Dr. Abdul Wahab Ismail, AJK PAS Pusat

Ahli Korporat PAS

 

 


Dr. Wahab berbual dengan Presiden PAS di Konvensyen Pembangunan Ekonomi PAS.
Dr. Abdul Wahab Ismail bukanlah nama baru bagi PAS. Beliau mula bergiat aktif dalam PAS pada tahun 1990 ketika beliau di'beku'kan oleh pengurusan Proton ketika itu sebagai Pengurus Tugas-tugas Khas. Hasilnya beliau banyak masa terluang. Ketika itulah, beliau memberikan banyak masanya kepada Harakah, lidah rasmi PAS.

Beliaulah orangnya yang mencipta satu sistem yang lengkap untuk pengurusan Harakah dari kewangan, pentadbiran, pemasaran sehinggalah kepada editorial Harakah. Beliau membantu Harakah pada ketika itu melalui Pengarah Urusan Harakah (ketika itu) Dr. Sanusi Daing Mariok. Hasilnya, Harakah mempunyai satu sistem pengurusan yang lengkap setaraf dengan badan-badan profesional yang lain. Mungkin dari premis yang tepat itu, Harakah berkembang maju dengan baik sekarang ini. Kini, selepas hampir sepuluh tahun, Dr. Abdul Wahab aktif semula dalam PAS dengan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Dr. Abdul Wahab Haji Ismail, dilahirkan di Kampung Padang Tenggala, Seberang Temerloh, Pahang pada 30 Disember 1954. Beliau anak kepada seorang tokoh ulama di Temerloh iaitu Haji Ismail Haji Mohamed Salleh dan ibunya Wok Haji Ismail. Ibunya juga merupakan anak kepada seorang tokoh ulama Pahang yang terkenal iaitu Tuan Guru Haji Ismail Mohamed Aqil. Tuan Guru Haji Ismail dilahirkan di Pasir Mas, Kuala Lipis, Pahang.

Latar belakang keluarga

Beliau dikurniakan 7 orang anak 4 perempuan dan 3 lelaki hasil perkongsian hidup dengan Norazan Mohamed Tom. Dr. Abdul Wahab sekeluarga tinggal di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Pendidikan

Dr. Abdul Wahab mendapat pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Bandar Temerloh, Pahang sehingga darjah enam. Beliau lulus LCE pada tahun 1970 dan MCE 1972 di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, Perak. Pada tahun 1973 hingga 1975 beliau menuntut di Southampton Technical College, Southampton, Hampshire, England dengan kelulusan Ordinary National Diploma dalam jurusan kejuruteraan.

Beliau mendapat BSc (Hons) in Mechanical Engineering di Leeds Universiti, Yorkshire, England pada tahun 1975 hingga 1978. Kemudian pada tahun 1978 hingga 1982 Dr. Abdul Wahab mendapat kelulusan Ph.D dalam Mechanical Engineering di Leeds Universiti, Leeds England.

Kerjaya

Setelah menamatkan pengajian di universiti, Dr. Abdul Wahab ditawarkan pekerjaan di beberapa buah tempat antaranya Tutor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor iaitu pada tahun 1978 hingga 1982. Pensyarah bahagian kejuruteraan di UKM pada tahun 1982 hingga 1984. Bertugas di Proton Berhad selama enam tahun iaitu dari tahun 1984 hingga 1990.

Ketika penghujung tahun bertugas di Proton, Dr. Abdul Wahab banyak membantu Harakah. Selepas itu, beliau bertugas di Sapura Holdings dari tahun 1990 hingga 1997 dan bertugas di Ingress Engineering dari tahun 1997 sehingga sekarang.

Dr. Abdul Wahab merupakan ahli perniagaan dan jurutera di syarikat Ingress Engineering sdn. Bhd. yang juga Penga-rah Urusan Kumpulan syarikat itu.

Pengalaman korperat

Dr. Abdul Wahab merupakan seorang ahli korperat dan mempunyai pengalaman memegang beberapa jawatan dalam beberapa syarikat antaranya pengarah urusan di Ingress Precision, pengarah urusan di Ingress Research, pengerusi eksekutif di Ingress Technologies, pengarah di Ingress Autoventures Co. Lte. di Thailand, pengarah urusan di Ingress Properties, pengarah di Ramdawi sdn. Bhd.

Dr. Abdul Wahab pernah menjadi pengarah di Hana Setia sdn. bhd., pengerusi eksekutif di Talent Synergy, pengerusi eksekutif di Ingress Research, pengarah urusan di Sapura Motors berhad pada tahun 1990 hingga 1997. Pengarah urusan di Sapura Machining Corporation, pengarah urusan Sapura Automotive Industries, pengarah urusan di Metal Formers, pengarah urusan di Asian Automotive Steel, pengarah urusan di Sapura Technical Centre.

Pada tahun 1995 hingga 1996 Dr. Abdul Wahab pernah menjadi pengarah di Uniphone Telecommunications bhd., pengarah di Uniphone Cables, pengarah di Uniphone, pengarah di Diversitec Distributors, pengarah eksekutif di Sapura Holdings pada tahun 1995 hingga 1996, pengarah di Sapura Nokia dan pengurus bahagian Special Functions Department, pengurus di UK Ecport Project Team dan pengurus (R&D) Department di Proton berhad.

Aktif dalam politik

Dr. Abdul Wahab merupakan tokoh pimpinan PAS Pusat yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang korporat. Walaupun beliau berpendidikan tinggi dan seorang ahli korporat tetapi Dr. Abdul Wahab tidak pernah melupakan tugas dan peranan dirinya untuk berada di medan perjuangan bagi menegakkan negara Islam.

Beliau menjadi ahli PAS pada 20 mac 1987 di kawasan Lipis, Pahang. Beliau kemudiannya aktif membantu Harakah mulai tahun 1990 bersama Dr. Sanusi Daing Mariok. Kemudian pada tahun 1999, Dr. Abdul Wahab telah diberi kepercayaan oleh pimpinan tertinggi dalam PAS untuk berada di saf pimpinan AJK PAS Pusat.

 

Ke Laman Utama