CALON PARLIMEN JERANTUT - P077
SYED IBRAHIM BIN SYED ABDUL RAHMAN

BIODATA
Bekas Pengurus Besar, Amanah Saham Mara dari tahun 1971 hingga 1974 yang juga seorang peguam, Tuan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, merupakan salah seorang AJK PAS Pusat yang dapat bertahan dari zaman pimpinan Dato' Mohd. Asri Haji Muda sehingga Dato' Fadzil Mohd. Noor.

Kepakaran dan kebijaksanaan beliau ketika menangani permasalahan yang melanda anak guamnya, menjadikan Syed Ibrahim seorang peguam yang disegani dan dihormati di kalangan teman sekerja dan seperjuangan. Bukan sahaja peguam malah berkebolehan dalam ekonomi dan pentadbiran strategik.

Pendidikan 

Syed Ibrahim mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu di Kampung Sega, Raub, Pahang. Kemudian meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Mahmood, Raub. Selepas itu beliau berpindah ke Institut Teknikal di Pulau Pinang. Beliau kemudiannya mendapat peluang melanjutkan pelajaran di Maktab Mara dan akhirnya Syed Ibrahim berjaya melanjutkan pelajaran di London dalam bidang undang-undang.

Pengalaman 
Selepas beliau tamat belajar di London, Syed Ibrahim mendapat tawaran untuk bertugas di Amanah Saham Mara sebagai Pengurus Besar selama 3 tahun.

Beliau meletakkan jawatan di Amanah Saham Mara dan menjadi peguam sehingga berjaya menubuhkan syarikat guaman di tahun 1975 dan bertahan sehingga ke hari ini.

Selain itu, Syed Ibrahim adalah salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Harakah dan Pengerusi Eksekutif Penerbitan Muttaqin Sdn. Bhd.

Keluarga 

Ayah beliau Syed Abdul Rahman (telah meninggal dunia) merupakan penghulu di kampungnya. Syed Ibrahim mempunyai dua orang anak, seorang lelaki dan satu lagi perempuan hasil perkahwinan dengan Asmahan Abdul Aziz. Isteri beliau bertugas sebagai Pegawai Khas di Jabatan Perakaunan dan sama-sama menuntut di London.

Anak lelaki beliau mengikuti jejak langkahnya untuk menjadi peguam yang masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) manakala anak perempuan beliau sudah bertugas di Firma Consultans Chicago.

Penglibatan politik 

Syed Ibrahim menjadi ahli PAS di awal tahun 1978 iaitu di zaman Dato' Mohd. Asri Hj. Muda. Di awal tahun ini beliau telah bertanding di Kawasan Lembah Pantai.

Beliau mempunyai pengalaman dalam tiga era iaitu pimpinan Dato' Mohd. Asri Hj Muda, Tuan Haji Yusof Rawa dan Dato' Fadzil Mohd. Noor. Di zaman Tuan Hj Yusof Rawa PAS digiatkan sebagai sebuah parti Islam yang bercorak kepada pimpinan Ulama. PAS mula mendapat tempat di hati masyarakat di zaman Tuan Haji Yusof Rawa apabila PAS lebih dikaitkan sebagai gerakan Islam bukan pergerakan politik semata-mata.

Di zaman Dato' Asri PAS tidak mempunyai pengaruh yang kuat sebagai sebuah gerakan Islam. Selepas perubahan pucuk pimpinan diambil alih oleh Yusof Rawa, tekad PAS telah mengubah ke satu alaf perjuangan baru iaitu mengemukakan kepada rakyat satu bentuk pimpinan yang dikenali sebagai 'pimpinan ulama. Tuan Syed Ibrahim boleh dikatakan mempunyai saham yang sangat besar dalam menggerakkan PAS di era ini.

Sebagai golongan profesional dalam PAS, Syed berpendapat, kombinasi antara golongan profesional, ulama, korporat dan pendokong-pendokong Harakah Islamiah yang lain akan memantapkan lagi corak perjuangan yang dilakukan oleh PAS.

Selama ini PAS telah membuka ruang tersebut kepada pendokong-pendokong Harakah Islamiah untuk menyertai PAS supaya kebolehan dan kepakaran yang mereka perolehi dapat dimanfaatkan.

PAS sebuah parti yang mengamalkan dasar musyawarah (perbincangan) iaitu boleh menerima dan memberi hujah untuk mendapatkan persefahaman untuk kepentingan Islam dan parti.

Sehingga hari ini pemantapan dari segi kepimpinan yang didokongi oleh ulama, profesional dan perjuangan parti dari semua peringkat telah menghasilkan kesan yang baik.

Selepas beliau bertanding di Lembah Pantai, Syed Ibrahim telah dilantik menjadi AJK PAS Agung, Bendahari PAS Pusat selama dua penggal, kemudian dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Pahang pada tahun 1982. Beliau pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan di samping menjadi AJK PAS Pusat sehingga hari ini.

Beliau merupakan salah seorang peneraju dari golongan profesional sehingga dapat menyedarkan golongan profesional lain untuk bersama-sama menyertai PAS.