EDISI KHAS: MALAYSIA BUKANLAH MILIK UMNO SEMATA!
Rancangan Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) yang akan mengadakan mesyuarat Selasa ini bagi menyatakan pendiriannya berkenaan kenyataan terbaru Mursyidul
Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang bersedia menerima bukan Islam sebagai Perdana Menteri negara ini harus dipandang serius oleh rakyat negara ini.
Ini adalah kerana BN akan mengambil kesempatan dari kenyataan yang dipesongkan itu untuk menunjukkan bahawa hanya BN sahaja layak memerintah negara, satu
khurafat yang maha besar alaf ini.
Kenyataan Tuan Guru Datu Hj. Nik Aziz kerapkali disanggahi oleh umat Islam UMNO yang membuktikan kefahaman mereka terhadap ugama amat lemah sekali. Mereka hanya
berselindung di sebalik kekuasaan dan kekuatan parti. Apabila kekuasaan hampir tamat dan jentera parti mereka nyata lemah maka secara terang dan nyata kesesatan
mereka terhadap ugama anutan mereka.
Satu pandangan yang perlu difikirkan mengenai pandangan seorang Tuan Guru ialah jika umat Islam tidak bersedia melaksanakan syariat Islam dalam pelbagai sudut
seperti ekonomi, politik dan sosial, maka apakah kebanggaannya kepada umat manusia dan kepada Allah jua tiada nilai kelompok manusia itu.
Sedangkan dalam Al-Quran Allah telah menegaskan bahawa umat Muhammad adalah sebaik-baik kelompok manusia jika melakukan dua perkara asas iaitu menyeru kepada
makruf dan mencegah kemungkaran.
Antara perkara makruf yang diketengahkan dan diperjuangkan oleh kaum bukan Islam yang perlu dihormati oleh orang Islam ialah menegakkan keadilan dan kebenaran.
Perkara ini antara perkara asas yang perlu ada bagi sesuatu kaum dalam proses mencapai muafakat dan perpaduan kukuh.
Selain dari itu antara perkara yang dilakukan oleh kaum bukan Islam dalam istilah nahi mungkar ialah menentang kezaliman. Di sudut Islam sendiri perkara ini
dikatogerikan sebagai 'jihad' yang ulama berpendapat pada masakini merupakan fardhu ain kerana kezaliman yang terus menerus dan berpanjangan.
Perkara yang sering dibahaskan oleh pemimpin BN adalah kekuasaan semata-mata. Mereka hanya bimbang hilang kerusi kerana dengan hilangnya kekuasaan mereka,
mereka akan kehilangan segala-galanya. Justeru kekuasaan ibarat 'Tuhan' yang perlu mereka pertahankan, maka mereka akan akan berbuat apa sahaja bagi
mempertahankan kekuasaan mereka ke atas negara ini.
Dalam amalan demokrasi tiada pihak boleh mendabik dada bahawa beliau atau kelompoknya sahaja layak untuk mentadbir dan menguruskan negara ini. Sejarah telah
membuktikan bahawa selama 42 tahun UMNO memerintah negara, hampir kesemuanya menjadi lingkup, bermula dari sosial, politik, ekonomi dan keugamaan Islam sendiri
yang hancur lebur amalan dan amalinya oleh perbuatan dan kekuasaan yang mereka miliki.
Justeru itu adalah jihad kepada kaum muslimin dan muslimat negara ini supaya membebaskan Malaysia dari belenggu ke'ego'an BN bahawa hanya mereka sahaja
yang layak memerintah. Malaysia bukan milik UMNO. Malaysia bukan milik BN. Malaysia adalah milik seluruh rakyat Malaysia kini berjumlah 22 juta yang terdiri
dari pelbagai kaum, bangsa, keturunan, darjat, kepartian dan sebagainya.
Jika sesungguhnya BN sudah memerintah dengan baik dan sempurna, mengapakah timbul segala masalah dan mengundang segala petaka?®