|
Walaupun tidak bertanding (dalam pilihan raya)Saya tetap lawan- Harun DinDato' Dr. Harun Din, seorang tokoh ulama terkenal telah menjadi objek polemik BN apabila dikatakan tidak bertanding dalam pilihan raya ini. Ikuti jawapan beliau sendiri kepada DINSMAN dan AHMAD LUTFI OTHMAN dalam wawancara dengan mereka baru-baru ini.
Saya meletakkan matlamat perjuangan Islam ini ialah untuk mewujudkan satu iklim
masyarakat yang bersendikan kepada sendi-sendi syarak, untuk merealisasikan cara hidup Islam dalam sebuah negara Islam, bagi menuju keredaan
Allah SWT. Itu matlamat saya.
HARAKAH: Bagaimana latar belakang boleh timbul ura-ura Ustaz hendak menentang Mahathir dan Shahidan dalam pilihan raya ini? HARON DIN: Kalau kita menyorot ke belakang, saya masih ingat ketika berceramah dalam siri biasa ceramah politik dengan Dato' Dr.Hasan Ali di Parit Buntar pada awal tahun ini, selepas berlakunya peristiwa Anwar dipecat, ketika itu secara sepontan selepas saya berbicara, Datuk Hasan Ali tiba-tiba membuat kesimpulan dengan mengatakan, tidak ada orang di Malaysia ini yang boleh sebanding dan setanding untuk menentang Dr. Mahathir, melainkan seorang sahaja. Dia bertanya kepada publik ketika itu, "Siapakah orang itu?" Publik yang jawab: Dr. Haron Din. Dia pun buat kesimpulan ketika itu dan mengisytiharkan Dr. Haron Din akan menentang Dr. Mahathir. Keesokan harinya keluar berita bahawa Haron Din akan menentang Mahathir. Kenyataan itu bukan keluar daripada saya. Itu senario yang sebenarnya. Kemudian berjalanlah senario politik tanahair dimana saya berkempen di seluruh negara, sampailah pada satu peringkat timbul desas-desus dalam beberapa lokasi dan ceramah, orang menyebut saya akan menentang Dr. Mahathir dan Dato' Seri Shahidan Kassim. Tetapi tidak pernah saya menyebut dari mulut saya. Sehingga berlaku peristiwa mutakhir sekali, pada hari hendak diisytiharkan pembubaran parlimen, saya kebetulan berada di Hospital Island, Pulau Pinang, kerana satu urusan peribadi. Bila saya keluar dari sebuah bilik, saya bertemu dengan sekumpulan orang yang tidak saya kenali, yang menyapa dan mengerumuni saya. Mereka bertanya, dan saya ketika itu berseloroh dengan jawapan seperti yang saya berikan dalam beberapa ceramah. Saya kata, "saya akan melawan Dr Mahathir dan melawan Shahidan Kassim." Esoknya keluarlah berita dalam akhbar: Haron Din akan bertanding melawan Dr. Mahathir. Bukan perkataan saya. Maka hebohlah suasana tanah air. Bila sampai hari penamaan calon, memang mereka dapati saya tidak bertanding, tetapi saya melawan. Saya terus melawan sampai hari ini. Melawan pada saya lain istilahnya daripada bertanding. Ada orang bertanding dengan tidak melawan, ada orang melawan dengan tidak bertanding, ada orang berlawan dengan bertanding. Pada saya itu perkara biasa. Tetapi bila timbul perkara saya tidak bertanding, ia telah dijadikan satu isu politik yang agak besar hingga wartawan tanahair dan luar tana hair mengejar saya ke mana saya berada. Tanya, mengapa tidak bertanding dan sebagainya. Hari ini pun ada akhbar mengulas, kata Shahidan Kassim, saya patut dipersalahkan kerana tidak bertanding. Dua hari sudah Pak Lah sebut Haron Din mengkhianati pejuang-pejuang PAS, dan sebagainya. Sampai ke situ jadinya. Di sini saya ingin menjelaskan asas yang saya letak dalam memilih arena politik sebagai karier saya selepas saya berhenti dari ahli akademik. Saya menjadi orang yang sepenuh masa bersara, di samping saya meneruskan karier berkhidmat kepada masyarakat dengan cara mengikhtiarkan secara Islam, secara doa atau disebut secara ruqyah yang sama dengan jampi. Dalam masa itu saya memilih berkecimpung dalam parti PAS, dan saya telah meletakkan asas yang paling kukuh, iaitu matlamat seorang pejuang Islam dalam mana-mana politik bukan untuk kemenangan peribadi, dan bukan pula untuk menjadi calon dalam pilihan raya, untuk menang pilihan raya dan seterusnya menjawat jawatan penting dalam pentadbiran negara. Bukan itu matlamat saya. Saya meletakkan matlamat perjuangan Islam ini ialah untuk mewujudkan satu iklim masyarakat yang bersendikan kepada sendi-sendi syarak, untuk merealisasikan cara hidup Islam dalam sebuah negara Islam, bagi menuju keredaan Allah SWT. Itu matlamat saya. Dalam masa yang sama juga saya melihat diri saya adalah gurkha kepada parti PAS. Saya adalah prebet dalam perjuangan menegakkan syariat Islam. Saya melihat usaha saya ini satu usaha yang kecil dan kerdil. Tetapi rupa-rupanya baru saya mulai faham bagaimana musuh-musuh politik saya memandang saya. Bila saya tidak bertanding, Pak Lah komen mengatakan Jeneral PAS sudah cabut lari daripada perjuangan. Rupanya mereka meletakkan saya sebagai jeneral. Hari ini pula mereka kata panglima agung PAS kecundang sebelum bertanding. Mereka menggunakan istilah panglima agunglah, jeneral peranglah, sedangkan saya telah menyebut beberapa kali bahawa saya adalah gurkha dan pebet PAS. Saya tidak memegang sebarang jawatan penting dalam PAS. Tetapi surat khabar banyak kali menyebut bahawa saya adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Sepatutnya sebagai wartawan mereka tahu kedudukan sebenar saya dalam parti. Saya hanya memegang jawatan pengerusi Hisbah PAS negeri Perlis, iaitu jawatan yang belum ada fungsi buat sementara ini. Kita akan berfungsi apabila PAS memerintah Perlis. Bagaimana pula hubung kait sebagai penjamin kepada sebuah bank yang mungkin Ustaz akan diisytiharkan muflis? Saya mempunyai komitmen dengan sebuah bank perniagaan. Saya telah menjamin pinjaman sebuah syarikat yang nilainya melebihi RM1 juta. Pada satu peringkat, jaminan itu telah dipersetujui bersama antara saya dan pihak yang meminjam serta bank yang berkenaan, untuk melepaskan saya daripada menjadi penjamin itu dengan mengemukakan seorang pengganti saya. Bank menerimanya dan kami semua menerimanya. Atas persetujuan itu, dengan ada dokumen yang disimpan, saya berasa lega kerana lepas daripada tanggungjawab hutang yang orang lain pinjam dan saya sebagai penjamin. Kesibukan saya ketika itu tidak memungkinkan saya membuat follow up kes ini dengan pihak ROC atau pihak bank. Saya meletakkan keyakinan bahawa yang terlibat ketika dealing melepaskan saya itu melibatkan pihak bank yang saya kenal pengurusnya seorang yang baik dan jujur, dan yang mengambil alih pun saya kenal, seorang yang mampu dan berkebolehan untuk menguruskan hal-hal bank dengan baik. Saya selesa untuk bersetuju melepaskan tanggungan saya, dan mereka selesa menerima alih segala liabiliti yang saya terima daripada bank. Selepas beberapa ketika, saya mendapat surat daripada pihak bank menyatakan bahawa hutang yang saya jamin dahulu tidak berbayar, dan saya dituntut membayar hutang itu. Saya segera ke bank, saya dapati pengurus bank itu tidak lagi bertugas. Pengurus baru pula yang menguruskan. Saya dapati syarikat berkenaan pun sudah ditutup. Aset-aset yang dahulunya menjadi koletral kepada pinjaman ini sudah habis dijual dan dilelong oleh bank. Saya tidak dapat berjumpa dengan orang yang menguruskan dan bertanggungjawab dalam hal ini, maka jadilah akhirnya segala perjanjian yang kita buat dahulu itu tidak diproses seperti yang lazim. Tidak dimaklumkan kepada ROC dan tidak juga dimaklumkan kepada bank pusat. Akhirnya lekatlah hutang itu atas pundak saya. Pihak bank berkenaan menulis surat kepada saya memaklumkan tindakan melalui surat peguam bank kepada saya. Proses-proses mahkamah sedang berjalan sekarang. Saya membentangkan masalah ini kepada seluruh pimpinan PAS, bagi melihat bersama masalah yang sebenar berlaku. Selepas melihat dari pelbagai aspek, saya merumuskan ini adalah satu senjata yang boleh digunakan oleh pihak lawan pada bila-bila masa saja yang mereka mahu. Itulah taktik dan teknik mereka untuk mengambil tindakan pada satu masa yang sesuai. Itu memang taktik dan teknik peperangan politik Dalam soal pencalonan misalnya, kita menyedari sistem politik Malaysia dan sistem kehakiman Malaysia, telah ada kes-kes terdahulu seperti kes Munawar Anees yang telah mengaku dia diliwat oleh seorang negarawan. Tidak kita dengar sebelumnya. Tiba-tiba dalam satu hari kita mendengar dia dituduh dan dia mengaku dan dia dihukum dalam satu hari. Demikian juga dengan kes Sukma Darmawan. Kalau itulah kes duluan, kes jenayah besar, kes saya ini kes sivil, apakah tidak mungkin dibuat dalam masa satu minggu? Jika dibuat dalam satu minggu, saya akan muflis, mungkin, maka gugurlah kelayakan saya untuk bertanding. Dalam hal ini saya mengambil kaedah yang ringan kemudaratannya. "Kita wajib berpegang mengamalkan dengan kemudaratan yang kurang, dan meninggalkan kemudaratan yang berat." Maka kita pun sebulat suara memberi laluan bahawa saya tidak perlu bertanding, orang lain boleh bertanding. Tetapi saya terus berkecimpung dalam alam politik tanah air ini, membantu jentera PAS untuk menjamin kemenangan Alternatif. Ada dakwaan lain yang mengatakan kalau soal pinjaman RM1 juta semata-mata takkan tak boleh diselesaikan? Kalau kita berfikir secara kebiasaan politik Umno dan BN dan politik korporat, memanglah itu jumlah yang kecil, kerana mereka ada sumber yang mereka boleh gunakan tanpa mengira datang dari mana. Tetapi bagi kita, bagi saya khasnya, kalau disebut melebihi satu juta itu sekitar RM1.7 juta, amat besar kepada kita. Kita tidak ada sumber lain melainkan satu sumber sahaja, iaitu sumber daripada kebolehan peribadi untuk mencari dana yang halal. Yang ini kita tidak mampu, tidak boleh, kerana ia melibatkan satu tanggungjawab lain. Kalau wang ini pun saya bayar, saya terpaksa menghadapi risiko, kerana ia bukan wang yang saya belanja dahulu. Bukan wang yang saya pakai. Orang lain yang pakai, mengapa mesti saya yang menanggung? Walaupun dalam konteks undang-undang saya menerima hakikat penjamin mesti mengambil tanggungjawab, betul, tetapi bila dia mengambil tanggungjawab? Sepatutnya setelah peminjam sebenar, iaitu pengguna sebenar wang itu, dilondehkan dan diambil apa yang patut daripada hartanya dahulu. Kalau ia syarikat, dicari apa yang berbaki daripada harta syarikat itu. Jika semuanya sudah lupus dan habis, tak juga tertampung dan sebagainya, koletral mesti ada, misalnya. Itu dalam suasana biasa yang boleh kita pertahankan. Tetapi dalam suasana kita hendak dikenakan orang, macam-macam cara kita boleh kenakan orang! Kalau kita hendak lepaskan orang, pun macam-macam cara kita boleh lepaskan orang. Nabi memberi satu kaedah. Kalau kamu hendak hukum orang itu dengan hukuman yang kamu agak melepaskan dia daripada menerima hukuman, kamu tersalah hukum pada ketika itu, itu lebih baik daripada kamu salah hukum yang tidak bersalah itu salah. Keduanya, kita sebut juga dalam kes-kes ini dikatakan bahawasanya kalau kita boleh membantu, kerana ada jalan boleh membantu, kita bantu. Jika tidak boleh, tidak mengapa. Dalam kes ini saya mengambil tanggungjawab, dan saya akan cuba mengatasinya dengan cara saya. Saya tidak mahu membebankan parti politik yang saya akur tadi. Tidakkah itu merencatkan semangat penyokong PAS di Perlis dan juga di peringkat Parlimen, kerana menentang Dr. Mahathir sekurang-kurangnya satu suntikan semangat untuk mereka di seluruh negara? Kita memang fikirkan kemungkinan-kemungkinan itu sehari dua sebelum penamaan calon. Kita ambil kira semuanya. Komen yang bakal dibuat oleh parti lawan dan sebagainya. Memang banyak pertanyaan mengapa saya tidak bertanding. Maka diambil kesempatan pada ketika itu oleh musuh dengan mengatakan PAS Perlis sengaja menyisihkan Ustaz Haron Din kerana ingin memberi laluan yang selesa kepada Ustaz Hashim Jasin bagi menjadi Menteri Besar Perlis. Itu satu fitnah yang cukup jijik, yang sengaja hendak merosakkan perkara yang tidak berlaku sedikit pun dalam PAS. Ustaz Hashim memang menyuruh saya bertanding dalam Dewan Undangan Negeri kalau saya mahu, dan dia hendak ambil Parlimen. Saya kata dalam tiga empat kali rundingan, saya lebih suka ambil Parlimen dan ustaz Hashim ambil Dewan Undangan Negeri. Tetapi kami langsung tidak bincang tentang jawatan Menteri Besar. Itu satu. Keduanya, sehingga hari-hari terakhir pun saya masih dipanggil Ustaz Hashim untuk memilih mana-mana kawasan yang selamat dan selesa di Dewan Undangan Negeri, jika saya mahu bertanding. Hatta saya diberi hak untuk memilih calon, walaupun saya bukan Pesuruhjaya PAS. Diamanah pula untuk mengisytiharkan semua nama calon. Itu menunjukkan kita mempunyai satu permaufakatan yang begitu solid, dan tidak ada perpecahan dalam negeri kita. Maka pendokong-pendokong kita tergamam sekejap bila saya tidak bertanding, tetapi saya telah round seluruh negeri Perlis. Pada hari Selasa sahaja ada lapan tempat saya pergi berceramah. Siang sahaja. Malam tadi kita kumpulkan seramai mungkin orang, untuk mendengar penjelasan saya, mengapa saya tidak bertanding. Dato' telah dilihat begitu besar oleh pemimpin kerajaan nampaknya. Apa komen Dato'? Nampak dalam kepala dia sekarang, Haron Din seorang Tok Bomoh. Sampai penamaan calon pun dia jual nama saya semata-mata hendak memperlekehkan saya dan golongan orang yang macam saya. Dalam semua lokasi yang dihadiri, macam tak sah kalau tak bantai Haron Din kerana jual air sejuk Dalam sepanjang saya menjampi, mendoakan pada air, tidak pernah saya jual air itu atas nama jual air jampi yang macam Dato' Seri Dr Mahathir mencanangkan di seluruh negara dan seluruh dunia.
Nasib baik saya masih hidup. Kalau saya sudah mati, siapa hendak menafikan pembohongan Mahathir itu? |
Olahan dan Kendalian: polongcyber@mailcity.com
|