Laman Yang Merestui Perjuangan Menegakkan Sebuah Negara Islam
Anda Pengunjung ke Sejak 4 Mac, 1999

Perhatian: Sila beralih ke Internet Explorer untuk paparan terbaik
KEMBALI LAGI UNTUK BERITA YANG LAIN PULA!!!

BONUS PILIHANRAYA

Bayaran bonus sebulan gaji bagi kakitangan kerajaan akan dibayar dalam empat ansuran mulai bulan ini.

"Anggota yang layak akan dibayar dalam empat bulan iaitu maksimum RM400 mula November 1999," demikian menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 1999 Imbuhan Tahunan 1999.

Pekeliling yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Datuk Samsudin Osman turut memberitahu baki bonus itu akan dibayar sama rata pada Disember, Januari dan Februari akan datang.

"Kerajaan telah membuat keputusan supaya Imbuhan Tahunan bagi tahun 1999 dibayar kepada anggota perkhidmatan awam persekutuan sebagai tanda penghargaan kerajaan ke atas sumbangan dan khidmat bakti mereka kepada negara," menurut pekeliling itu.

Menteri Kewangan Pertama Tun Daim Zainuddin mengumumkan pemberian bonus sebulan gaji atau sekurang-kurangnya RM1,000 kepada kakitangan awam ketika membentangkan Belanjawan 2000 pada 29 Okt lalu.

Jumlah bonus itu bagaimanapun meliputi bantuan khas RM600 yang dibayar RM100 sebulan mulai Julai 1999.

Daim kemudian berkata bonus itu mungkin akan dibayar dalam tiga ansuran mulai November atau Disember dan berterusan ke Januari.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Perkhidmatan Awam, Hasniah Rashid ketika dihubungi berkata, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan arahan agar jabatan kerajaan membuat pembayaran itu bagi gaji bulan November.

Katanya, semua jabatan kerajaan telah bersedia untuk membuat pembayaran bonus itu setelah menerima arahan daripada Akauntan Negara pada 16 Nov.

Menurut pekeliling itu, pemakaian arahan itu tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing.

Mereka yang layak menerima bonus itu ialah kakitangan kerajaan bertaraf tetap, sementara, sangkut, sambilan, kontrak dan guru sandaran yang berkhidmat dalam tahun 1999.

Kakitangan kerajaan yang bercuti separuh gaji termasuk cuti belajar dan dikenakan hukuman tatatertib amaran turut layak menerima bonus itu.

Sementara itu, kerajaan turut mengumumkan pembayaran Bayaran Khas Prestasi 1999 kepada anggota perkhidmatan awam dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi sebanyak sebulan gaji.

Kumpulan berkenaan tidak termasuk dalam kategori kakitangan kerajaan yang layak menerima bonus yang diumumkan baru-baru ini.

"Bayaran Khas Prestasi dibayar kepada anggota dalam perkhidmatan awam yang berkhidmat pada tahun 1999 iaitu anggota tetap, kontrak dan anggota yang dipinjamkan," menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 1999.

Kaedah pembayaran Bayaran Khas Prestasi itu juga seperti pembayaran bonus iaitu empat ansuran dengan bayaran maksimum RM400 pada November dan bakinya dibayar sama rata pada Disember, Januari dan Februari akan datang.

BERNAMA

Olahan dan Kendalian: polongcyber@mailcity.com  


Kemaskini Terakhir: 23 November, 1999