July 21 , 1999 20:30PM 
ANWAR BUAT ADUAN POLIS KES PERWAJA, KAITKAN MAHATHIR 

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Bekas timbalan perdana menteri Datuk
Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat aduan polis mengenai kumpulan Perwaja
yang didakwanya mengalami kerugian RM2,985 juta setakat Disember 1995 dan
turut mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dalam
laporan itu. 

Aduan polis itu dibuat di lokap mahkamah dan didaftarkan di Balai Polis Tun
H.S Lee pada 2 petang ini. 

Anwar mahu siasatan rapi dijalankan kerana, menurutnya kerugian akibat
pelaksanaan projek mega itu sangat besar dan rakyat berhak menentukan
kebenarannya berdasarkan penyiasatan. 

Dalam aduan itu, yang salinannya diedarkan kepada pemberita di mahkamah
yang sedang membicarakannya terhadap kes liwat, Anwar berkata dia merujuk
kepada laporan awal juruaudit Price Waterhouse mengenai status kumpulan
Perwaja pada Jun 1996, yang mendapati Perwaja dalam keadaan nazak dan
memerlukan suntikan modal besar daripada kerajaan. 

"Ini terpaksa dilakukan kerana percubaan bagi mendapatkan maklumat
terperinci pihak pengurusan Perwaja ketika itu, khasnya Pengarah Urusan Tan
Sri Eric Chia tidak berhasil," katanya. 

Dalam aduan itu, Anwar mendakwa bahawa Chia berulang kali menyatakan bahawa
tindakannya adalah dengan restu dan arahan Dr Mahathir. 

"Ini dibuktikan berdasarkan surat kelulusan projek dan kontrak yang
ditandatangani oleh Datuk Seri Dr Mahathir sendiri. Dengan mandat
sedemikian, Lembaga Pengarah telah diketepikan, urusan tender tidak
dijalankan dan terdapat bayaran yang meragukan," katanya. 

Antara beberapa perkara yang dinyatakan dalam aduan sembilan perkara itu
ialah: 

* Berdasarkan akaun pengurusan pada 31 Dis. 1995, Perwaja telah kehabisan
modal kerja dan tanggungan semasa dan jangka panjangnya berjumlah RM6,939
juta. 

* Pendedahan kewangan Kementerian Kewangan dalam Perwaja pada 31 Mac 1996
ialah RM5,517 juta. 

* Jumlah kerugian pada 31 Dis 1995 ialah RM2,985 juta. -- BERNAMA