KUALA
LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah
Tinggi mengenai perbualannya dengan seorang pegawai polis yang menceritakan
tentang beberapa individu tertentu telah menyuruh pegawai polis itu bertanggungjawab
terhadap kecederaan yang dialami Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam
tahanan polis.
Saksi itu, peguam
Mohamed Rafie Mohamed Shafie berkata ASP Zulkifli Mohamed telah memberitahunya
perkara itu semasa mereka terserempak pada 14 Nov tahun lepas di Sekolah
Kebangsaan Bukit Bandaraya, Bangsar di sini.
"Yang Arif, pada
masa itu kami berbincang secara kasual dan Zulkifli memberitahu saya, beliau
disuruh bertanggungjawab atas kecederaan yang dialami oleh Datuk Seri Anwar
Ibrahim. Beliau mengatakan beliau enggan mengambil tanggungjawab itu,"
katanya.
Pada peringkat
ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail membantah keterangan
peguam itu atas alasan ianya tidak ada kena mengena dengan perbicaraan
dalam perbicaraan bagi menentukan kesahihan pengakuan Sukma Darmawan Sasmitaat
Madja kepada Hakim Mahkamah Sesyen Abdul Karim Abdul Jalil bahawa dia diliwat
Anwar.
Bagaimanapun, Hakim
Datuk Arifin Jaka membenarkan keterangan itu setelah peguam Anwar, Christopher
Fernando menerangkan bahawa ianya bertujuan untuk menunjukkan kredibiliti
pegawai polis itu sebagai saksi pendakwa.
Sukma, 38, dan
Anwar, 51, menghadapi tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar, bekas pemandu peribadi
isteri Anwar di apartmen Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di
sini pada 7.45 malam, antara bulan Januari dan Mac, 1993. Mereka didakwa
mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara
20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sukma juga menghadapi
tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu terhadap Azizan di tempat dan
pada masa yang sama.
Mohamed Rafie meneruskan
keterangannya dengan berkata Zulkifli juga memberitahunya bahawa "jika
ada perkembangan lanjut, saya akan datang berjumpa kamu," sebelum bertukar
kad hubungan dengan peguam itu.
Beliau berkata
mereka kenal baik memandangkan anak masing-masing belajar di sekolah dan
kelas yang sama dan juga sering terserempak di tempat-tempat lain.
"Dia (Zulkifli)
pernah menghantar dan mengambil anaknya di rumah saya untuk projek sekolah,"
katanya.
Pada peringkat
ini, Abdul Gani meminta mahkamah menangguhkan pemeriksaan balas sehingga
esok bagi membolehkannya menemubual Zulkifli berhubung perkara itu.
Beliau berkata
penangguhan itu perlu kerana keterangan Mohamed Rafie mengandungi satu
dakwaan baru dan pendakwaan memerlukan masa untuk mengesahkan perkara itu
dengan pegawai polis terbabit.
Katanya jika perkara
itu benar-benar berlaku, beliau akan menasihatkan Zulkifli membuat laporan
polis dan satu siasatan berhubung perkara itu perlu dijalankan.
Bagaimanapun, Arifin
menolak permohonan itu kerana berpendapat laporan polis dan siasatan boleh
dijalankan selepas pendakwaan membuat pemeriksaan balas terhadap Mohamed
Rafie.
Perbicaraan kemudiannya
diteruskan dengan pemeriksaan balas dan Mohamed Rafie mengakui bahawa beliau
tidak tahu alamat rumah Zulkifli tapi tahu bahawa pegawai polis itu tinggal
di kawasan perumahan Pantai Hill Park.
Mohamed Rafie juga
berkata beliau tidak tahu nama penuh isteri Zulkifli, nombor telefon rumah
atau pejabatnya, dan mengakui beliau tidak pernah pergi ke rumah atau ke
pejabat pegawai polis itu.
Beliau berkata
kebanyakan pertemuan mereka adalah secara kebetulan. Bagaimanapun, beliau
tidak bersetuju dengan cadangan Abdul Gani bahawa Zulkifli tidak pernah
memberitahunya yang beliau (Zulkifli) telah dipaksa mengaku memukul Anwar
dan mengambil tanggungjawab untuk kecederaan yang dialami oleh bekas timbalan
perdana menteri itu.
Selepas sesi pemeriksaan
balas selesai, seorang lagi peguam Anwar, Karpal Singh meminta mahkamah
mengeluarkan arahan supaya dakwaan itu disiasat kerana ini menunjukkan
bahawa terdapat percubaan untuk "melepaskan bekas Ketua Polis Negara Tan
Sri Abdul Rahim Noor daripada tuduhan dengan mencadangkan Zulkifli mengambil
tanggungjawab itu."
"Jika ini benar,
ia bermakna pentadbiran keadilan di negara ini akan dipersoalkan. Mahkamah
boleh mengarahkan satu penyiasatan dibuat terhadap dakwaan Mohamed Rafie
itu," katanya.
Karpal berkata
bukti yang diperolehi boleh digunakan pada perbicaraan Abdul Rahim yang
akan bermula pada 20 Sept ini. Abdul Gani berkata isu itu sepatutnya tidak
dibangkitkan dalam perbicaraan ini kerana Karpal boleh membangkitkan isu
berkenaan pada perbicaraan Abdul Rahim dan sesiapa yang ingin membuat laporan
polis berhubung perkara itu, boleh berbuat demikian.
Karpal membalas
dengan berkata beliau tidak boleh membangkitkan perkara itu pada perbicaraan
Abdul Rahim kerana beliau hanya bertindak sebagai peguam pemerhati bagi
pihak Anwar dalam kes itu.
Bagaimanapun, Arifin
tidak membuat sebarang arahan berhubung permintaan Karpal Singh itu kerana
berpendapat mahkamah tidak sepatutnya berbuat demikian.
Beliau berkata
isu yang seharusnya diputuskan ialah siapa yang bercakap benar, Mohamed
Rafie atau Zulkifli. Katanya lagi, isu itu sepatutnya dibangkitkan pada
perbicaraan Abdul Rahim kelak. Perbicaraan disambung esok. -- BERNAMA