AWAS KEJUTAN SAAT AKHIR
- Presiden PAS
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor memberikan peringatan kepada semua pengundi di negara ini agar jangan sekali-kali tertipu
dengan taktik akhir Barisan Nasional.
"Kita mendapat pelbagai maklumat tentang taktik yang akan dilakukan oleh BN di saat akhir untuk menarik simpati rakyat negara ini.
"Yang paling melampau sekali yang kita dengar adalah membuat kemalangan olok-olok ke atas Presiden Umno untuk menarik simpati masyarakat kononnya
ini kerja jahat Barisan Alternatif.
"Ini semua boleh terjadi. Oleh itu, semua penyokong BA mesti berhati-hati dan pastikan kita jangan terperangkap dengan taktik keji mereka.
"Kita kena ingat bahawa dia pernah berkata, ini adalah pilihan raya terkotor sekali," beritahu Ustaz Fadzil.
Dalam sejarah pilihan raya negara ini, katanya, rakyat pernah tertipu sekali dengan tengkolok Tengku Razaleigh. Oleh itu, beliau meminta agar mereka
jangan tertipu sekali lagi.
Ustaz Fadzil juga memberi amaran agar para penyokong BA jangan terlibat dengan mana-mana rusuhan dan memberi amaran pihak yang menyamar penyokong BA
besar kemungkinan membuat kekacauan.