MURAD DISAMAN RM 70JUTA
Aliran mengemukakan saman fitnah RM70 juta terhadap bekas penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid terhadap dakwaannya yang Aliran dan bekas
presidennya Dr Chandra Muzaffar telah menerima RM5 juta daripada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dakwaan itu yang terkandung dalam perisytiharan berkanun Murad bertarikh 26 Okt lepas menamakan beberapa orang dan pertubuhan sebagai mendapat
peruntukan daripada akaun-akaun milik Anwar.
Saman itu dikemukakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini, hari ini, menurut Aliran dalam satu
kenyataan.
Pertubuhan bukan kerajaan itu berkata, Aliran secara sebulat suara telah memutuskan dalam mesyuarat agung tahunannya pada 21 Nov untuk
mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan itu.
"Anggota-anggota menggangap pembohongan Murad sebagai perbuatan sengaja dan diatur untuk
mencemarkan kewibawaan dan reputasi Aliran. Bagi kita kewibawaan kita sangat penting dan kita tidak akan membiarkan Murad melepaskan diri begitu sahaja,"
kata kenyataan itu lagi.
Murad, 46, mendakwa wujudnya lebih 20 akaun induk bernilai RM3 bilion yang dikendalikan oleh orang-orang tertentu bagi Anwar
untuk mencapai cita-cita politiknya.
Murad berkata, sekurang-kurangnya sembilan pihak termasuk Aliran dan Dr Chandra, telah menerima sejumlah RM121 juta
antara 1992 dan 1997.
Aliran menafikan ia pernah menerima sebarang jumlah wang daripada Anwar dan berkata dalam tempoh yang dinyatakan oleh Murad, Aliran
ataupun mana-mana anggota jawatankuasa ekskutifnya tidak mempunyai apa-apa urusan atau hubungan dengan Anwar, yang juga bekas Menteri Kewangan.
Dr
Chandra telahpun mengemukakan saman fitnah peribadi terhadap Murad pada 3 Nov lepas meminta pampasan berjumlah RM70 juta. Beliau juga meminta perintah
menghalang Murad daripada menerbitkan dakwaan itu.
BERNAMA
|