Laman Yang Merestui Perjuangan Menegakkan Sebuah Negara Islam
Anda Adalah Pengunjung ke Sejak 4 Mac 1999

Kertas undi dicetak berlebihan

KUALA LUMPUR: PAS telah dimaklumkan bahawa Percetakan Nasional Berhad (syarikat percetakan milik kerajaan) telah mencetak kertas undi lebih dari yang diperlukan oleh kawasan-kawasan mengundi yang berkenaan.

Negeri Kelantan menjadi sasaran utama kerja yang sangat tidak beramanah ini, kata Pengarah Pilihan Raya PAs Pusat, Haji Mustafa Ali.

"Menurut maklumat yang kami terima, di kawasan DUN Cempaka sahaja iaitu kawasan yang ditandingi oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat - Percetakan Nasional telah mencetak 3,000 kertas undi melebihi bilangan yang diperlukan untuk kawasan tersebut.

"Perbuatan yang sama telah dilakukan juga terhadap kawasan-kawasan lain di Kelantan. Ketika ditanya, pihak pengurusan percetakan itu menjelaskan kepada para pekerjanya bahawa langkah tersebut dilakukan kerana "arahan Umno." PAS mempersoalkan mengapa percetakan kertas undi berlebihan ini perlu dilakukan," katanya.

Menurut Haji Mustafa, jika perkara ini benar berlaku, maka ini bermakna bahawa kewibawaan SPR sebagai sebuah badan bebas, sebagaimana yang didakwa, telah tercemar.

Ini bermakna bahawa tidaklah ada lagi kewibawaan SPR bagi mengendalikan pilihan raya yang adil dan bebas di negara ini, katanya.

Sehubungan dengan itu, katanya, PAS menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya dan Percetakan Nasional Berhad menjelaskan perkara ini dengan secepat mungkin.

HARAKAH

Olahan dan Kendalian: polongcyber@mailcity.com
Kemaskini Terakhir Pada:29 November, 1999