Laman Yang Merestui Perjuangan Menegakkan Sebuah Negara Islam
Anda Adalah Pengunjung ke Sejak 4 Mac 1999

AMANAT BAKAL PM KEPADA PENGUNDI ALTERNATIF

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tarikh pilihanraya umum 1999 telah ditetapkan pada 29 November ini. Sepertimana yang telah saya nyatakan, ini merupakan kesempatan dan peluang terbaik yang tidak mudah berlaku. Di tengah    suasana kesedaran rakyat, pendedahan orang ramai  tentang komplot-komplot keburukan dan kebobrokan kerajaan pimpinan Dato' Seri Dr Mahathir yang menyebabkan kita berfikiran terbuka dan memilih kerajaan alternatif, gabungan mantap parti-parti PAS, KeADILan, DAP dan PRM. Saya percaya sekutu-sekutu Barisan Alternatif di Sabah dan Sarawak akan turut bekerjasama menjadikan Barisan Alternatif pakatan yang lebih ____, mampu dan berwibawa.

Kita tonjolkan senarai barisan kepimpinan yang mempunyai keikhlasan, pengalaman daya tahan dan daya juang. Ia berbeda dengan kepimpinan BN: bukan sahaja tokoh-tokoh utama seperti Dato' Seri Dr Mahathir , Tun Daim Zainuddin yang nyata memunggah khazanah dan kekayaan negara untuk  keluarga dan kroni tetapi jangkitan masalah rasuah dan tindakan rakus ini menular ke peringkat kepimpinan negeri dengan penguasaan balak yang luar biasa dengan mahligai besar di dalam negeri, di Turki, di Amerika dan serata dunia. 

Ini tidak boleh dibiarkan. Negara akan musnah, parah sekiranya kita izinkan gejala negatif ini mengikis kekuatan induk negara kita. Barisan Alternatif tegas dalam memastikan undang-undang dihormati, martabat sistem kehakiman dipertingkatkan, polis yang lebih profesional dan pendakwaan yang lebih telus. Kita juga akan lebih tegas dalam usaha membasmi kecenderungan rasuah dan menyerang gerombolan kekayaan yang berlegar di kalangan segelintir kelompok kecil. Kita mahu rakyat miskin di bandar dan di desa serta di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak diberikan perhatian dan pembelaan sewajarnya. 

Tiada sebab munasabah yang dapat kita terima untuk menyatakan bahawa kita harus menangguhkan projek- projek yang membela nasib rakyat terbanyak, melainkan jika kita ghairah dan gila dengan projek- projek mega dan gah yang melaungkan sikap angkuh dan takabbur, menelan belanja berbilion ringgit, kononnya untuk meninggikan imej negara; tetapi sebenarnya tidak lain untuk  memuaskan nafsu serakah manusia yang tidak pernah puas dengan kegilaan terhadap projek-projek besar dan
kemudiannya menggunakan kesempatan untuk menghadiahkan ongkos dan anugerah untuk anak- anak, keluarga dan kroni, justeru mendapat kekayaan yang berlebihan. Ini mesti dihentikan.

Saudara saudari yang saya hormati, kita tidak bermaksud untuk menggunakan peluang ini untuk membalas dendam atau menimbulkan masalah. Kita mahu pertahankan negara Malaysia yang aman. Kita ingin jaminan keadilan dipertunjangkan di negara ini. Kita tahu keupayaan rakyat di negara kita. Yang penting ialah pelaksanaan agenda perjuangan Barisan Alternatif yang tertera dalam manifesto yang dirangka bersama secara sepasukan
.
Minggu ini nanti, media, alat BN yang sebenarnya dipunyai oleh Dato' Seri Dr Mahathir, sepertimana yang telah saya tegaskan, memegang 70% ekuiti Real Mild dalam MRCB yang menguasai kumpulan Straits Times iaitu New Straits Times, Berita Harian dan TV3. Tidak hairanlah jika beliau, Tun Daim Zainuddin dan proksi mereka akan menggunakan peluang ini bukan untuk soal negara tetapi untuk kepentingan peribadi kerana mereka ini terlibat dalam kegiatan rasuah dan salah guna kuasa yang terlalu ekstremis. 

Kita, orang Melayu, orang UMNO disogokkan oleh pengolahan dasar berita yang ditentukan oleh Presiden UMNO, Dato' Seri Dr Mahathir. Saluran media mutakhir yang lainnya seperti The Star dikuasai oleh MCA, melalui Dato' Seri Dr Lim Liong Sik yang mempunyai anak muda, merangkap seorang "billionaire" yang mempunyai kepentingan yang luar biasa. Akhbar The Sun pula dimonopoli oleh Vincent Tan, ahli korporat yang terlibat dalam perniagaan perjudian, rapat dengan Dato' Seri Dr Mahathir, Pengerusi BN
.
Kita berdepan dengan jentera kerajaan mendominasi segenap sumber informasi dan maklumat yang ada. Akan tetapi, saya tidak bimbang kerana saya tahu sikap pegawai-pegawai kerajaan; saya tahu sikap guru-guru; saya tahu sikap jentera kerajaan; dan saya percaya wujud elemen kesedaran di kalangan masyarakat yang Insya-Allah akan membantu. Kita perlu sedar bahawa media akan menyerang. Tetapi masyarakat harus matang menilai bahawa ini pekerjaan golongan yang paling
terdesak dan gelabah yang ingin mempertahankan kuasa dengan sebarang kos, dengan sebarang cara yang mungkin tanpa hirau halal dan haram. 

Saudara saudari yang dikasihi sekalian, kita harus mengambil kesempatan memilih calon-calon Barisan Alternatif : PAS, KeADIL an, DAP dan PRM. Saya percaya akan wujud kempen-kempen yang membibitkan dan mewujudkan sentimen perkauman dan keagamaan serta menggunakan fakta-fakta yang buruk dan jelik dan menabur fitnah durjana.

Di kalangan orang Melayu pula akan digembar-gemburkan bahawa DAP ialah parti perkauman Cina yang merbahaya. Ini sahaja modal BN untuk melupakan dan melalaikan masyarakat tentang kezaliman, rasuah dan kerakusan mereka. Mereka akan cuba menakut-nakutkan rakyat dengan kaupayaan BN. Saya sendiri sepanjang tahun ini telah menerima penderaan secara fizikal, diaib dan dikecam bertubi-tubi dengan tohmahan dan tuduhan yang sama sekali tidak berasas. Tetapi, Insya-Allah kita akan bertahan kerana kita yakin, akhirnya, Allah yang akan menentukan dan menakdirkan. Kita merancang dan berusaha, mereka juga merancang dan berusaha, tetapi Allah sentiasa bersama-sama orang-orang yang benar.

Saya terharu dengan sokongan rakan-rakan dan saya  menyeru kerjasama daripada semua. Berilah peluang kepada kami untuk menunjukkan keupayaan kami sebagai satu pasukan. Saya yakin kita berupaya menjana perpaduan yang aman dan saksama serta bergabung tenaga dalam kelompok Islam dan bukan Islam: Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan; membentuk perpaduan yang lebih bermakna, bukan bersatu-padu untuk sama-sama memonopoli kekayaan negara, bukan bersatu- padu memperkayakan diri dan keluarga tetapi bersama-sama untuk membela dan membangunkan negara dan rakyat serta menumpukan sepenuhnya untuk membentuk ekonomi yang lebih rancak; pertumbuhan ekonomi yang lebih menarik minat dan hubungan pelabur dari dalam dan luar negara; pertumbuhan ekonomi yang lebih menjamin peluang pekerjaan dan pengagihan kekayaan yang lebih adil; dan tidak mungkin kita benarkan lagi penswastaan serta projek mega yang merentap kekayaan negara dan menyebabkannya berlegar di sekeliling sesetengah pihak sahaja.

Kita sedar di Malaysia, tahap agama dan kesedaran beragama sangat asasi dalam nilai dan akidah kita. Oleh yang demikian, pemerintahan Barisan Alternatif mengesyorkan supaya penghayatan Islam lebih bermakna dan lebih menjurus kepada pengertian dan pelaksanaan. Kita juga insaf bahawa pelaksanaannya tidak bermaksud sama sekali untuk menimbulkan permasalahan kepada bukan Islam lebih-lebih lagi kerana jaminan kita adalah jelas bahawa agama mereka, budaya mereka, bahasa semua kaum akan diperkembangkan. 

Bahasa Melayu, bahasa rasmi yang tunggal dan bahasa kebangsaan, akan dipertingkatkan, selaras dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan. Akan tetapi, kita akan mengambil pendekatan yang cukup liberal. Kita menganjurkan supaya perkembangan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab dipertingkatkan. Bahasa Cina menjadi bahasa yang cukup penting bukan sahaja dalam Malaysia tetapi di rantau ini. Bahasa Tamil, Bahasa Iban, Bahasa Kadazan dan lain-lain suku kaum juga akan dipertingkatkan. Asalkan penerimaan bahasa induk, Bahasa Melayu tidak dipertikaikan, bahasa bagi kami merupakan sesuatu yang  boleh digalakkan.

Perkembangan kebudayaan yang memperlihatkan keupayaan Asia dan budaya Asia yang pelbagai adalah sesuatu yang boleh kita tonjolkan secara positif. Pokoknya, kerjasama dan pakatan antara kaum dan kelompok bukan pakatan untuk menogok kekayaan untuk diri tetapi untuk kita gunakan dan manfaatkan demi negara kita ini. Saya seru sekali lagi rakan-rakan, pegawai-pegawai  kerajaan, pekerja-pekerja di industri dan ladang, petani dan nelayan, guru-guru, suri rumahtangga, lelaki dan wanita, golongan muda untuk memberikan kerjasama.

Saya juga turut sedih dengan keputusan SPR, Suruhanjaya Pilihanraya yang gagal memberi peluang kepada pengundi-pengundi baru berjumlah 650,000 orang sekaligus menafikan hak mereka untuk mengundi. Ini merupakan sesuatu yang meng'aib'kan bagi sebuah negara yang moden, bangga dengan Koridoraya Multimedia tetapi gagal menyempurnakan tanggungjawab dengan cekap dan efisyen. Ini tidak boleh tidak berkaitan dengan kepercayaan dan persepsi orang ramai bahawa sejumlah besar pengundi-pengundi baru mirip dan cenderung menyokong Barisan Alternatif. Tetapi, jangan bimbang, mereka ini memainkan peranan yang penting: jalankan kerja, teruskan usaha secara sukarela membantu Barisan Alternatif, berikan penerangan, bantu sedaya-upaya dan Insya-Allah kita pastikan ada perubahan yang berlaku.

Rakan-rakan dari pasukan keselamatan, khususnya polis dan tentera terpaksa mengundi secara pos. Kita telah bantah dan minta supaya undi-undi ini dimasukkan tetapi tidak diberi. Kita telah usulkan supaya pengawasan parti-parti politik yang bertanding ditingkatkan. Janganlah pasukan polis dan tentera dipertahankan sebagai pahlawan tetapi hak mereka untuk mengundi disia-siakan. Mereka juga merupakan warganegara yang banyak menabur sumbangan, justeru tidak harus dipermain- mainkan dan diperkotak-katikkan.  

Kita meminta agar orang lain mewakili mereka untuk mengundi. Cukup bukti yang ditunjukkan, termasuk bukti yang dikemukakan oleh PBS di Sarawak mengenai undi-undi hantu atau "phantom voters". Sepatutnya perkara ini tidak berlaku untuk tidak menjejaskan kedudukan pengundian.

Saudara-saudari yang dihormati, berilah kesempatan, peluang kepada kita, sokonglah calon-calon kita daripada PAS, KeADILan, DAP, Parti Rakyat Malaysia serta calon-calon sekutu di Sabah dan Sarawak. Berilah peluang untuk kita buktikan kali ini; kita telah beri peluang sekian lama kepada kepimpinan daripada BN. Berilah peluang untuk kita pula bertindak.

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
 

Anwar Ibrahim
Calon PM Malaysia 2000

Olahan dan Kendalian: polongcyber@mailcity.com
Kemaskini Terakhir Pada:25 November, 1999