|
BARISAN ALTERNATIF : 65 ATAU 98 KERUSI ?Teguran Mahathir bahawa pilihanraya 1999 ini adalah yang paling kotor dalam sejarah memang menjadi kenyataan. Mahathir dan BN berusaha membuat apa saja daripada menayangkan iklan-iklan politik dalam TV; sesuatu yang tidak pernah dibuatnya dalam pemilu-pemilu yang lepas sehinggalah menerbitkan video-video lucah tokoh-tokoh pembangkang termasuk saudara Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meraih kemenangan. Mahathir dan BN sanggup meletakkan maruah mereka ke tahap begitu rendah dan keji sekali bagi melakukan apa saja untuk memastikan kemenangan besar dan memperolehi 2/3 majoriti bagi BN. Perbuatan ini sangat memalukan masyarakat khususnya orang-orang Melayu yang kaya dengan adab sopan,agama dan budaya. Masanya sudah tiba bagi kita memilih kerajaan baru sama ada BA atau BN? Kitalah yang menentukannya, bukan Mahathir, bukan Ling Liong Sik, bukan Lim Keng Yaik atau Samy Vellu yang buat keputusan. Selama 17 tahun yang lalu kita sering berhadapan dengan Mahathir, Abdullah Badawi, Daim, Rafidah, Megat Joned, Ling Liong Sik, Samy Vellu dan lain-lain menteri dan menteri besar yang jelas kita tahu mereka ini terang-terang terlibat dengan rasuah, salahguna kuasa, penipuan, skandal seks, kronisma dan nepotisma? Selagi kita pilih Mahathir dan kuncu-kuncunya selagi itu rahsia-rahsia rasuah, salahguna kuasa dan penipuan mereka itu akan berterusan dan tersembunyi daripada kita semua buat selama-lamanya. Kita tahu Mahathir dan kuncu-kuncunya ini mengamalkan rasuah, menyalahgunakan kuasa, menipu dan melindungi orang-orang macam Rahim Thamby Cik dan Rahim Noor, patutkah kita pilih mereka lagi? Mahukah satu hari nanti adik beradik atau anak-anak kita sendiri menjadi mangsa ganas Rahim Thamby Chik atau Rahim Noor atau kroni-kroni Mahathir yang bebas dan bermaharajalela itu? Pilihanraya ini adalah sangat penting bagi “survival” Mahathir dan akan menguji popularitinya di kalangan rakyat jelata umumnya dan UMNO khususnya. Mahathir mahu kemenangan besar supaya beliau boleh kekal menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO nanti. Kemenangan BN tanpa majoriti 2/3 atau kekalahan BN dalam pilihanraya ini bererti tamatlah era Mahathir dan sudah pasti UMNO akan menyingkirkannya dari jawatan Presiden. Sebelum UMNO singirkan Mahathir mari kita ramai-ramai singkirkan Mahathir dan menteri-menterinya terlebih dahulu! Akhbar-akhbar tempatan rata-rata meramalkan bahawa BN akan menang besar dan mencapai majoriti 2/3 yang diidam-idamkan itu. Kononnya 4.2 juta pengundi adalah ahli tetap BN dan BN perlukan sekurang-kurangnya 800,000 pengundi bukan ahli lagi untuk mencapai kejayaan. Apakah ini benar? Ramai mana pengundi hantu? Sebanyak 192 daripada 193(BN menang satu tanpa bertanding) kerusi Parlimen dipertandingan. Kalau BA/PBS menang 65 kerusi bererti BN akan gagal memperolehi majoriti 2/3. Kalau BA/PBS menang 97 kerusi bermakna BN akan kalah . Kalau BA/PBS dapat 128 kerusi bererti BA/PBS menang dan memperolehi majoriti 2/3 dalam Parlimen. Di Semenanjung BA berentap dengan BN satu lawan satu di semua 144 kawasan kerusi Parlimen. BA mengemukakan 105 calon Melayu dan 39 calon bukan Melayu. BN pula meletakkan 92 calon-calon Melayu dan 52 calon-calon bukan Melayu. Bagi 92 kerusi Parlimen calon PAS atau Keadilan berhadapan satu lawan satu dengan calon UMNO. Memandangkan undi orang-orang Melayu berpecah 50:50 kemungkinan BA boleh merangkul sekurang-kurang 37 buah kerusi. Bagi 13 kerusi Parlimen calon-calon Melayu BA berentap dengan calon-calon Bukan Melayu dari BN. Di 13 kawasan Parlimen ini majoriti pengundi adalah orang-orang Melayu yang secara tradisinya sejak dahulu lagi akan memilih BN tidak kira calon itu calon MCA atau MIC atau Gerakan. Soalannya sekarang apakah majoriti orang-orang Melayu di 13 kawasan Parlimen ini yang secara tradisi memilih BN akan memilih calon BN Bukan Melayu? Jikalau pengundi-pengundi Melayu ini berpaling tadah memilih BA, kemungkinan besar BA menang 10 daripada 13 kerusi yang dipertandingkan itu. Bagi 39 kerusi Palimen lagi pertandingan berlaku antara calon-calon Bukan Melayu BA dengan calon-calon Bukan Melayu BN, kemungkin besar BA memperolehi 16 kerusi. Di Sabah PBS boleh menang 8 kerusi dan 1 kerusi untuk BA. BN boleh menang 12 kerusi daripada 21 yang dipertandingkan . Di Sarawak mungkin 3 kerusi dimenangi oleh BA dan 25 dimenangi oleh BN termasuk 1 kerusi yang menang tanpa bertanding. Secara rambang , diramalkan bahawa, gandingan BA/PBS boleh memperolehi lebih kurang 75 buah kerusi Parlimen dan dengan itu menggagalkan hasrat majoriti 2/3 BN. Sebaliknya kalau arus perubahan dan reformasi bertiup kencang mungkin gandingan BA/PBS boleh memenangi pilihanraya ini dengan majoriti besar. Insyallah, kita merancang, Tuhan yang menentukannya. Marilah kita turun ramai-ramai untuk memilih kerajaan baru kita. Jika mereka hulur wang kita ambil,j ika mereka beri kain dan pakaian kita ambil, bonos akan dibayar kita ambil, dividen dan bonos ASB mereka akan bagi kita ambil. Bila mengundi pilih Barisan Alternatif ! Undi Barisan Alternatif.
ALI ALLAH DITTA |
Olahan dan Kendalian: polongcyber@mailcity.com
|