Siapa Kotor ? Pimpinan PAS Atau Dr. M?

Kenali Siapa Mahathir

Strategis Politik Yang Licik

- Oleh Razali Endun

Mahathir cekap berpencak dalam Politik?

DR MAHATHIR pastinya sudah mangli dengan sebarang bentuk kecaman, kritikan dan tohmahan dari semua pihak. Mengapa kedudukannya dilihat masih kukuh dan kebal walaupun diasak dari segenap penjuru? Apakah rahsia di sebaliknya? Benarkah beliau pengatur strategi politik yang berkesan?

Setiap ahli politik dalam sistem sekular akan mengutamakan kepentingan diri sendiri demi survivalnya agar dapat memegang jawatan politik selama mungkin. Justeru, dalam politik kawan dan lawan silih berganti. Mahathir sendiri menyatakan bahawa dalam politik tiada musuh atau kawan yang kekal.

Dia dalam tindak tanduk politiknya selalu menimbulkan serba kemungkinan yang sukar dijangka. Namun, ia telah berjaya mempercepatkan perlantikannya sebagai PM apabila Dato’ Hussein Onn bersara secara "misteri" atas alasan kesihatan. Penganalisis politik mengandaikan banyak kemungkinan berlaku di sebalik misteri perletakan jawatan Hussein Onn.

Peristiwa yang paling getir yang dilalui dan dialami olehnya ialah pada April 1987 apabila ia dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dan disusuli dengan pengisytiharan oleh mahkamah tinggi bahawa Umno adalah sebuah pertubuhan haram. Hakim yang membuat pengisytiharan itu kalau tidak silap ialah Harun Hashim sendiri.

Pada ketika itu hampir seluruh menteri kabinet Umno meletakkan jawatan masing-masing bagi menyokong regu Ku Li-Musa Hitam. Malangnya nasib tidak menyebelahi Ku Li. Entah di mana silapnya ia kalah dengan 41 undi meskipun sebelumnya sokongan terhadapnya ahli-ahli Umno tidak menimbulkan keraguan. Ada dakwaan mengatakan Mahathir mendapat "undi hantu" yang membawa kemenangannya.

Salah seorang menteri kabinet yang berhenti pada ketika itu bagi menyokong Ku Li ialah Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi). Setelah menghidu bahawa Tengku Razaleigh akhirnya akan kecundang, beliau lekas-lekas kembali ke dalam Umno semula menyokong Mahathir setelah dia membuka pintu Umno baru kepada bekas pemimpin Umno.

Mahathir telah berjaya menempuh kegetiran ini dengan menubuhkan Umno baru. Dia bernasib baik kerana pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak mengambil kesempatan untuk mengambil alih kekuasaan negara ketika kemelut politik itu berlaku. Mungkin parti-parti komponen BN dapat mencium risiko yang akan dihadapinya daripada orang-orang Melayu sekiranya kesempatan itu diambil. Dengan sokongan parti-parti komponen itu disertai dengan ramai bekas pemimpin Umno kembali menyokong semula Mahathir maka dia telah dapat mempertahankan

kedudukannya sebagai Presiden parti sekaligus sebagai PM.

Krisis kehakiman juga telah dapat ditangani oleh Mahathir apabila bekas Hakim Negara Salleh Abas dipecat. Dia berselindung di sebalik tindakan undang-undang maka krisis tersebut dapat didiamkan walaupun mendapat tentangan daripada Majlis Peguam. Perlembagaan kemudiannya dipinda yang meletakkan Badan Kehakiman di bawah naungan Badan Eksekutif.

Kepintaran Mahathir jelas terserlah apabila dia dapat menjinakkan bekas musuh politiknya, Ku Li sehingga membawa pembubaran Parti Melayu Semangat 46. Dia mengambil langkah ini bagi mengurangkan musuh politiknya di samping menguburkan Parti Semangat 46 yang menjadi saingan kepada Umno. Dengan demikian Umno hanya berdepan dengan PAS dan Ku Li secara tidak langsung akan menjadi penyokong Mahathir.

Khabar-khabar angin tersebar bahawa terdapat "perjanjian rahsia" di antara Ku Li dengan Mahathir apabila Semangat 46 dibubarkan. Pak Lah tentu tidak terkejut sekiranya beliau menerima nasib yang sama seperti tiga bekas TPM yang lalu.

Strategi Mahathir bagi mengatasi kemelut Raja-Raja Melayu ialah dengan

menggunakan pendekatan berlembut dahulu. Dia telah mengikut apa saja karenah dan kehendak Sultan Johor ketika baginda menjadi Yang DiPertuan Agung. Umum mengetahui Sultan Johor amat tidak menyenangi Mahathir sebelum baginda menjadi Agung sehinggakan gambar-gambar Mahathir diperintahkan turun sekiranya Baginda melawat ke jabatan-jabatan kerajaan. Namun segala karenah Baginda terpaksa diterima beliau dengan kepahitan walaupun dia tidak berkenan.

Sebaik sahaja Sultan Johor berhenti daripada jawatan Yang DiPertuan Agung, Mahathir memulakan kempennya terhadap Raja-Raja Melayu. Dia telah menjelajah ke seluruh negara bagi meraih simpati rakyat dan akhirnya kekebalan Raja-Raja Melayu runtuh. Perlembagaan dipinda maka Raja-Raja Melayu boleh didakwa di mahkamah seperti rakyat biasa.

Apa yang mungkin tidak disedari oleh ahli-ahli Umno sendiri ialah Mahathir telah berjaya sedikit demi sedikit mengontrol ahli-ahli Umno di bawah telunjuk dan kekuasaannya. Ahli-ahli Umno sama ada disedari atau tidak telah memberi kekuasaan mutlak kepadanya selaku presiden parti dan PM dalam urusan dan hal ehwal parti sehinggakan sesiapa yang cuba menentangnya akan dicantas dan akan kecundang juga akhirnya.

Justeru, demi menjaga kedudukan dan kepentingan masing-masing maka tiada siapa yang berani menyuarakan pendapat menentang pendapatnya yang tidak semestinya selalu betul. Maka ahli-ahli Umno seperti pak turut dan kaki ampu. Budaya ini tidak sihat bagi Umno dalam jangka panjang. Umno hanya akan mempunyai pemimpin yang bersikap pasif, negatif dan mementingkan diri sendiri. Umno sepatutnya ditadbirkan oleh sebuah Majlis Musyawarah bukan oleh individu yang akhirnya akan membawa kepada autokrasi.

Ramai penganalisis politik percaya Mahathir sememangnya menjuruskan

strateginya ke arah itu bagi memudahkannya mentadbir parti mengikut kehendak dan caranya. Tanpa campur tangan dan ganggu gugat daripada ahli-ahli lain, Mahathir boleh membentuk partinya mengikut acuan yang dikehendakinya. Bagaimana sekiranya orang lain yang memegang tampuk kepimpinan itu memperkenalkan acuannya sendiri dan berbeza dengan acuan Mahathir?

Krisis Mahathir dengan bekas Timbalannya, Anwar Ibrahim sebenarnya telah bermula pada tahun 1993 lagi. Dia telah dapat mengesan bahawa Anwar akan mencabarnya sebagai Presiden parti pada bila-bila masa. Bagi meraih simpati para perwakilan dia telah menimbulkan cerita bagaimana Cezar dibunuh oleh Brutus. Cerita Cezar dan Brutus ini sengaja ditimbulkan agar para perwakilan bersimpati dengannya sekiranya benar-benar "pembunuhan" yang ditakuti itu berlaku. Justeru, Mahathir tidak segan silu menangis di khayalak ramai bagi mendapat simpati demi menjaga kedudukannya tidak tergugat.

Pengaruh Anwar pada tahun 1993 dan 1996 amat kuat dan sukar digugat. Demi menjaga kedudukannya, maka strateginya ialah menyarankan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan pada tahun-tahun itu. Alasannya, bagi menjaga perpaduan parti. Sebenamya dia sedang mengatur strategi menyingkirkan Anwar pada masa yang sesuai.

Selepas perhimpunan agung Umno pada tahun 1996, Mahathir telah mengatur

strateginya dengan mempengaruhi lebih ramai lagi pemimpin Umno menyebelahinya. Team Wawasan berjaya diporak-perandakan dan akhirnya tumpas tidak berkubur. Ketua-ketua perhubungan negeri yang kebetulan Ketua Menteri dan Menteri Besar yang dulunya menyokong Anwar berjaya diturning-over bagi menyokong beliau.

Musuh-musuh politik dalam Umno yang sentiasa "menghasut" dan membisik

kepadanya bahawa Anwar sebenarnya bercita-cita menjatuhkannya pada pemilihan tahun 1999 ini, maka Mahathir tidak boleh berlengah-lengah lagi untuk melucutkan Anwar daripada jawatan TPM dan Menteri Kewangan. Penyingkiran itu tidak akan memberi kesan sekiranya Anwar tidak disingkirkan sebagai Timbalan Presiden dan ahli Umno, Dengan kehilangan haknya sebagai ahli Anwar tidak akan dapat mencabarnya lagi. Dengan demikian Mahathir masih kekal sebagai Presiden dan PM. Beliau terselamat lagi.

Perbalahannya dengan Anwar kian terserlah apabila Ketua Pemuda Umno Zahid Hamidi menyuarakan isu kronisme dan nepotisme pada perhimpunan Umno Jun 1998. Sebelum itu Anwar sendiri dalam ucapannya di Johor telah menyuarakan isu yang sama sebelum perhimpunan agung. Mahathir amat tersinggung dengan kenyataan Zahid lalu membidas sehinggakan Zahid tidak berani mengangkat muka. Kesilapan Anwar dan Zahid dalam hal ini ialah mereka tidak memastikan bahawa mereka akan mendapat sokongan para perwakilan apabila isu ini ditimbulkan. Akibatnya isu itu memakan diri sendiri.

Menyedari keseriusan Anwar mahu mencabar kedudukannya, Mahathir mengatur strategi bagi membunuh karier politik Anwar meskipun umum mengetahui Anwar adalah anak didiknya. Dalam politik tidak ada belas kasihan, apatah lagi sekiranya kawan sudah menjadi lawan dan mahu pula mencabarnya. Dalam politik mesti peka dan sensitif. Sesiapa yang bertindak pantas biasanya akan berhasil.

Bertolak daripada buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM yang

diedarkan secara meluas dalam perhimpunan agung Umno Jun 1998, walaupun Anwar sudah mendapat injuksi menahan pengedaran buku tersebut, maka sudah jelas kedudukan Anwar kian tergugat. Buku tersebut tidak mungkin dapat diedarkankepada para perwakilan tanpa restu daripada pemimpin-pemimpin tertinggi parti.

 

 

Pada mulanya Mahathir menimbulkan isu "penjajahan semula" yang

digembar-gemburkan oleh beliau dalam road show nya di sekeliling negara.Terdengar juga kisah rasuah dan kononnya ada pemimpin tertinggi kerajaan menjadi agen CIA. Isu ini ditimbulkan untuk mendapat simpati rakyat dan ramai tahu siapakah yang dimaksudkannya.

Dia menjelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan tentang isu

penjajahan semula. Dia juga memberi amaran bahawa tindakan drastik akan

diambil dalam menangani isu ekonomi dan meminta rakyat supaya tidak panik. Orang ramai tertunggu-tunggu tindakan drastik apakah yang akan diambilnya.

Kemuncak perbalahan mereka sudah sampai ke saturation point – bila-bila masa sahaja ia boleh meletus. Akhirnya dia mengumumkan tindakan atau keputusan drastik itu. Pada 1 September 1998 beliau mengumumkan nilai ringgit adalah dikawal pada nisbah $1US bersamaan RM3.80 di samping melaksanakan capital control. Esoknya Anwar dilucutkan sebagai TPM dan Menteri Kewangan dan dituruti pada hari berikutnya disingkir sebagai Timbalan Presiden dan ahli parti.

Lihat bagaimana bijak dan pintarnya Mahathir mengatur strateginya

menyingkirkan Anwar. Sehari sebelum Anwar dilucutkan sebagai TPM dan Menteri Kewangan ia telah mengawal ringgit. Sekiranya ia tidak mengambil tindakan sedemikian maka pasaran saham sudah tentu kacau-bilau dan ringgit sudah pasti menjunam teruk akibat dari krisis politik ini.

Ramai berpendapat bahawa Mahathir telah tersilap perhitungan apabila ia

menimbulkan isu liwat dan seks sebagai alasan penyingkiran Anwar. Rata-rata alasan itu tidak dapat diterima oleh majoriti orang ramai termasuk ahli-ahli Umno sendiri. Ini dikuatkan lagi dengan cara penghakiman terhadap Sukma dan Dr Munawar. Lebam di mata kiri Anwar menambahkan lagi simpati orang ramai terhadapnya. Ini ditambah pula dengan pindaan pertuduhan terhadap Anwar yang tidak mengaitkan lagi perihal salah laku seks sebagai alasan Mahathir menyingkirkan beliau. Semua ini membawa

tanda tanya yang tidak terjawab dan membuatkan keyakinan orang ramai kian terhakis terhadap alasan penyingkiran Anwar.

Anwar mendapat simpati daripada orang ramai bukan kepalang. Kepopularan

Mahathir kian merosot akibat isu ini. Mahathir kini mencari strategi baru untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadapnya.

Justeru, perlantikan Pak Lah sebagai TPM baru sekarang sekurang-kurangnya akan meredakan perlumbaan lobi melobi bagi mengisi kekosongan itu. Rombakan kabinet juga dilakukan bagi mengukuhkan lagi kedudukannya. Siti Zaharah dinaikkan sebagai menteri penuh sementera Ibrahim Ali dilantik sebagai Timbalan Menteri. Berkat kesabaran mereka dan pandai pula mengambil hati Mahathir maka matlamat yang menjadi idaman setiap ahli politik tercapai juga.

Inilah strategi Mahathir bagi memastikan tiada siapa yang berani menentangnya. Sesiapa sahaja yang berani menentangnya meskipun tindakan atau keputusan beliau tidak semestinya semuanya betul akan menerima padah yang buruk. Oleh itu, demi menjaga kepentingan masing-masing dan memastikan kedudukan mereka selamat maka budaya yes man menjadi alat survival dalam politik.

Benarkah Mahathir akan meletakkan jawatannya dan proses pemindahan kuasa kepada Timbalannya Pak Lah akan berlaku dengan licin dan sempurna? Itulah yang dikatakannya kepada media massa baru-baru ini. Mahathir sendiri teragak-agak apabila memberi kenyataan ini kerana tiga TPMnya sebelumnya ini tidak menerima kuasa itu seperti mana yang pernah diucapkan sebelum ini. Kenyataan tersebut sudah menjadi stereotaip dan kurang menyakinkan.

Mahathir tidak akan meletakkan jawatannya sebagai PM selagi hayatnya dikandung badan. Dia hanya akan berhenti sebagai PM apabila nyawanya terpisah dari jasadnya. Apabila ini terjadi satu penghormatan sebagai ketua negara akan diberikan kepadanya dan lebih daripada itu dia terhindar daripada sebarang tindakan yang mungkin dikenakan terhadapnya dalam tempoh pemerintahannya.

Apapun strategi Mahathir, ia tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat sokongan dan dokongan media massa arus perdana. Media massa arus perdana memainkan peranan propaganda bagi memastikan rakyat terpengaruh dengan dakyah yang ditonjolkan.

Tanpa peranan media massa ini dia tidak mungkin berjaya dalam strategi

politiknya. Sesiapa pun dalam keadaan demikian akan berjaya mengatur strategi politiknya bagi memastikan ia kekal dalam kekuasaan selama mungkin. Sesungguhnya kuasa itu adalah benteng dan perisai memperkukuhkan pengaruh yang ada. Tiada siapa yang akan menyokong kepada pemimpin yang tidak ada kuasa. Justeru, manusia berlumba-lumba mengejar kuasa, pangkat, dan kekayaan.