kes khalwat 2 ADUN di negeri Perak semua pihak membisu. Di manakah kebenaran dan keadilan yang harus dikenakan ke atas pembuat maksiat negeri ini? Apakah peranan Harussani Zakaria di Perak tidak sama dengan Ishak baharum di Selangor?

Apabila berhadapan dengan situasi sama dalam dua waktu berbeda maka lahirlah satu rumusan bahawa siapakah sebenarnya yang berani berhadapan dengan kebenaran. Jika seorang yang dihormati seperti Harussani Zakaria tidak berani menyatakan kebenaran dan masih mahu melindungi maksiat sudah pasti ada muslihatnya. Berkemungkinan kepentingan tertentu maka Harussani menjadi seorang ulama yang membisu.

Apakah sebidang tanah seluas 12 ekar yang diluluskan atas sekim perumahan di Sg. Terap, Batu Gajah/Tronoh itu melenyapkan suara Mufti Kerajaan Negeri Perak daripada bersuara ke atas maksiat yag berlaku. Mungkin juga kerana Harussani seorang yang amat 'berterima kasih' sebagaimana yang dianjurkan oleh PM Maha Firaun itu, maka persekongkolan Datuk Mufti Kerajaan Negeri Perak nyata menjual agama demi kepentingan peribadi!

Jika benarlah, demikian Minda Rakyat ingin menyatakan kekesalan di atas perkara yang berlaku itu. Inilah satu bukti nyata bahawa kerajaan BN Perak menggunakan kekuasaan dan harta negeri bagi menutup mulut para ulamanya. Apalah erti tingginya ilmuan di dada jika kita yang diharap menjadi pagar, menjadi pak turut dan 'syaitan bisu' menutup segala kemungkaran yang berlaku.

Catatan sejarah ini tidak dapat dipadam dari kamus politik negeri Perak. Siri pendedahan seperti ini perlu diteruskan supaya rakyat tahu apakah yang dilakukan oleh wakil mereka, serta pegawai kerajaan yang diamanahkan untuk mentadbir dan mengurus negeri. 12 ekar tanah sekim perumahan mungkin menjadi halangan kepada Datuk Hj. Harussani Zakaria untuk berdiri tegak atas kebenaran. Nampaknya harga 12 ekar tanah yang bernilai ratusan ribu ringgit itu berjaya menutup mulut seorang ulama yang dihormati ramai ketika ini.

Antara pendedahan yang mahu diketengahkan tanpa memilih bulu, Minda Rakyat merasa bertanggungjawab untuk menyatakan kebenaran agar ianya sampai ke pengetahuan sekelian rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran, agar jangan ditafsirkan hanya DSAI seorang 'pembuat maksiat' di negara ini!

Polong Cyber®