Laman Yang Merestui Perjuangan Menegakkan Sebuah Negara Islam

Anda Pengunjung ke Sejak 4 Mac, 1999

Kemaskini Terakhir: 10 November 1999

______________________________________________________________________________

 


UMNO CABAR DEBAT, PAS SAMBUT CEPAT...CANTIK!, TAKBIR!!!

Para pemimpin muda BN semalam mengulangi mencabar mereka terhadap pemimpin muda pakatan Barisan Alternatif, untuk berdebat secara terbuka berhubung dengan hal-hal semasa negara khususnya isu politik.

Ketua Pengampu Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Datuk Hishammuddin Tun Hussein disifatkan sebagai berkata, sudah tiba masanya bagi pemimpin muda BN berdepan dengan pemimpin muda pakatan pembangkang menerusi perdebatan terbuka demi masa depan negara dan generasi akan datang.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Jawatankuasa Pergerakan Pemuda BN di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam sambil berkata pemuda Alternatif jangan berdolak dalik lagi kali ini.

Perdebatan terbuka itu boleh merangkumi perkara yang berkaitan bangsa, agama dan negara dan juga mengenai prinsip perundangan negara.

Hishammuddin berkata beliau akan mengetuai Pemuda BN yang turut disertai wakil empat parti komponen utama BN iaitu Umno, MCA, MIC dan Gerakan bagi tujuan perdebatan itu.

Katanya mesyuarat hari ini bersetuju memilih anggota Exco Pemuda Umno, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Ketua Pemuda MCA Datuk Ong Tee Kiat, Ketua Pemuda MIC, T. Muthiah dan Ketua Pemuda Gerakan Teng Chang Yeow sebagai wakil masing-masing.

Hishammuddin awal-awal telah menyatakan syarat bahawa butiran mengenai bagaimana perdebatan itu akan dijalankan, akan ditentukan oleh jawatankuasa urusetia debat yang dipengerusikan anggota Exco Pemuda Umno, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Mengenai sama ada Pemuda BN akan mengenakan apa-apa syarat lain bagi perdebatan itu, beliau berkata yang penting sekarang ialah menunggu jawapan pemimpin muda pakatan pembangkang mengenai perdebatan itu.

Sementara itu Pemuda PAS sedia berdebat dengan pemimpin Pemuda UMNO dalam sebarang isu sebagai menyahut cabaran UMNO, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Mahfuz Omar semalam.

Beliau berkata sebenarnya Pemuda PAS telah lama mengemukakan permintaan bagi mengadakan debat itu terutama dengan Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Tun Hussein.

Mahfuz disifatkan berkata; "Saya sangat bersetuju dan mengalu-alukan kenyataan itu. Kita menyahut cabaran itu kerana kita telah lama bersedia."

Katanya, Pemuda PAS akan membuat susulan kepada Ketua Pemuda UMNO supaya debat yang dicadangkan itu dapat diteruskan kerana Umno telah memberi "lampu hijau." "Kita sanggup mengadakan debat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), yang juga ibu pejabat Umno... malahan kita sanggup sekiranya semua hadirin adalah orang UMNO.

"Sekiranya mereka bersedia berdebat di TV, kita akan bersetuju tetapi dengan syarat diadakan secara langsung supaya rakyat dapat menilai hujah-hujah yang dikemukakan," katanya.