Beri Hak Mengundi Kepada Pemilih Baru

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) digesa agar membenarkan kira-kira 650,000 pemilih yang baru mendaftar baru-baru ini mengundi dalam pilihanraya yang akan datang, kata Ketua Penyelaras Pemantau Pilihanraya Rakyat Malaysia (Pemantau), Kamar Ainiah Kamaruzaman.

Beliau berkata, perkara itu disampaikan kepada pengerusi SPR, Dato'Omar Hashim dalam pertemuan dengan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan termasuk daripada Jamaah Islah Malaysia (JIM), ABIM, Aliran, Budi dan Suaram.

Kamar Ainiah berkata, prosedur dan birokrasi yang ada dalam pentadbiran SPR tidak sepatutnya menafikan hak mengundi rakyat untuk menentukan kerajaan yang akan memerintah negara ini pada masa depan.

“Kalaupun ada bantahan terhadap senarai pengundi dan dijalankan siasatan, sepatutnya ia diasingkan daripada senarai lain yang tidak dibantah dan kalau mereka tidak diberikan hak, ia adalah penafian hak asasi selama lima tahun ,”katanya ketika dihubungi.

Selain itu, katanya, Pemantau juga mencadangkan kehadiran wakil pemantau dan calon pilihanraya dalam penyerahan peti undi pos untuk memastikan perlaksanaan undi pos benar-benar telus dan menyakinkan.

Menurutnya, adalah tidak memadai hanya SPR yang menyerahkan peti undi terlibat kepada pihak tentera atau polis.

SPR juga diminta menyediakan buku kod amalan pilihanraya bagi kesemua calon dan untuk pengetahun rakyat agar mereka memahami apa yang dibolehkan dan apa yang dilarang dilakukan dalam pilihanraya, katanya.

“Kod itu akan menggariskan etika yang perlu dipatuhi oleh semua pihak termasuk media massa untuk memastikan pilihanraya yang dilaksanakan benar-benar adil dan bebas,”katanya lagi.

SPR juga perlu menjelaskan bahawa fungsi kerajaan yang ada semasa pilihanraya hanyalah sebagai pemegang amanah yang tidak berhak menggunakan dana atau jentera kerajaan semasa pilihanraya, tambahnya.

“Kami juga mencadangkan agar tempoh kempen ditentukan oleh SPR dan ia ditetapkan dalam jangka masa yang munasabah untuk membolehkan semua pihak memberikan penerangan yang sebaiknya kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, SPR juga digesa untuk mengiktiraf Pemantau sebagai badan bebas yang akan berfungsi sebagai pemerhati dalam pilihanraya akan dating kerana ia disertai oleh rakyat tempatan.

Ketua Pengarang