KENYATAAN MEDIA

DEBAT CNBC : HISHAMUDDIN AGEN ASING

(20 JULAI 1999)

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merakamkan ucapan tahniah di atas kesediaan Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato’ Hishamuddin Hussien untuk berdebat dengan Pemuda PAS tentang isu-isu semasa. Walau bagaimanapun DPP Pusat beranggapan kesediaan beliau untuk berdebat hanya di televisyen asing iaitu CNBC sebagai menongkah dasar kerajaan yang memusuhi media asing.
 

DPP Pusat melihat tawaran yang dibuat oleh CNBC untuk mengaturkan perdebatan ini dan telah dipersetujui oleh Pemuda Umno sebagai kerjasama yang dibuat oleh Umno dengan agen asing yang pernah didakwa berniat jahat terhadap kerajaan Malaysia. Tindakan Pemuda Umno ini membuktikan bahawa Umnolah yang sebenarnya menjadi agen asing bukannya pemimpin pembangkang. Jika sebelum ini mereka mendakwa media asing telah menjatuhkan maruah kerajaan, maka mengapa mereka begitu intim dengan media asing dalam isu ini. Kita tidak menolak kemungkinan media asing dan Pemuda Umno akan sekali lagi menjatuhkan maruah negara melalui medium ini apatah lagi isu yang didebatkan adalah berkaitan hak dan ketuanan Melayu di negara ini. Pemuda Umno sebenarnya sedang menjual maruah negara dengan tindakan ini.
 

DPP Pusat sekali-kali tidak menolak untuk berdebat dengan Umno, tetapi berpandangan bahawa adalah lebih wajar debat ini diadakan di saluran televisyen tempatan. Saluran tempatan dapat diikuti oleh semua rakyat negara ini, tetapi CNBC adalah sebaliknya. Mungkin inilah maksud sebenar Umno, iaitu untuk memastikan perdebatan ini tidak diikuti oleh rakyat. Di negara ini terdapat lima saluran TV iaitu RTM1, RTM2, TV3, Merto Vision dan NTV7 yang boleh menganjurkan perdebatan tersebut. DPP Pusat sekali lagi mencabar Dato’ Hishamuddin untuk berdebat di TV tersebut, jika beliau takut DPP Pusat mencadangkan agar diadakan di Dewan Merdeka, PWTC. Tidak ada sebab untuk memilih media asing jika Umno benar-benar bebas daripada campur tangan asing.
 

DPP Pusat juga melahirkan rasa kesal di atas sikap Perdana Menteri yang menyokong perebatan diadakan di TV asing sedangkan selama ini beliaulah yang paling agresif mengutuk media asing. Mungkin Perdana Menteri sudah nyayuk dengan ketidakkonsistenan polisi beliau terhadap media asing. PM sepatutnya menasihati Pemuda Umno agar tidak diperalatkan oleh media asing, tetapi ternyata PM juga menyerahkan diri untuk diperkosa oleh musuhnya sendiri. Persetujuan Pm ini menjelaskan Bnlah yang menjalankan konspirasi jahat dengan menjual negara kepada penjajah asing.
 

DPP Pusat melihat bahawa Pemuda Umno akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan survival mereka termasuk menjalin kerjasama dengan musuh negara. DPP Pusat menyeru seluruh rakyat Malaysia agar berhati-hati dengan penipuan Umno berkaitan isu penjajah asing dan menolak Umno dalam pilihanraya umum nanti untuk mempastikan negara ini benar-benar bebas dan merdeka dari penjajahan asing.
 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat