Laman Yang Merestui Perjuangan Menegakkan Sebuah Negara Islam

Anda Pengunjung ke Sejak 4 Mac, 1999

Kemaskini Terakhir: 11 November 1999

______________________________________________________________________________

 

KES SAMAN FITNAH RM100 JUTA DSAI KE ATAS SUN

Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan permohonan Sun Media Corporation Sdn Bhd, untuk mahkamah mendengar isu-isu awal dalam saman fitnah RM100 juta terhadapnya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Datuk Dr R.K Nathan membuat keputusan itu selepas peguam Sun Media Datuk V.K Lingam memberitahu mahkamah bahawa syarikat itu menarik balik permohonannya yang dibuat mengikut Perintah 33 Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, hakim itu tidak mengeluarkan perintah mengenai kos.

Lingam berkata anak guamnya akan memfailkan permohonan baru membatalkan keseluruhan saman itu mengikut Perintah 18 dan Nathan menetapkan 17 Jan tahun depan untuk pengurusan kes seterusnya.

Anwar, 52, menyaman Sun Media kerana mendakwa memfitnahnya melalui penerbitan sebuah artikel bertajuk "Anwar's Behaviour Is Despicable: PM" (Perangai Anwar Tidak Senonoh : PM) pada 23 Sept tahun lepas.

Anwar yang dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada 2 Sept, 1998, kerana sebab-sebab moral, mendakwa bahawa syarikat itu telah menerbitkan kata-kata fitnah terhadapnya tanpa mengesahkan fakta dengannya sebelum menerbitkan bahan itu.

Beliau memohon perintah injunksi bagi menghalang Sun Media Corporation, pengarah-pengarahnya, kakitangan, dan/atau agen-agen daripada terus menerbitkan artikel itu atau berita-berita yang hampir sama mengenainya.

Anwar juga memohon faedah daripada jumlah yang akan diputuskan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Beliau kini menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Tinggi mendapatinya bersalah terhadap empat kesalahan rasuah.

Dalam kenyataan pembelaan, Sun Media mengakui menerbitkan perkataan-perkataan itu tetapi menegaskan bahawa ia dilakukan mengikut pelindungan bersyarat.

Syarikat itu berkata ia mempunyai tanggungjawab sah, moral dan sosial untuk menerbitkan perkataan-perkataan itu kepada pembaca akhbar terbitannya, The Sun, yang mempunyai hak untuk menerima maklumat terbabit.

BERNAMA