MESEJ PENTING BUAT RAKYAT MALAYSIA SEMUA
Hari ini, penantian yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia telah menjadi kenyataan. Parlimen secara rasminya dibubarkan. Maka bermulalah episod
pilihanraya Malaysia yang ke-10 dalam seminggu dua lagi.
Rakyat Malaysia yang dihormati sekalian,
Sesungguhnya kita telah merdeka selama 42 tahun. Selama 42 tahun itulah kita telah diperintah dan didominasi oleh
parti Barisan Nasional. Dari semenjak lahir hingga bercucu, hidup kita dan mati kita adalah di bawah kerajaan Barisan Nasional. Sehinggakan kita seolah-olah
tidak kenal dengan “kerajaan” daripada parti yang lain dari BN. Kita seolah-olah sudah sebati dan menjadi darah daging dengan sinonimnya kerajaan BN ini.
Itulah kita selama 42 tahun menjadi rakyat Malaysia yang merdeka !
Rakyat Malaysia yang dihormati sekalian,
Sebagai suatu bangsa yang merdeka dan bermaruah, kita sudah tentu inginkan diri kita dan generasi keturunan kita
menjadi suatu bangsa yang bermaruah. Maruah merupakan perkara asas yang menentukan perbezaan antara kita dengan haiwan, antara kita yang waras dengan orang yang
tidak siuman. Tidak ada kehidupan yang lebih mulia selain dari menjadi orang yang bermaruah dan tidak ada kehidupan yang lebih hina selain menjadi orang yang
tidak bermaruah.
Samada kita sedari atau pun tidak, selama ini kita sebenarnya dihakis dan dikikis maruah kita oleh kerajaan Barisan Nasional. Selama ini kita tidak sedar dan
tidak mahu berfikir atau terbuka minda kita untuk melihat segala kecurangan dan kejahatan yang dilakukan oleh kerajaan BN, hinggakan kita menjadi akur dengan
segala perbuatan mereka samada kita suka atau tidak.
Rakyat Malaysia yang dihormati sekalian,
Itulah kerajaan Barisan Nasional. Sebuah kerajaan yang beraja di mata dan bersultan di hati. Mereka mengambil
kesempatan di atas kelemahan minda kita untuk merasa ‘celik’ di atas segala perbuatan mereka. Meraka merompak wang rakyat di atas nama pembangunan.
Meraka menyamun harta rakyat di atas nama kemajuan. Mereka menindas hak rakyat atas nama undang-undang dan peraturan. Namun, di sebalik jendela itu, mereka
memperbodohkan kita untuk melakukan jenayah dengan berselindung di balik kekebalan sebagai pemimpin.
Rakyat Malaysia yang dihormati sekalian,
Saya percaya anda semua sudah menjadi rakyat yang matang dan bijaksana. Saya percaya anda semua sudah tahu dan
boleh menilai antara intan dengan kaca. Saya percaya anda semua sudah melihat dengan mata kepala anda semua akan kejahatan dan penyelewengan yang dilakukan oleh
kerajaan BN selama ini. Saya percaya anda semua tidak redha untuk terus membiarkan kejahatan dan jenayah ke atas rakyat itu berterusan selama-lamanya. Saya
percaya hati nurani anda tidak mahu generasi anak-anak anda menderita jiwa dan fizikalnya menanggung beban akibat kejahatan yang dilakukan oleh kerajaan BN
tersebut.
Rakyat Malaysia yang dihormati sekalian,
Kini, sudah sampai masanya kita membuat perubahan. Marilah kita gantikan kerajaan BN ini dengan sebuah kerajaan
lain yang lebih berwibawa dan menjunjung kepentingan rakyat, bukannya menjunjung kepentingan para kroni dan perut sendiiri. Usahlah tuan –tuan takut dan
bimbang untuk membuat perubahan dengan mengundi Barisan Alternatif. Usahlah bimbang dengan dakyah-dakyah BN yang mengatakan akan berlaku huru hara jika
pembangkang menang. Telah 10 tahun PAS memerintah Kelantan. Adakah berlaku sebarang huruhara ? Adakah berlaku sebarang kebuluran ? Sebelum itu, bukankah BN yang
memerintah. Kemudian diganti dengan PAS. Adakah ada rakyat Kelantan yang mati kelaparan atau huruhara yang mengrobankan beribu nyawa sejak 10 tahun yang lalu ?
Rakyat Malaysia yang dihormati sekalian,
DI Filipina, bila regim Marcos tumbang, digantikan dengan kerajaan rakyat dan Aquino menjadi Presidennya. Adakah
Filipina terjadi huruhara dan rakyatnya kebuluran ? Di Indonesia, rakyatnya telah memilih presiden baru dan negara kembali aman. Di Australia, berlaku
pertukaran parti yang memerintah, adakah berlaku huruhara ? Di Britain, berlaku pertukaran parti memerintah. Adakah berlalu huruhara ? Malah mereka yang maju
makin bertambah maju dengan kerajaan baru yang lebih bijak mentadbir negara.
Rakyat Malaysia yang dihormati sekalian,
Sebenarnya, jika BN kalah dalam pilihanraya, yang akan huruhara bukannya rakyat atau negara. Yang akan
“huruhara” ialah para pemimpin BN yang kalah, yang tidak dapat lagi menjadi menteri. Ya… mereka akan ‘huruhara’ kerana tidak lagi dapat menyamun dan
merompak serta makan wang rasuah kerana tidak ada lagi kedudukan dalam kerajaan. Memang ‘huruhara’ sungguh sebab perut dan tembolok mereka tidak lagi dapat
disumbat dengan harta dan wang rakyat, yang disamun dan dirompak di atas nama peraturan dan pembangunan negara.
Rakyat Malaysia yang dihormati sekalian,
Percayalah, jika tuan-tuan dan puan-puan mengundi Barisan Alternatif, kehidupan dan masa depan akan menjadi lebih
gemilang. Tiada huruhara dan kacau bilau, sebaliknya keamanan dan kedamaian untuk semua rakyat Malaysia, malah kualiti kehidupan tuan-tuan akan lebih baik dan
sempurna lagi. Hak-hak rakyat yang dirampas oleh BN akan dikembalikan semula kepada tuan-tuan.
Oleh kerana inilah peluang keemasan yang tuan-tuan ada, selepas menanti selama 42 tahun, maka gunakanlah kebijaksanaan tuan-tuan semua untuk memberi dan
memperbaiki kualiti kehidupan tuan-tuan dan generasi tuan-tuan semua. Usahlah dipersesiakan peluang ini. Janganlah tuan-tuan perjudikan dan menggadai masa depan
generasi kita dengan kehancuran dan kejahatan yang dilakukan oleh Barisan Nasional. Cukuplah hanya kita yang menanggung sengsara akibat penyelewengan kerajaan
yang zalim ini. Jangan sampai anak cucu kita 20 – 30 tahun nanti menerima akibatnya, dek kerana kesilapan kita dalam memilih kerajaan yang bertanggungjawab.
Rakyat Malaysia yang dihormati sekalian,
Jadilah seorang yang pemberani. Jadilah seorang yang bijaksana. Janganlah ada rasa takut dan bimbang di hati untuk
menukar kerajaan kali ini. Percayalah, anda semua akan lebih makmur dan sejahtera jika ditadbir oleh kerajaan yang mementingkan rakyat marhain daripada memenuhi
nafsu para kroni dan anak-anak sendiri.
Marilah kita memberi peluang SEKALI SAHAJA pada kali ini kepada BARISAN ALTERNATIF untuk mentadbir negara ini. Kita lihat macam mana mereka mengurus negara.
Kemudian, jika mereka menyeleweng, kita akan pecat pula mereka. Usahlah dihantui bayangan khurafat dengan menganggap hanya BN sahajalah yang mampu mengurus
negara. Berilahlah peluang kepada Barisan Alternatif pula untuk menunjukkan kebijaksanaan mereka mentadbir negara. Kikislah semua fahaman karut yang masih
bersarang di kepala tuan-tuan bahawa hanya BN sahaja yang pandai dan tahu mengurus negara.
Rakyat Malaysia yang dihormati sekalian,
Tanpa mengira bangsa dan agama, marilah kita berani membuat perubahan. Marilah kita tumbangkan kerajaan BN yang
zalim dan menindas ini dalam pilihanraya kali ini. Janganlah takut dan cemas dengan taktik kotor BN. Jika anda semua menolong BA, nescaya kerajaan BA akan
menolong anda pula nanti. Marilah kita berani membuat perubahan. Kita masukkan kerajaan BN ke dalam bakul sampah Muzium Negara.
Bertindaklah dengan bijaksana demi anak cucu kita.
MARILAH MEMBUAT PERUBAHAN DALAM PILIHANRAYA INI. KITA TUMBANGKAN KERAJAAN BARISAN NASIONAL YANG RASUAH DAN MENINDAS INI.
Cucu Datuk Bahaman