Masjid berkenaan yang merakamkan detik sejarah penuh
suka dan duka masih wujud hingga ke hari ini di Kampung Masjid, Pulau Tawar.
Usianya hampir 200 tahun. Terletak kira-kira 30 minit dari bandar Jerantut.
Suasana kehidupan tradisional masyarakat Melayu yang bermastautin di pesisiran
Sungai Pahang masih tebal. Malah degup sejarah serta nostalgia abad ke-18 dan 19
seolah-olah baru sahaja berlalu. Masjid lama itu terletak berdekatan tebing
Sungai Pahang yang jernih airnya.
Kewujudan masjid lama di situ berkaitan sejarah
kepahlawanan Melayu Tok Gajah, Mat
Kilau,
dan pengikutnya kerana di situlah tercetusnya kebangkitan semangat
nasionalisme menentang penjajah Inggeris di Pahang. Namun begitu masjid lama itu
lebih sinonim berperanan sebagai pusat pengembangan ilmu serta syiar Islam
bermula dari kurun ke-18 hingga awal tahun 1970-an. Perkembangan institusi
pengajian pondok di Pulau Tawar berhubung rapat dengan masjid lama itu. Di
situlah markas tempat berkumpulnya tokoh ulama terkenal yang berasal dari
Sumatera seperti Allahyarham-Allahyarham Imam Malim, Imam Ahmad, Imam Haji Abd
Rahim, Imam Daud dan Imam Yahya. Masjid lama itu berperanan menyebarkan dakwah
Islamiah. Malahan banyak pelajar dari seluruh Jerantut, Kelantan dan Terengganu
datang belajar di situ pada kurun ke-18. Menurut keterangan orang-orang tua,
tapak asal pembinaan masjid lama itu dilakukan oleh Imam Perang Rasu (Tok Gajah),
Mat Kilau serta orang-orang Melayu Pulau Tawar pada awal tahun 1880-an. Masjid
lama itu kemudiannya dibangunkan dengan wajah baru pada tahun 1923 tetap
mengekalkan perspektif seni bina tradisional yang menggunakan kayu dan pelupuh
dari hutan tempatan.
Dalam buku Sejarah Pahang ada menceritakan
pembesar British, Hugh Clifford, pernah mendarat di tebing berdekatan masjid itu
untuk mengadakan perundingan dengan Mat Kilau dan Tok Gajah serta penduduk Pulau
Tawar supaya jangan mencampuri urusan pentadbiran Inggeris di Pahang. Setelah
mengalami kerosakan teruk diancam banjir besar tahun berikutnya, masjid lama itu
mengalami sekali lagi perubahan dengan binaan simen di bahagian bawah serta
lantainya supaya kelihatan lebih teguh. Walaupun berhadapan dengan arus putaran
masa, kubah dan mimbar masjid berkenaan masih lagi dalam bentuk binaan asal
iaitu mempunyai ciri-ciri pengaruh seni bina Minangkabau. Yang lebih unik,
sehingga ke hari ini, sebatang tongkat yang dibuat daripada kayu teras berusia
hampir sama dengan pembinaan masjid asal masih tersimpan rapi dan digunakan oleh
khatib sewaktu membaca khutbah. Sebuah beduk kayu yang juga berusia hampir dua
abad hilang dari masjid berkenaan dipercayai dicuri oleh mereka yang tidak
bertanggungjawab beberapa tahun lepas.
Di masjid lama Pulau Tawar itulah berlaku sejarah
pengistiharan diri Pahlawan Melayu Pahang Mat Kilau pada 26 Disember 1969
setelah menghilangkan diri buat sekian lama. Sebelum mengisytiharkan dirinya
pada hari Jumaat, Mat Kilau pernah beberapa kali singgah di masjid itu menyamar
sebagai peniaga dan orang luar. Sehingga pertengahan tahun 1995 tinggallah
masjid lama tersebut digigit sepi malah diselimuti dengan semak samun setelah
penduduk di situ menggunakan masjid baru. Namun masjid lama itu sering didatangi
oleh ahli sejarawan tempatan, siswa universiti, pelajar sekolah serta orang
perseorangan untuk merakamkan sejarah dan melihat seni bina di luar dan dalamnya.
Atas keinsafan ahli PAS Pulau Tawar mereka telah
mengambil inisiatif untuk membaiki masjid ini dan seterusnya membangunkan masjid
ini sebagai tempat menyampaikan dakwah dan kuliah agama . Pada hari ini masjid
ini telah menjadi satu tempat yang penting terhadap gerakan Islam di Pulau Tawar
.Setiap tahun berbagai program PAS peringkat cawangan, DUN kawasan dan negeri
telah diadakan di masjid ini.Kami berdoa semoga masjid ini kekal sebagai pusat
tarbiyyah gerakan Islam Pulau Tawar sebagaimana fungsinya 100 tahun dahulu.
Kembali ke menu
utama [returm to main menu]