Catatan IBNU MUSLIM

Rakyat semakin melupakan BN

 

MEDIA tempatan telah membesar-besarkan berita mengenai sambutan rakyat Pulau Pinang terhadap Dr. Mahathir di Seberang Prai pada hari khamis kelmarin.

Bagaimanapun, para wartawan yang mewakili akhbar-akhbar utama di negara ini tidak bersependapat mengenai jumlah orang ramai yang mengikuti ucapan Perdana Menteri di kawasan parlimen Permatang Pauh itu.

Ada akhbar yang melaporkan bahawa kira-kira 15 ribu orang telah mengikuti ucapan Presiden Umno itu, dan ada akhbar yang menyebut, hanya 10 ribu orang sahaja menyambut ketibaan Dr. Mahathir di Bukit Mertajam.

Yang anehnya, sebuah stesen TV melaporkan, hanya 6,000 orang sahaja yang mendengar ucapan Dr. Mahathir di Seberang Prai pada hari Khamis kelmarin.

Ada pendapat lain yang mengatakan bahawa tidak sampai lima ribu para penyokong Umno, Gerakan dan MCA yang berada di tengah padang di waktu Dr. Mahathir sedang berucap pada hari itu.

Sebelum itu, ada akhbar-akhbar yang meramalkan bahawa kira-kira 30 atau 35 ribu orang akan menyambut ketibaan Dr. Mahathir di Seberang Prai.

Tetapi apa yang jelas, akhbar-akhbar tempatan cuba memberi gambaran kepada umum bahawa lawatan Dr. Mahathir ke Pulau Pinang telah mendapat sambutan yang "luar biasa."

Soalnya, benarkah lawatan Dr. Mahathir ke Seberang Prai itu telah berjaya dalam erti kata yang sebenarnya?

Kehadiran 10 atau 5 ribu orang dalam satu majlis ceramah yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Menteri serta pemimpin-pemimpin Umno dan BN lain, bukanlah bererti satu kejayaan kepada penganjur majlis perhimpunan bersama rakyat, sebagaimana yang telah diadakan di sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu pada hari Khamis kelmarin.

Kalau benar-benar Dr. Mahathir, Dato' Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Menteri Pulau Pinang masih mendapat sokongan rakyat, maka sepatutnya mereka mendapat sambutan yang lebih meriah lagi daripada apa yang mereka dapati pada hari itu.

Sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Dr. Mahathir dan Pak Lah boleh menggunakan jentera kerajaan negeri dan pusat untuk mengerah dan mengangkut orang ramai supaya menghadiri Perhimpunan Bersama Rakyat" di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu yang terletak di kawasan parlimen Permatang Pauh.

Sambutan dingin rakyat terhadap lawatan Dr. Mahathir dan Pak Lah itu, jelas membuktikan bahawa rakyat Pulau Pinang sudah tidak menyokong Umno dan Barisan Nasional lagi dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Dalam erti kata lain, rakyat Pulau Pinang sudah menolak pimpinan Mahathir dan Pak Lah. Untuk menentukan sama ada lawatan Dr. Mahathir ke Pulau Pinang itu berjaya atau tidak, akhbar-akhbar dan para pemimpin Umno, harus membuat perbandingan mengenai jumlah orang ramai yang menghadiri ceramah-ceramah PAS dan parti-parti alternatif lain, dengan jumlah para penyokong Umno dan BN yang mengikuti ucapan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu kelmarin.

Para wartawan dan para pemimpin Umno, harus menyedari bahawa majlis-majlis ceramah PAS dan parti-parti alternatif lain telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada semua lapisan rakyat.

Saya telah diberitahu bahawa ceramah-ceramah PAS dan Parti KeADILan di sekitar Lembah Kelang selepas Perhimpunan Agung Umno yang ke-53 baru-baru ini telah dihadiri oleh puluhan ribu manusia di tiap-tiap satu majlis ceramah.

Ini jelas menunjukkan bahawa pengaruh parti-parti alternatif makin bertambah kuat selepas Dr. Mahathir menyerang PAS, Anwar Ibrahim dan parti-parti alternatif lain.

Bukan sahaja, majlis-majlis ceramah parti-parti alternatif mendapat sambutan yang luar biasa, malah jualan akhbar Harakah dan akhbar-akhbar tabloid lain juga telah meningkat selepas Perhimpunan Agung Umno yang berakhir pada 20 Jun lepas.

Sebenarnya Dr. Mahathir telah membuat perhitungan yang salah mengenai perkembangan politik tanah air selepas Anwar Ibrahim dihukum dan dihadapi dengan berbagai tuduhan yang mengaibkan.

Beliau menjangka bahawa dengan bertindak demikian terhadap Anwar Ibrahim dan membuat berbagai tuduhan terhadap PAS dan parti-parti alternatif lain dalam ucapannya diperhimpunan agung Umno itu, rakyat akan kembali menyokong Umno semula.

Dalam ucapan penggulungannya pada 20 Jun itu, beliau kelihatan begitu yakin bahawa rakyat dan ahli-ahli Umno akan mempercayai apa yang didedahkan itu mengenai perangai dan kelakuan bekas timbalannya itu.

Oleh kerana beliau mendapat sokongan daripada para perwakilan yang terdiri daripada para pengampu dan kaki-kaki bodek itu, beliau tidak terfikir bahawa rakyat dan ahli-ahli Umno akan menolak bulat-bulat ucapannya yang mengandungi fitnah dan tuduhan yang tidak berasas.

Pendek kata, ucapan Mahathir di perhimpunan agung Umno itu tidak dapat memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan BN.

Para pemimpin Umno di peringkat bahagian dan cawangan mulai menyedari hakikat ini, dan mereka sedang menghadapi tentangan rakyat dari segenap penjuru akibat daripada ucapan Dr. Mahathir di perhimpunan agung baru-baru ini.

Yang lucunya, pucuk pimpinan Umno tidak mahu mengakui hakikat ini, dan mereka mendakwa bahawa pimpinan Mahathir masih mendapat sokongan rakyat.

Walau bagaimanapun, jika dibaca apa yang tersirat daripada ucapan-ucapan Dr. Mahathir dan para pemimpin Umno lain sejak akhir-akhir ini, maka jelaslah bahawa mereka sudah mulai merasa bimbang dengan kebangkitan rakyat sekarang ini.

Nampaknya, Dr. Mahathir sendiri sudah tidak ada modal dan isu baru untuk menghadapi parti pembangkang selain daripada menakutkan rakyat dengan berbagai andaian dan ramalan yang tidak masuk akal.

Dalam ucapannya di Seberang Prai kelmarin, Dr. Mahathir mengingatkan rakyat supaya mempertahankan kemerdekaan yang dinikmati sekarang.

Katanya, kemerdekaan yang dinikmati rakyat sekarang akan terlepas ke pihak lain, kalau parti-parti pembangkang menang dalam pilihan raya umum yang akan datang. Beliau seterusnya mendakwa, parti-parti lawan telah diperalatkan oleh kuasa-kuasa asing untuk mengalahkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Mengikut logik ucapan Dr. Mahathir itu, parti-parti alternatif akan menyerahkan negara ini kepada kuasa-kuasa asing, kalau BN kalah nanti dalam pilihan itu.

Soalnya, siapakah yang dapat mempercayai hujah dan alasan yang diberi oleh Dr. Mahathir itu?

Ini jelas membuktikan bahawa pucuk pimpinan Umno sudah tidak ada modal dan isu baru untuk menghadapi parti-parti alternatif dalam pilihan raya kali ini.

Insya Allah, lagi banyak Dr. Mahathir bercakap mengenai PAS dan parti-parti alternatif lain, maka semakin ramai rakyat akan memihak kepada parti alternatif.

 

Ke Laman Utama