Mahathir
Dan Kontradiksi
From: Hassan Karim <hakarim@pc.jaring.my>
Mahathir Mohamad
seorang Presiden Parti. Beliau juga seorang Perdana Menteri. Tetapi dia
cukup banyak kontradiksi. Kontradiksi bererti pertentangan. Pertentangan
antara apa yang dicakap dengan apa yang dilakukan. Dalam bahasa bazar disebut
? cakap tak serupa bikin?
Pertama:
Mahathir anggap
Barat berniat jahat pada Malaysia. Memang kuasa imperialis Barat tujuannya
untuk menguasai dunia. Kita kena waspada.Tetapi Mahathir sebaliknya.
Dia melantik Solomon Smith Barney, sebuah firma Amerika Syarikat sebagai
penasihat pelaburan dan dasar fiskal negara;
Kedua:
Mahathir anggap
Amerika, Eropa musuh negara Islam, musuh negara Dunia ketiga. Dalam banyak
hal ini memang benar. Tetapi Mahathir lakukan yang sebaliknya. Dia menyokong
George Bush, Presiden Amerika mengebom hancur Iraq dalam Operasi Desert
Storm pada tahun 1990. Iraq sebuah negara Dunia Ketiga dan sebuah negara
Islam. Malaysia yang dipimpin Mahathir mengundi menyokong usul Amerika
Syarikat (AS) di Majlis Keselamatan PBB pada tahun 1990 itu untuk menghancurkan
Iraq. Tidakkah ini satu dosa besar?
Ketiga:
Mahathir anggap
Barat hendak kuasai ekonomi negara-negara Dunia Ketiga seperti Malaysia.
Ini memang benar. Memang itu tujuan Barat khususnya AS. Malah konsep negara
Dunia Ketiga dah tak relevent lagi selepas Soviet Union pecah dan lemah.
Dunia sekarang dikuasai AS. Dia satu kuasa besar dalam dunia unipolar atau
satu kutub. Mahathir dah tahu begitu. Tetapi dia buat kerja sebaliknya
yang membahayakan Malaysia sendiri. Mahathir menghantar tiga rombongan
termasuk satu dipimpinnya sendiri, yang dua lagi dipimpin masing-masing
oleh Daim Zainuddin dan Mustapha Mohamad. Tiga rombongan ini keliling dunia
khususnya ke Barat dan Jepun. Kerja mereka ialah menjaja Bon Malaysia.
Istilah Bon ini canggih. Tapi maksud sebenarnya buruk sekali dan menghina
maruah Malaysia. Negara kita sekarang mengemis keliling dunia terutama
ke negara Barat yang Mahathir kutuk.
Dalam bahasa
orang kampung kita, Bon itu macamlah pajak. Petani bawa geran tanah jumpa
orang berduit atau ceti atau lintah darat untuk pajakkan tanah bendang
atau dusun mereka untuk dapatkan wang tunai. Malaysia sekarang ibarat petani
miskin dan kuasa Barat itu semacam ceti atau tuan punya pajak gadai. Bon
ertinya ikatan. Ikatan ertinya belenggu. Belenggu ertinya terjajah. Jadi
Mahathir sekarang telah memajakkan segala hasil mahsul dan kekayaan negara
kepada kuasa asing iaitu Barat yang dibencinya. Siapa yang membuka ekonomi
Malaysia dijajah kuasa asing? Mahathir sendiri!
Keempat:
Mahathir kata
kuasa barat yang cuba merobohkan benteng dan pertahanan ekonomi negara-negara
Dunia Ketiga seperti Malaysia.. Dakwaan Mahathir ini betul. Benar seratus
peratus sebab AS itu kepala kapitalis dunia yang besar. Kapitalis antarabangsa
dalam istilah politik dipanggil imperialis. Memang kita kena curiga dan
waspada selalu. Tetapi Mahathir dah tahu bahaya, dia buat kerja yang bahaya
itu sehingga ekonomi Malaysia ditimpa malapetaka.
Mahathir kena
jawab sendiri soalan ini:
Sejak pertengahan
tahun 1986 hingalah pertengahan tahun1997 - lebih 10 tahun lamanya, siapakah
pemimpin Malaysia pada tempoh itu yang memperkenalkan dasar liberalisasi
dan deregulisasi dan menjadikan penswastaan sebagai engin pertumbuhan ekonomi?
Jawapannya ialah Mahathir sendiri. Liberalisasi ertinya membebas lepaskan
pemodal asing termasuk dari Barat masuk ke negara ini. Deregulasi bermakna
melonggarkan semungkin- mungkinnya segala halangan birokrasi dan juga undang-undang
serta peraturan pentadbiran (red-tape) untuk menggalakkan pemodal dari
luar sama ada dari AS, Eropa, Jepun , Taiwan dan sebagainya. Mahathir jugalah
orangnya bersama Daim Zainuddin yang melonggarkan syarat dan peraturan
selama ini sehingga pelabur asing jangka pendek terlibat cergas dan berjudi
di dalam pasaran saham Malaysia (BSKL). Bolehkah Mahathir nafikan fakta
ini?
Kelima:
Mahathir berkata
pembangkang di Malaysia berhasrat tipu menipu. Sebenarnya Mahathir sendiri
pernah menipu Tengku Razaleigh Hamzah. Ku Li bubar Parti Melayu Semangat
46 untuk masuk UMNO kerana Mahathir ada janji macam-macam. Sudah bubar
S46, dan masuk dalam UNMO, habuk pun tak ada. Janji tinggal janji. Siapa
tipu siapa sebenarnya?
Keenam:
Mahathir kata
tiada konspirasi terhadap Anwar Ibrahim.Siapa boleh percaya pengakuan Mahathir
ini? Lihat fakta sejarah apa yang telah berlaku berhubung hal Sdr Anwar.
Kalau tidak ada konspirasi kenapa sebaik saja selepas Perhimpunan Agung
tahun lepas iaitu Jun 1998, tiga orang penting media yang menyokong Anwar
telah dipecat iaitu Johan Jaafar, Editor Utusan Melayu; Ahmad Nazri
Abdullah, Editor Berita Harian dan Sdr Yunus Said, Pengarah Operasi TV3?
Tidak cukup itu kenapa paksa Ahmad Zahid Hamidi letak jawatan Ketua Pemuda
UMNO sebagai syarat dibebaskan dari tahanan ISA? Kenapa dulu Mahathir berkata
tuduhan-tuduhan salah laku seks dalam surat-surat layang terhadap Anwar
sebagai fitnah. Tetapi selepas Perhimpunan UMNO 1998 itu fail penyiasatan
polis dibuka semula selepas ditutup? Kenapa disebarkan Buku Busuk lagi
membusukkan Dalil 50 itu kepada para perwakilan UMNO dalam Perhimpunan
tahun 1998 itu?
Seterusnya,
kenapa Mahathir lantik Daim Zainuddin menjadi Pengarah Majlis Tindakan
Ekonomi (MTEN)? Tidakkah untuk lemahkan suara Anwar dalam soal pengurusan
ekonomi dan kewangan negara? Kenapa menekan Gabnor Bank Negara sehingga
meletakkan jawatan? Kenapa lantik Gabnor Bank Negara yang baru, satu tokoh
yang kewibawaan sahsiahnya dipersoalkan? Tidakkah ini semua satu perencanaan
konspirasi yang luas untuk menekan dan menjatuhkan Anwar yang melibatkan
instrumen negara di bidang hukum dan undang-undang seperti Pejabat Peguam
Negara, Polis dan Mahkamah. Kenapa mesti Augustin Paul seorang Hakim yang
junior dari Melaka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur secara tergesa-gesa
dan mencurigakan untuk membicarakan kes Anwar Ibrahim? Kenapa tidak melantik
Hakim-Hakim mahkamah Tinggi yang senior dan berwibawa untuk mengadili kes
Anwar itu?
Ketujuh:
Mahathir berkata
bahawa penentang-penentangnya mencarut dan menghinannya. Kita setuju perbuatan
mencarut, apatah lagi menghina adalah perbuatan tidak baik dan patut dihindarkan.
Tetapi bagaimana dengan Buku Dalil 50? Tidakkah mencarut dan menghina?
Kenapa buku busuk itu dijadikan kanun terpenting pihak pendakwaan yang
mendapat sokongan Mahathir untuk mensabitkan Anwar? Siapa yang memulakan
kerja mencarut dan menghina? Mahathir! Beliau kena jawab siapa orangnya
yang menuduh Anwar telah melakukan salah laku seks dan tidak bermoral secara
umum sebelum pun tuduhan rasmi itu dibawa ke mahkamah keadilan? Mahathir
orangnya. Sebab itu kini Anwar saman Mahathir kerana kenyataan fitnahnya
itu. Jadi siapa yang kerjanya memalukan orang lain, bekas teman, dan rakan
seperjuangan?
Kelapan:
Mahathir kata
Anwar telah melakukan satu penderhakaan kerana menentangnya dan UMNO. Seingat
saya Anwar hanya menentang pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang zalim, rasuah
dan menyeleweng. Dia tidak menentang UMNO secara membabi-buta. Anwar menentang
Mahathir yang dituduhnya rasuah dan menyelweng itu memang betul. Dia suruh
Mahathir undur. Itu memang benar. Tetapi adakah kerana itu dia boleh dianggap
telah melakukan penderhakaan? Penderhakaan terhadap siapa? Mahathir kena
buka semula lipatan sejarah UMNO itu sendiri. Pada tahun 1969 selepas Peristiwa
13 Mei siapakah pemimpin junior UMNO waktu itu yang menentang Tunku Abdul
Rahman secara terbuka? Tidakkah Mahathir sendiri? Adakah pada waktu itu
Mahathir seorang penderhaka? Pada pandangan Tunku mungkin, tetapi kepada
orang UMNO lainnya atau orang Melayu mungkin tidak. Begitulah halnya penentangan
Anwar sekarang. Kepada Mahathir mungkin satu penderhakaan, tetapi kepada
UMNO atau kepentingan Melayu atau rakyat Malaysia seluruhnya mungkin tidak.
Sejarah perjuangan adil memang melibatkan penderhakaan ke atas kuasa yang
zalim dan menindas. Ingat sejarah Nabi Musa? Nabi Musa menentang
Firaun yang zalim dan menindas.
Kesembilan:
Mahathir dedahkan
kononnya politik pembangkang timbulkan kebencian. Ini satu kontradiksi
nyata. Siapa sebenarnya yang menimbulkan politik kebencian sepanjang masa?
Mahathir yang berucap dalam perhimpunan Agung Umno semalam telah memburuk-burukkan
Anwar, PAS dan Tuan Guru Nik Abd Aziz di depan beribu-ribu orang perwakilan
dan pemerhati serta para pemimpin jemputan dari dalam dan luar negara,
serta liputan secara terus melalui kaca televisyen dan radio. Tidakkah
yang Mahathir lakukan itu menyemaikan kebencian orang ramai terhadap Anwar,
PAS dan Nik Aziz? Apa yang Mahathir lakukan samalah seperti cerita kanak-kanak
iaitu tentang seorang pencuri apabila tersepit menjerit menuduh orang lain
:?Pencuri! Pencuri! Pencuri!? Tetap sebenarnya siapakah yang pencuri?
Mahathir bukan
seorang negarawan. Bukan seorang pemimpin yang boleh dijadikan tauladan.Hatinya
kecil walaupun umurnya tua. Dia bukan seorang tua yang berjiwa besar. Kes
Anwar berhubung soal salah laku seks itu sedang dibicarakan. Masih di peringkat
awal pusingan kedua ini. Salah betul masih belum selesai. Tetapi Mahathir
sudah hukum Anwar mendahului mahkamah sendiri. Mahathir sengaja mahu menimbulkan
kebencian rakyat terhadap Sdr Anwar. Mahathir cukup bimbang kerana rakyat
menaruh belas ihsan dan simpati terhadap Anwar. Tujuan utama Ucapan Dasar
Mahathir dalam perhimpunan Agung UMNO semalam ialah memburuk- burukkan
Anwar sehabis-habisnya. Ini kerja menyemai rasa benci ke atas Anwar khususnya.
Mahathir bukan pemimpin berhati mulia. Dia macam remaja bawah umur yang
sanggup bertegang urat leher di tepi-tepi jalan untuk memenangkan hujah
benang basahnya. Kalau dalam perhimpunan Agung UMNO 18 Jun 1999 Mahathir
telah ambil tugas Pendakwaraya dan Hakim dengan menjatuhkan hukum Anwar
bersalah, maka adakah Mahkamah yang sedang bersidang sekarang berani menjatuhkan
hukum Anwar tidak bersalah? Kita tunggu akan apa sudahnya kes ini nanti!
Mahathir menerusi
ucapannya itu menunjukkan ke dunia umum bahawa beliau bukannya seorang
pemimpin negara yang mempunyai sahsiah yang mulia sebagai seorang Perdana
Menteri yang prihatin, ihsan, pemaaf dan tidak pendendam. Gaya Mahathir,
cara Mahathir dalam soal memalukan Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri,
satu gaya dan cara yang asing sekali yang berada di luar orbit budaya Melayu
ataupun Islam.
Kesepuluh:
Mahathir berkata
projek besar yang dia bangunkan di Malaysia sekarang bukannya satu pembaziran.
Ini satu pernyataan yang silap. Cuba Mahathir campurkan berapakah jumlah
wang segala projek-projek mega berikut yang dijalankan hampir serentak
selama hampir sedekad ini sebelum ekonomi diserang krisis. Kirakan kos
membina airport KLIA, Menara Kembar Petronas dan KLCC, Ampangan Hidroelektrik
Bakun, Pusat pentadbiran baru Putrajaya, Litar Lumba Formula One di Sepang,
pelbagai lebuhraya bertingkat di Lembah Kelang, Projek Kota Terapung di
Johor bahru, Laluan Kedua di Gelang Patah dan banyak lagi. Jika dijumlahkan
secara kasar, kosnya sekitar RM 150 bilion. Itulah puncanya imbangan bayaran
Malaysia mengalami defisit besar. Itu sebabnya kepercayaan orang luar terhadap
ekonomi Malaysia terjejas. Mahathir sebenarnya berbelanja boros.Dia salah
urus negara kita ini.
Kesebelas:
Mahathir kata
maruah bangsa (Melayu) adalah tanggungjawab UMNO. Ini tidak benar. Bukan
semua orang Melayu bernaung di bawah UMNO.UMNO sekarang ibarat sebuah parti
yang sudah usang sebab sudah banyak kali pecah, sudah banyak kali mati
dan dihidupkan semula. Sudah ada UMNO lama, UMNO Baru. UMNO Baru pun kini
pecah lagi. Cuba Mahathir lihat jika dia mendabik dada bahawa UMNO menjaga
maruah orang Melayu.
Fakta berikut
menjadi bukti. Mahathir kena jawab berapa ramai sekarang anak-anak remaja
dan muda Melayu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah sepanjang UMNO
memerintah negara ini selama 42 tahun? Seorang saja penagih? Seratus orang?
Seribu orang? Seratus ribu orang? Atau sudah lebih setengah juta?
Mahathir kena
jawab hasil dari dasar-dasar politik, ekonomi dan sosial UMNO selama lebih
4 dekad ini, berapa ramai anak-anak Melayu dan Dewasa Melayu juga yang
terlibat dengan masalah sosial, masalah AIDS dan HIV, perceraian, penderaan,
sumbang muhrim. Mahathir kena kira berapa ramai anak-anak Melayu yang rosak
akhlaknya dan rosak akidah agamanya? Mahathir kena mengaku bahawa dia dan
UMNOnya telah gagal memertabatkan Bangsa Melayu!
Mahathir adalah
seorang pemimpin yang bercanggah apa yang dia cakap dengan apa yang dia
buat. Pemimpin seperti ini hipokrit dan membahayakan keselamatan bangsa,
agama dan negara. Mahathir mesti ditentang. Kita tidak perlu jatuhkan dia
secara kekerasan. Kita tolak umpan dan perangkap Mahathir memprovokasi
rakyat supaya tembak dia kalau mahu jatuhkan dia. Kita tak perlu bunuh
dia cara ganas begitu. Itu bukan budaya politik kita di Malaysia. Sebaliknya
Rakyat Malaysia sekarang ambil tindakan lembut saja. Tidak payah gunakan
pistol. Tetapi gunakan pensel saja. Jangan pangkah BN yang dipimpin Mahathir.
Kita jatuhkan Mahathir secara demokratik. Mandat Mahathir sudah hampir
tamat. Lesennya untuk memerintah sudah hampir mati. Jangan sambungkan lesennya
lagi. Batalkan lesennya dengan cara menolak Mahathir dan BN dalam pilihanraya
umum kali ini. |