Laman Yang Merestui Perjuangan Menegakkan Sebuah Negara Islam

Anda Pengunjung ke Sejak 4 Mac, 1999

Kemaskini Terakhir: 07 November 1999

______________________________________________________________________________

 

KENYATAAN ANWAR IBRAHIM
AKUAN BERKANUN DATO MURAD KHALID

Saudara Pengarang,

Akuan Berkanun Dato Abdul Murad Khalid tidak lebih dari sambungan drama untuk terus menyerang dan memfitnah saya.  Saya cuba digambarkan oleh Dato Seri Dr. Mahathir Mohammad, sekutunya dan media elektronik dan cetak yang dikuasai oleh regimnya sebagai individu paling jelek.  Lantaran itu saya menuntut hak untuk menjawab tuduhan-tuduhan liar dalam bentuk surat kepada pengarang.

Merujuk kepada Akuan Berkanun tersebut, saya ulangi cabaran kepada Dato Seri Dr. Mahathir dan Kerajaan Barisan Nasional supaya segera menubuhkan Badan Siasatan Bebas menyiasat tuduhan tersebut.  Siasatan tersebut seharusnya mencakup persoalan rasuah, penyalahgunaan kuasa yang mengaitkan semua pemimpin tanpa kecuali termasuk Dato Seri Dr. Mahathir Mohammad dan Tun Daim Zainuddin.  Semua kekayaan terkumpul didalam dan luar negeri; semua kelulusan saham, kontrak, lesen, penswastaan kepada keluarga, sanak saudara dan kroni perlu disiasat teliti dan rapi.  Pihak saya bukan sahaja mengalu-alukan siasatan tetapi akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Badan tersebut.  Janganlah berdalih lagi.  Tubuh segra Badan tersebut.  Rakyat berhak mengetahui keadaan sebenarnya.  Mana pemimpin yang berpura-pura menjadi jaguh tetapi memunggah khazanah negara untuk kepentingan peribadi, keluarga dan kroni akan diketahui juga akhirnya.

Saya nafikan dengan keras fitnah mengenai Akaun Induk kepunyaan saya melebihi 3 billion ringgit.  Sementara itu, saya telah meminta peguam saya mengambil tindakan undang-undang terhadap Dato Murad Khalid kerana fitnah dan tuduhan tidak berasas.  Namun, sepertimana juga rakan lainnya, saya beranggapan penjenayah fitnah sebenarnya ialah konspirator sebenar yang menyorok disebaliknya .  Kelompok tersebutlah yang perlu diserang dan didedahkan kepada rakyat.  Lagipun, saya sedar "pengakuan" Dato Murad adalah dalam keadaan terpaksa, juga terdesak setelah menghadapi tuduhan rasuah yang berat.

Cara "pengakuan" tersebut sudah lumrah terutama setelah ditangkap dan didera oleh pihak Polis terutamanya Cawangan Khas.  Kita telah saksikan penjelasan dan pendedah Dr. Munawar Anees, Sukma Darmawan dan Mior Abdul Razak umpamanya yang membuat pengakuan palsu mengaibkan saya dan kemudiannya memberi penjelasan dan keterangan sebenar, menafikan dakwaan tersebut.

Cara sedemikian mengingatkan kita kepada regim diktator, pemimpin kejam yang bertindak ganas menggunakan jentera pemerintah khususnya pasukan polis khas dengan secara bermaharajalela semata-mata untuk mengekalkan kuasa.  Kekejaman sedemikian terbongkar jua akhirnya sepertimana yang berlaku dizaman pemerintahan Hitler di Jerman, Stalin di zaman komunis Soviet dan apartheid di Afrika Selatan.  Hanya kalangan tamak dan takabbur tidak mudah mempelajari dari sejarah.  Mereka tetap yakin mereka akan terlepas dari dosa, hukum sejarah, hukum rakyat dan akhirnya hukum Allah SWT.  Perkembangan dan perubahan dirantau dan dibeberapa negara jiran sewajarnya menjadi pengajaran .  Walhasil, sebaliknya yang berlaku.  Mereka tambah ganas, tambah licik kerana tambah terjepit dan terdesak!

Mereka-cipta tuduhan liar juga sering berlaku dan rakyat sudah mangli atau biasa dengan gelagat tersebut. Ini tidak lain dari helah mengaleh pandangan dari sikap tamak, rasuah dan penyelewengan mereka. Sehingga kini, belum ada jawapan terhadap tuduhan dan laporan polis berdasarkan maklumat tepat, dokumen, surat bukti yang dikemukakan. Ini termasuk kes rasuah menggunakan 2 billion ringgit wang petronas buat menyelamatkan Syarikat anak Dato Seri Dr. Mahathir,  Mirzan ; penyelewengan, salahguna kuasa dan rasuah Perwaja yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit yang terpaksa ditanggung oleh negara. Bukti dokumen rasuah Tun Daim ; cadangan tuduhan rasuah oleh Jabatan Peguam Negara terhadap Dato Seri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rahim Tamby Chik masih belum dijelaskan

Disebaliknya  " pengakuan"  Dato Murad, tanpa bukti, dokumen, surat tetapi semata-mata kerana beliau "mempercayai" riuh disambut oleh hulubalang setia
tanpa mempeduli prinsip kebenaran dan keadilan. Tokoh - tokoh yang sama termasuk Dato Abdullah Ahmad Badawi tidak pun berani menyentuh penyelewengan dan rasuah yang didedahkan bersandarkan dokumen dan surat yang dikemukakan.

Nama individu - individu serta dokumen yang dinyatakan dalam "pengakuan" Dato' Murad adalah sekadar menyinggung kedudukan dan pengaruh saya dalam politik. Individu dan pertubuhan yang disebut sepakat menafikan tohmahan dan akan mendakwa Dato' Murad. Percanggahan fakta dan keterangan beliau ketara sekali. Amat tidak munasabah bagi seorang tokoh bank melakukan kesilapan kadar tukaran asing. Dan bagi mereka yang mengenali Dato' Murad termasuk Staf Bank Negara Malaysia, tidak mungkin beliau membuat kenyataan politik melulu mencerca peribadi orang. Deraf dan peranan Cawangan Khas Polis atas arahan atasan tidak mungkin dipertikai lagi.

Dakwaan paling besar terhadap saya ialah kewujudan Akaun Amanah yang sebegitu besar jumlahnya; tanpa sebarang dokumen atau bukti. Nama syarikat yang dikaitkan ialah MRCB. Sepertimana yang saya jelaskan dalam kenyataan bersumpah di mahkamah, saya tidak mempunyai satu saham pun atau sebarang kepentingan dalam syarikat tersebut. Disebaliknya, Dato' Seri Dr. Mahathir lah yang memiliki kepentingan terbesar melalui pegangan 70 peratus saham dalam Syarikat Real Mild yang mempunyai kepentingan besar dalam MRCB. 30 peartus saham dipegang bersama oleh Dato Kadir Jasin, Dato Nazli Abdullah , Dato Khalid Ahmad dan Mohd. Nor Mutalib. Melalui Tun Daim, Dato Kadir  Jasin lah yang dijadikan proxy utama mengendalikan kumpulan New Straits Times termasuk TV3. Kita lebih memahami cara penguasaan media oleh Dato Seri Mahathir dan Tun Daim. MRCB kemudiannya, menurut Dato Murad diberi kelulusan penswastaan (IPP) Janakuasa Letrik Lumut. Yang meluluskannya ialah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri dan yang menguasai IPP Lumut - MRCB juga adalah Dato Seri Dr. Mahathir. Tidakkah ini bermakna pencanggahan kepentingan dan rasuah? Pengakuan Dato Murad manakala disiasat bebas akan menikam Dato Seri Dr. Mahathir. Sebab itulah beliau takut dengan penubuhan  Badan Bebas. Dengan fakta dan kepentingan sedemikian rupa , saya pula didakwa menerima 50 juta ringgit !

Benar saya ada bekerjasama dengan APPC menganjurkan Pacific Dialogue yang diresmikan oleh Perdana Menteri. Sekretariat Bersama dialog ialah ISIS dan Institut Kajian Dasar ; dibawah Tan Sri Nordin Sopie dan Dato Kamaruddin Jaafar. Dialog disertai oleh Menteri, tokoh akademik dan tokoh koporat serantau. Ianya dianjurkan selari dengan usaha mencari titik pertemuan sepertimana juga Persidangan Islam dan Konfucianisme; memahami sumbangan dan perjuangan tokoh kebangkitan Asia seperti Jose Rizal, Muhammad Iqbal , Jamaluddin al Afghani , Robindrath Tagore dan Sun Yat Sen. Mengapa pula dibangkitkan hanya Dialog Pasifik? Muslihat mereka tidak lain dari percubaan mengaitkn saya kononnya agen Amerika atau CIA. Dan ini diperkuatkan kerana sumbangan Malaysia kepada APPC. Nampaknya saya terpaksa membayar kepada APPC untuk menjadi agen. Setahu saya, seorang agen dibayar oleh orang atau negara  asing. Sekali lagi mereka terdesak untuk mereka cipta keterangan untuk memburukkan saya. Dato Seri Dr. Mahathir terpaksa meyakinkan rakyat meskipun dengan cara terus memfitnah dan berbohong. Sejak kes Dato Nallakarupan, Peguam Negara cuba mengaitkan dengan wang 60 juta. Sehingga kini ia kekal sebagai fitnah tanpa asas. Sekarang perasuah melancarkan kempen anti rasuah dan pemfitnah mengenali kempen anti-fitnah dan anti-cerca.

APPC merupakan pusat peyelidikan, atau "think tank". Amat tidak munasabah untuk dianggap mereka berhasrat mengurus wang berbillion ringgit. Lagi pun semua cadangan atau usul pengurusan dana diteliti oleh Bank Negara, perbendaharaan atau KWSP.

Soal Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga dirujuk seolah-seolah saya mengemukakan cadangan memendekkan tempoh kadar pinjaman tidak berbayar(NPL) adalah dengan desakan IMF. Secara umum kerangka cadangan ekonomi di zaman kegawatan telalh dibahas bersama; dirujuk kepada Tun Daim oleh pegawai Bank Negara Malaysia,  Unit Perancang Ekonomi dan Perbendaharaan. Seterusnya saya telah berbincang panjang dengan Perdana Menteri sebelum dibahas dan diluluskan dalam sidang kabinet di L angkawi pada 3 Disember 1997.

Sememangnya wujud perbezaan cara pendekatan saya dengan Dato Seri Dr. Mahathir. Ianya tidak berkaitan dengan IMF. Tetapi, saya lebih menekankan soal perbelanjaan berhemat ; menangguh projek mega atau membatalkannya ; memulih ekonomi rakyat dan bukan penumpuan kepada Syarikat keluarga dan kroni. Malangnya beliau terlalu terikat serta runsing dengan masalah hutang piutang yang ditanggung oleh anak-anaknya. Langkah penyelamat pertama sebanyak dua billion ringgit ialah untuk Mirzan; dan penyusunan semula hutang korporat adalah untuk Mokhzani. Seolah-olah jutaan rakyat dan ribuan syarikat lain bukan permasalahan utama. Saya bersetuju dengan IMF dan Bank Dunia mengenai langkah membanteras rasuah, prinsip pertanggungjawaban dan ketelusan. Bukannya penswastaan atau saham atau lesen terpilih untuk anak-anak dan kroni.

Contoh yang paling nyata ialah bond Renong dan kenaikan kadar tol yang cuba saya kawal tetapi segera dilulus dan dinaikkan sebaik sahaja saya dipecat. Begitu juga dengan soal penggabungan bank yang perlu diselenggara secara telus. Tetapi  dibawah pengawasan Dato Seri Dr. Mahathir dan Tun Daim, kepentingan mereka yang didahulukan. Bank of Commerce dikuasai oleh Dato Seri Dr. Mahathir melalui MRCB dan Tun Daim melalui Renong. Akhirnya mereka mengambil alih Bank Bumiputra. Kepentingan Tun Daim lainnya ialah dalam International Bank of Malaysia dan melalui proksinya dalam Multi-Purpose Bank. Langkah penyelamat dan penggabungan sebeginilah yang kita sanggah kerana ia menonjolkan dasar rasional tetapi menyelindung kepentingan peribadi, keluarga dan kroni.

Saya yakin Insya Allah, rakyat tidak mudah terkeliru atau terpedaya dengan tipu helah dan dendam kesumat pemimpin zalim dan tamak haloba. Imej serta kewibawaan individu atau pertubuhan yang berwibawa seperti ABIM, Aliran atau IKD  tidak mungkin terjejas. Hanya segelintir pak turut atau hulubalang yang nampak gagah melalak menyerang tanpa bukti tetapi sebenar adalah pengecut tidak berani  menegur kecurangan atau rasuah pemimpin. Maka tidak  janggal jika kita dengar dan baca saban hari Menteri-menteri dan pemimpin Barisan Nasional mencerca tetapi menutup pekung busuk dan rasuah yang terlalu nyata.

Percayalah; cabaran kita supaya diwujudkan Badan Bebas menyiasat rasuah dan kecurangan tidak akan disambut. Jawapannya ialah memilih Barisan Alternatif kerana Barisan Alternatif menjanjikan penubuhan Suruhanjaya Bebas Menyiasat Rasuah dan Penyelewengan. Hanya keputusan rakyat dan mahkamah rakyat yang akhirnya dapat menjanjikan keadilan buat semua, Insya Allah.

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh
 

Anwar Ibrahim

7 November 1999

Ihsan:MahazalimŽ