Laman Yang Merestui Perjuangan Menegakkan Sebuah Negara Islam
Anda Pengunjung ke Sejak 4 Mac, 1999

Perhatian: Sila beralih ke Internet Explorer untuk paparan terbaik
KEMBALI LAGI UNTUK BERITA YANG LAIN PULA!!!

Penyelewengan PM akan disiasat bila PAS berkuasa

ANAK BUKIT: Segala penyelewengan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, termasuk penyalahgunaan kuasa sewaktu beliau menggunakan segala jentera, wang, peralatan, agensi dan kementerian kerajaan dalam berkempen untuk kepentingan beliau dan parti Umno/BN selepas pembubaran kerajaan dan Parlimen, akan disiasat sepenuhnya apabila PAS diberi mandat memerintah nanti.

Demikian ditegaskan oleh Presiden PAS, Dato' Hj. Fadzil Mohd Noor, ketika mengulas lawatan berkempen tiga hari Dr. Mahathir di negeri Kedah, termasuk di perkarangan Kompleks Padi Beras Nasional Bhd. di sini dengan menggunakan segala kemudahan jentera, peralatan dan wang agensi separuh kerajaan berkenaan.

Katanya, kini kerajaan yang dipilih rakyat dalam pilihan raya lalu (1995), sudah tidak ada lagi setelah PM membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihan raya umum pada 29 September nanti.

"Yang ada sekarang ialah 'Kerajaan Sementara', yang tidak boleh hendak buat undang-undang atau apa-apa perjanjian dengan mana-mana pihak.

Kerajaan yang dipilih rakyat dahulu sudah tidak ada lagi. Pada 29 September ini, rakyat akan memilih satu kerajaan baru pula," jelasnya.

Beliau berkata, sebaliknya kalau Dr. Mahathir ada maruah, bermoral, dia tidak sepatutnya menggunakan segala jentera dan agensi kerajaan untuk kepentingan dia dan parti Umno/BN. "Bahkan dalam waktu kempen pilihan raya ini, tidak ada parti kerajaan dan tidak ada parti pembangkang, kerana kerajaan sudah tidak ada lagi.

"Kalau kita dengar TV dan akhbar sekarang menyebut bahawa Umno/BN itu parti kerajaan dan PAS/Barisan Alternatif (BA) adalah parti pembangkang, itu tidak betul.

Ini sama ada mereka tidak faham, atau sengaja hendak menunjukkan kelebihan BN," terang beliau di hadapan ribuan penduduk di sini, Ahad lalu.

Menurut Dato' Fadzil, bagi amalan sesetengah negara demokrasi yang lain, apabila Parlimen dibubarkan, orang yang dilantik menjadi Perdana Menteri mesti meletakkan jawatan, seperti negara Pakistan.

Bila kerajaan yang dipilih oleh rakyat telah tamat perkhidmatannya, maka ketua negara itu akan melantik Ketua Hakim Negara untuk memimpin "Kerajaan Sementara", sementara menunggu rakyat membuat keputusan dalam pilihan raya bagi melantik kerajaan baru, tambah beliau.

"Supaya di dalam tempoh antara waktu pembubaran parlimen sehingga waktu pilihan raya, parti yang memerintah dahulu, tidak boleh menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen bagi kepentingan partinya,sepatutnya begitu.

"Tetapi di Malaysia, selepas parlimen dibubarkan, Perdana Menteri, Menteri kabinet, Menteri Besar, Ahli Eksko, masih mengekalkan jawatan yang mereka sandang sebelum pembubaran Parlimen," tambah beliau.

Di Bernas baru-baru ini, kata beliau, Dr. Mahathir berucap dan berkempen bukan sekadar sebagai Presiden Umno, tetapi juga sebagai Perdana Menteri.

"Dan kemungkinan besar dia menggunakan wang rakyat untuk mengangkut orang ramai mendengar ucapan beliau. Saya tidak firkir dia menggunakan wang Umno. Sama ada dia guna wang Bernas atau mana-mana agensi kerajaan lain untuk membiayai segala kos perbelanjaan kempen pilihan rayanya di tempat tersebut.

"Ternyata ini satu perbuatan penyelewengan, satu penyalahgunaan kuasa. Sepatutnya jika dia hendak berkempen, berkempenlah sebagai Presiden Umno atau Pengerusi BN. Dia janganlah menggunakan badan-badan atau agensi kerajaan atau separuh kerajaan untuk mengumpul orang ramai, mengupah dan membayar wang. Dia boleh berceramah, tetapi biar atas nama Umno atau BN kalau dia seorang 'gentleman'," tegas beliau.

"Tetapi, oleh kerana dia ini telah menyeleweng, tidak 'gentleman', tidak ada keberanian, maka dia tidak buat perhimpunan dan perjumpaan atas nama Umno atau BN, tetapi hari ini menggunakan nama Bernas," katanya.

Menurut Pesuruhjaya PAS Kedah dan calon PAS bagi Dun Anak Bukit, walaupun Bernas telah diswastakan oleh Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN), tetapi LPN masih ada peranan mengawal perjalanan Bernas.

"Di dalam waktu tempoh Parlimen dibubarkan, ternyata dalam kempennya, Dr. Mahathir telah menggunakan wang agensi kerajaan dan wang kementerian kerajaan bagi kepentingan beliau dan partinya. Beliau menggunakan segala kemudahan kerajaan, termasuk jet eksekutif milik kerajaan bagi kepentingan peribadinya," tegasnya lagi.

"Ini satu perbuatan yang dikira salah mengikut Akta Pencegahan Rasuah. Dan rakyat tidak boleh membiarkan segala bentuk penyelewengan itu berlaku sampai berpuluh-puluh tahun berlalu. Mereka menganggap harta dan amanah yang diberi rakyat boleh disalahgunakan sesuka hati untuk kepentingan mereka.

"Oleh itu, jika PAS menang nanti, kita akan mengkaji segala penyelewengan beliau. Jika ternyata dan terbukti di segi undang-undang bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasa, kita akan membawanya ke mahkamah.

"Dia jangan buat sesuka hati, dia fikir rakyat ini bodoh dan buta di atas segala tindak-tanduknya. Rakyat sudah tahu hak mereka. Mereka tidak boleh membiarkan diri mereka dipermainkan oleh pemimpin Umno. Yang rakus, yang tamak,yang zalim, yang jahat. Kita bukannya hendak membalas dendam, tetapi kita mahukan keadilan.

"Sebagaimana yang berlaku di negara-negara lain seperti di Korea, Filipina atau di Indonesia, apabila sebuah kerajaan baru naik, dan terbukti kerajaan yang lama melakukan penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa, maka pemimpin-pemimpin kerajaan lama dihadapkan ke mahkamah, walaupun sebelum itu mereka adalah Presiden negara tersebut, sehinggakan sepertimana kita ketahui Presiden Filipina telah lari ke luar negeri kerana takut didakwa dan diadili oleh rakyatnya sendiri" kata Presiden PAS.

Kata beliau lagi, tidak seperti pemerintahan bersih kerajaan PAS di Kelantan, di mana Dato' Menteri Besar, Tuan Guru Hj. Nik Aziz melarang anggota Eksko menggunakan kereta dan segala jentera kerajaan negeri dalam berkempen untuk kemenangan parti PAS.

Laporan khas
HJ. AZLAN AHMAD (Wartawan ekonomi Harakah)

 
Olahan dan Kendalian: polongcyber@mailcity.com  


Kemaskini Terakhir: 24 November, 1999