Kita Telah Mula Diumpan

Sejak sebulan dua ini kita telah mula diumpan dengan gula-gula yang mungkin mengkhayalkan. Sekiranya kita kurang berwaspada dengan gula-gula ini, dalam menikmatinya, kita akan terjerat sekali lagi dan padahnya kita terpaksa menunggu lima tahun lagi. 

Oleh itu rakyat Malaysia yang budiman, berhati-hatilah dengan gula-gula ini. Orang memberi kita terima, tetapi hak dan maruah kita jangan tergadai. Dalam lengkongan sebulan ini, banyak imbuhan telah dihulurkan kerajaan UMNO/BN kepada rakyat, khususnya kakitangan kerajaan dan juga kakitangan badan-badan berkanun yang lain. 

Penyelarasan gaji bagi guru-guru lepasan maktab, kenaikan pangkat bagi guru-guru DG 5 dan DG 3, penyelarasan gaji bagi pekerja-pekerja BSN dan sebagainya. Juga, yang paling mengejutkan, pemberian bonus RM600 kepada semua kakitangan kerajaan bagi mengenang jasa. 

Yang anehnya, bonus ini dikeluarkan dalam pertengahan tahun, mulai Julai ini. Selalunya kita menerima bonus lepas sesuatu pengumuman belanjawan, iaitu dalam bulan Oktober tiap-tiap tahun. Banyak persoalan timbul ekoran pengumuman baik hati kerajaan ini.

Pertamanya, mengapa hampir lima tahun gaji kakitangan BSN dan lain-lain badan seperti ini disepikan? Kemudian dengan ancaman nak berpiket, kerajaan dengan mudah telah mengumumkan penyelarasan baru.

Anehkan? Soal gaji guru lepasan maktab kita tidak mempertikaikan kerana sememangnya guru-guru baru lepasan 1999 ini telah dijanjikan dengan diploma, jadi guru-guru lepasan maktab yang terdahulu harus diselaraskan dengan guru-guru baru ini.

Begitu juga dengan kenaikan pangkat guru-guru DG 5 dan DG 3. Sudah semestinya dilakukan sekiranya kriteria kelayakan kenaikan sudah mencukupi.

Yang paling mengejutkan ialah pemberian bonus dipertengahan tahun. Walaupun diberi secara ansuran mulai Julai hingga Disember (agaknya), kita tertanya-tanya juga, apakah aku ini mimpi di siang hari?
 
Dari mana peruntukan ini didapati? Bukankah kita sedang dilanda kegawatan?  Ekonomi kita belum pun pulih. Pak Lah menyuruh kita berjimat.Takkanlah Daim dan Mustafa ke luar negara jual bond untuk bayar bonus kepada kakitangan kerajaan. Tak masuk akal. Dulu nak bayar RM400 pun bukan main susah.

Kita tak kisahlah semua itu. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Ambil. Jangan tak ambil. Ini rezeki, tetapi sebenarnya rezeki ini adalah duit kita juga. Bukan duit Daim. Bukan duit Mustafa. Lagi lagi bukan duit Mahathir. 

Tetapi ingat kawan-kawan. Pemberian ini tentu ada contractnya. Apa dia? Pilihanraya dah nak tiba. Mungkin tak sampai bulan Oktober pun. Janganlah lupa nanti siapa yang beri bonus tu. Jangan tak tahu bersyukur pula. 

Berterimakasihlah pada kerajaan yang baik hati ini dengan mengingatinya semasa pilahanraya nanti. Inilah contractnya.

Ingatlah saudara-saudara sekalian. Bonus ini datangnya dari poket kita juga. Mungkin kita memakainya terlebih dahulu tetapi kita terpaksa membayar balik dalam masa sepuluh atau lima belas tahun akan datang apabila bond-bond yang dijual di luar negara itu matang.  

Kitalah yang sebenarnya membayar balik hutang-hutang itu. Jangan lupa. Kalau bukan kita, anak-anak kita yang akan menanggungnya. Percayalah. Oleh itu ingatlah saudara-saudara sekalian. Dalam pemberian ini ada gulanya dan ada racunnya.

Janganlah kita sekali-kali termakan umpan beracun ini sehingga kita sendiri terasa kesengsaraannya hingga ke anak cucu kita. Berhati-hati. Kita diumpan untuk menolong mengekalkan mereka berkuasa. Jangan sekali-kali terpedaya dengan umpanan ini. Ingat mengundi adalah hak kita. 

Memilih mana-mana parti juga hak mutlak kita. Tidak ada siapa pun yang boleh menyuruh atau memaksa kita memilih mana-mana parti pilihan mereka. Undi itu juga rahsia. Mereka boleh trace apa yang kita undi, tetapi mereka tak boleh dakwa kita atas apa yang kita pilih.

Soalnya sekarang adakah kita sudah termakan budi dengan tambahan gaji, dengan kenaikan pangkat dan dengan bonus RM600 itu ? Apakah jika parti alternatif berkuasa pangkat kita akan diturunkan, gaji kita dikurangkan dan bonus kita diambil balik? 

Sebagai mengakhiri coretan kali ini, saya ingin sarankan kepada saudara yang sudah dewasa dan berakal, sebenarnya apa yang diberi itu adalah hak kita, tetapi jangan sekali-kali beranggapan yang kita mesti bertanggungjawab ke atas pemberian itu, dan harus pula membalas pemberian itu dengan memilih mereka sebagai sekali lagi.  

Kita sudah didedahkan dengan segala macam kebusukan dan kejijikan parti pemerintah. Sudahlah setakat ini. Carilah calon alternatif yang lebih menjamin keadilan, ketelusan dan yang lebih bertanggungjawab terhadap bangsa Melayu, Agama Islam dan kesejahteraan ummah umumnya. 
 
 

23 JUN 1999