PENDIRIAN PAS TENTANG NEGARA ISLAM
Kekeliruan berbagai pihak, terutamanya UMNO, mengenai negara Islam adalah
kerana ketaksuban mereka dengan istilah negara Islam dan juga kejahilan mereka
tentang sirah rasullullah dan sejarah Islam.
Di dalam perlembagaan PAS, disebut di dalam fasal lima, tujuan PAS ialah :
Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan
pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan
hukum-hukumnya
menuju keredhaan Allah
dan
Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Tidak terdapat di dalam perlembagaan PAS secara tersurat perkataan "NEGARA
ISLAM" tetapi secara tersirat sekiranya tujuan PAS tercapai maka dengan
sendirinya
tertegaklah NEGARA ISLAM.
Di dalam manifesto yang dipersetujui oleh kesemua parti di dalam Barisan
Alternatif, termaktub seperti berikut:
MS –7 – Masyarakat adil yang kita hasratkan itu mestilah dibina atas asas
nilai-nilai rohani dan akhlak yang tersimpul dalam ajaran Islam dan
ajaran-ajaran
agama lainya. Pengalaman Islam sebagai ad-deen dan
penghayatan nilai-nilai kerohanian-baik pada tahap individu maupun pada
tahap masyarakat-adalah benteng
yang melindungi kita daripada korupsi,
tamak haloba dan keruntuhan moral.
MS-9-Mewujudkan suasana yang mengalakkan-melalui penyediaan prasarana,
pendidikan dan perundangan- ke arah penghayatan Islam sebagai sistem hidup
yang
menyeluruh (ad-deen) dikalangan umat Islam, disamping memastikan
bahawa hak masyarakat bukan Islam mengamalkan agama atau kepercayaan
masing-masing terus
terjamin.
MS 24 – Mengkaji semula kedudukan, pentadbiran dan perlaksanaan
undang-undang syariah bagi menjamin perlaksanaan keadilan dan melindungi
aqidah umat
Islam.
Ini adalah sebahagian daripada kenyataan yang terdapat di dalam manifesto
BA yang menunjukkan yang semangat perjuangan PAS tidak tertinggal dan apa
yang
diperjuangkan PAS turut dipersetujui oleh parti-parti komponen PAS
kerana perkara-perkara tersebut merupakan tuntutan nilai moral dan
kemanusian
sejagat.
Cita-cita BA untuk menegakkan Malaysia yang adil dan demokratik tidak
bercanggah dengan aspirasi perjuangan PAS malah ini merupakan prasyarat
untuk
membolehkan PAS memperjuangkan wujudnya satu masyarakat yang bebas
mengamalkan kepercayaan mereka – samada Islam atau bukan Islam.
Diperingkat pimpinan kesemua parti, konsep ini tidak susah hendak difahami
kerana secara prinsipnya tuntutan agama islam merupakan tuntutan dan ajaran
nilai-nilai
moral sejagat yang diajarkan oleh semua agama. Perbezaan
pendapat hanya timbul bila hukum hudud dibangkitkan. Persoalan hukum hudud
harus dilihat daripada
beberapa perspektif dan perlaksanaanya di dalam
beberapa peringkat. PAS tidak terburu-buru melaksanakan hukum hudud selagi
rakyat terbanyak masih tidak
menerima penerangan yang jelas. Ketakutan
rakyat islam sendiri adalah kerana perkara ini dipandang enteng dan tidak
penting di masa yang lepas oleh
pendakwah-pendakwah terutamanya oleh
ustaz-ustaz UMNO. Ketidakfahaman orang-orang bukan Islam tidaklah
menghairankan kerana mereka bukan orang islam dan
tambahan pula UMNO sering
menakut-nakutkan mereka tentang hukum hudud dan juga UMNOlah yang sering
mengatakan negara ini tidak boleh menjalankan hukum
Islam kerana sifat
majmuknya. UMNO lupa (atau jahil sangat) yang semasa nabi Muhammad
memerintah Madinah, masyarakat Madinah terdiri daripada berbagai
bangsa dan
berbagai ugama. Dalam masa kurang daripada 23 tahun, semua rakyat Madinah
sudah boleh menerima hukum-hukum Islam kerana hukum-hukum Islam bukan
sahaja
melindungi umat Islam tetapi juga menjaga kepentingan bukan islam.
Apabila negara Malaysia mula memperkenalkan hukuman mati kepada pengedar
dadah, hukuman ini telah dikecam oleh berbagai pihak dan negara asing.
Tetapi
Malaysia yakin yang pengedar dadah amat merbahaya kepada masyarakat
kerana merosakkan dan melemahkan masyarakat dengan secara perlahan. Walau
apa pun
tanggapan masyarakat antarabangsa Malaysia tetap melaksanakan
hukuman tersebut. Selepas hukuman itu diperkenalkan, kerajaan telah
menjalankan kempen
bersungguh-sungguh siang dan malam untuk
menjustifikasikan tindakannya. Dadah yang pada hakikatnya disegi hukum
bukan najis telah dinajiskan. Ini kerana
kerajaan yakin tentang keburukan
dan bahaya dadah. Pada ketika itu, mereka-mereka yang tidak terlibat secara
langsung atau tidak langsung dengan masalah
dadah menganggap yang hukuman
tersebut adalah zalim dan tidak berperi kemanusiaan. Tetapi bagi keluarga
yang mempunyai anggotanya yang menagih dadah
merasa lega yang petualang
yang menjebakkan anak-anak mereka ke kancah penagihan dadah menerima
hukuman yang pada perkiraan mereka setimpal dengan dosa
mereka dan
menyifatkannya sebagai adil dan menepati sasaran.
Begitu juga dengan rancangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud. Masyarakat
patut diberi penerangan sewajarnya tentang perkara tersebut. Tetapi PAS
tidak
berpeluang dalam erti kata sebenarnya untuk menerangkannya pada
masyarakat dan UMNO telah mengambil kesempatan sewenang-wenangnya untuk
mempolitikkan
perkara tersebut.
Sekiranya BA menang di dalam pilihanraya, peringkat pertama di dalam
merealisasikan dan menegakkan hukum Allah ialah menerangkan dengan
sebaiknya kepada
rakyat Malaysia. BA dengan iltizamnya untuk membina negara
berdemokrasi tulen akan memberi ruang kepada semua pihak mengutarakan dan
mendebatkan pandangan
masing-masing. PAS akan mengambil peluang menerangkan
dan mendidik rakyat mengenai perkara-perkara yang masih tidak jelas. PAS
percaya sekiranya rakyat
diberi peluang membuat penilaian dan membuat
keputusan berasaskan ilmu dan maklumat yang betul, rakyat yang bermoral
tidak kira Islam dan bukan Islam
dengan sendirinya akan meminta hukuman
Islam ditegakkan.
Di dalam sesuatu kerjasama, pemimpin yang bijaksana melihat dahulu kepada
perkara-perkara yang "common" di antara mereka. Parti-parti di dalam BA
bersetuju
yang agenda menegakkan keadilan, menumbangkan kerajaan yang zalim
dan menghapuskan kronisme, korupsi dan nepotisme (dan banyak lagi) adalah
perkara yang
wajib diperjuangkan dahulu. PAS tak mungkin dapat menerangkan
kepada rakyat sekiranya kerajaan yang terpilih (terutamanya BN) tidak
melaksanakan demokrasi
tulen.
PAS tidak pernah berbohong kepada penyokong atau kepada parti-parti
komponen BA. Hakikatnya peluang dan ruang yang ada pada PAS sangat terhad.
Tidak semua
lapis penyokong atau ahli mampu memahami aspirasi dan wawasan
pemimpin dan tidak semua pelan perlaksanaan harus dipaparkan kepada umum.
PAS boleh menjamin
jika media tidak berat sebelah dan tidak prejudis,
penerangan dan perdebatan mengenai hukum Islam (terutamanya hukum hudud)
dapat dibereskan dalam masa
satu tahun! Semua kesamaran dapat di jelaskan.
PAS yakin, BN tidak mempunyai "political will" untuk melaksanakan Islam
dalam ertikata sebenar.
BN hanya berminat menunjukkan syiar atau simbol
Islam tetapi tidak mampu dan tidak mahu melaksanakan Islam dalam erti kata
yang sebenar. Apa jua
propoganda yang dimainkan oleh UMNO dan BN mengenai
Negara Islam sekarang adalah mengambil kesempatan di atas kedaifan ilmu
sebenar rakyat terbanyak dan
bertujuan melaga-lagakan parti komponen BA dan
menimbulkan keraguan penyokong PAS terhadap pucuk pimpinan mereka. BN dan
kuncu-kuncunya akan berbuat apa
saja asalkan Islam tidak tertegak di bumi
Malaysia. Contohnya apabila UM (16hb Nov) menyiarkan gambar wanita Aceh
memegang senjata, "caption"
dibawah gambar mengimplikasikan yang mereka
menuntut NEGARA ISLAM. Rakyat terbanyak akan mengaitkan NEGARA ISLAM dengan
keganasan dan peperangan.
PAS yakin kerjasama yang terjalin diantara parti komponen BA diperingkat
pimpinan adalah berasaskan kepada kepercayaan yang menegakkan Malaysia yang
adil
dan berdemokrasi tulen adalah lebih aula/utama buat masa terdekat.
Daripada:
Bilik Gerakan Pilihanraya Pusat PAS 17/11/99