APAKAH HAK KITA DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MALAYSIA

PENGENALAN

Dewasa ini, Gerakan Islam ditekan dari segenap sudut yang mengakibatkan kebanyakan gerakerja ke arah menyampaikan maklumat dan menggerakkan jentera parti telah serba sedikit terbantut. Antara yang menjadi penghalang utamanya adalah penyalahguanaan kuasa pihak berkuasa dalam usaha untuk membenteras Gerakan Islam dari terus melebarkan sayapnya dan meruntuhkan taghut yang rakus dengan kuasanya.

Oleh yang demikian, adalah amat perlu bagi kita memahami prosedur dan hal-hal yang berkaitan dengannya bagi menangani masalah yang timbul ini agar tidak melemahkam semangat para penggerak perjuagan Islam. Diharapkan juga, semoga dengan adanya sedikit maklumat ini, ianya akan dapat dimanafaatkan oleh semua pihak bagi menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang perundangan di kalangan kita.

Segala kekurangan dan kesilapan, harap dapat sama-sama diperbetulkan. Sekian.

ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!

LAJNAH UNIT GUAMAN & UNDANG-UNDANG
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PULAU PINANG

APAKAH HAK KITA DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MALAYSIA
Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia (selepas ini disebut sebagai Perlembagaan), antara hak kebebasan kita yang dijamin adalah berkenaan dengan hak kebebasan diri sebagaimana yang disebutkan dalam Perkara 5 Perlembagaan;

(1) Tiada seseorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang.

(2) Jika pengaduan dibuat kepada Mahkamah Tinggi atau kepada mana-mana Hakim Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa seseorang adalah ditahan dengan menyalahi undang-undang, maka mahkamah itu hendaklah menyiasat pemgaduan itu dan, melainkan berpuashati bahawa tahanan itu adalah sah di sisi undang-undang, mahkamah itu hendaklah memerintahkan orang itu di bawa ke hadapan mahkamah itu dan melepaskannya.

(3) Jika seseorang ditangkap maka ia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh sebab-sebabnya ia ditangkap dan ia hendaklah dibenarkan berunding dengan seorang pengamal undang-undang yang dipilih olehnya dan dibela oleh pengamal undang-undang itu.

(4) Jika seseorang itu ditangkap dan tidak dilepaskan, maka orang itu hendaklah di bawa ke hadapan majistret dengan segera, sekiranya tiada apa-apa sebab yang berpatutan, tetapi walaubagaimanapun dalam tempoh 24 jam(tidak termasuk masa perjalanan yang perlu) dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa majistret itu:

Dengan syarat bahawa Fasal ini tidak boleh dipakai bagi apa-apa tangkapan atau tahanan yang dilakukan terhadap mana-mana orang yang dilakukan terhadap mana-mana orang di bawah Undang-undang yang ada yang berkaitan dengan kediaman terhad, dan semua peruntukan Fasal ini hendaklah disifatkan telah menjadi sebagahagian integral Perkara ini mulai dari Hari Merdeka;

Dengan syarat selanjutnya bahawa dalam pemakaiannya bagi seseorang selain daripada warganegara yang ditangkap atau ditahan di bawah undang-undang yang berhubungan dengan imigresen, Fasal ini hendaklah dibaca seolah-olah perkataan-perkataan tanpa kelengahan yang munasabah, dan walau bagaimanapun dalam tempoh 24 jam (tidak termasuk masa perjalanan yang perlu) telah digantikan dengan perkataan-perkataan dalam tempoh 14 hari:

Dan dengan syarat selanjutnya bahawa dalam hal penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah Syariah, sebutan-sebutan dalam Fasal ini mengenai seorang majistret hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk sebutan-sebutan Syariah.

(5) Fasal (3) dan (4) tidak dipakai terhadap orang negara musuh.

Adalah jelas bahawa hak kebebasan kita sebagaimana yang tercatat dalam Perlembagaan adalah hendaklah dipandang tinggi dan dijamin oleh pihak yang bertanggungjawab.

Cara Tangkapan
Tangkapan boleh dilaksanakan dengan dua cara :

(1) Seksyen 15 KPJ memperuntukkan bahawa bahawa tangkapan boleh dilaksanakan dengan menyentuh atau megurung badan orang yang hendak ditangkap itu, melainkan jika orang berkenaan menyerah diri kepada mana-mana pegawai polis samada melalui percakapannya atau tungkahlakunya. Walaubagaimanapun, jika orang yang hendak ditangkap itu melawan dengan kekerasan atau cuba lari dari tangkapan, maka pegawai polis berkenaan boleh menggunakan sebarang langkah yang wajar untuk melaksanakan  tangkapan tersebut. Namun demikian, ia tidak berhak untuk meyebabkan kematian orang yang hendak ditangkap itu jika kesalahan yang dituduh tidak membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.

(2) Seksyen 16 KPJ pula memperuntukkan bahawa kuasa diberikan kepada mana-mana pegawai polis yang menjalankan waran tangkapan atau menjalankan tangkapan untuk kesalahan yang boleh ditangkap sebagaimanaseksyen 23(i) KPJ, yang mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa orang-orang yang hendak ditangkap itu telah masuk ataui berada dalam mana-mana premis, maka mana-mana pegawai polis berkenaan boleh meminta masuk ke dalam premis berkenaan dan penghuni premis tersebut perlu memberi segala kemudahan kepadanya untuk melaksanakan tugasnya. Walaubagaimanapun, jika pegawai polis berkenaan tidak dapat masuk dengan cara sebagaimana di atas, maka adalah sah bagi pegawai polis berkenaan bertindak dengan waran dan bagi tangkapan tanpa waran sekiranya kesalahan itu boleh dikeluarkan waran, tetapi, disebabkan kelewatan mendapatkan waran berkemungkinan menyebabkan orang yang ditangkap itu melarikan diri, maka ia boleh bertindak sebagaimana ia mempunyai waran. Seksyen 18 KPJ membenarkan mana-mana pegawai polis untuk memecahkan mana-mana tempat untuk melepaskan dirinya apabila menjalankan kewajipannya membuat tangkapan tetapi telah terkurung di dalamnya.

Faktor-Faktor Tangkapan
Tangkapan boleh dilaksanakan oleh :

(a) mana-mana pegawai polis

(b) penghulu

(c) orang perseorangan

(d) majistret atau Jaksa Pendamai (JP)

(e) mana-mana orang yang diberikuasa oleh pihak yang berkuasa.

Antara faktor-faktor seseorang itu boleh ditangkap tanpa waran oleh mana-mana pegawai polis [Seksyen 23 Kanun Prosedur Jenayah (selepas ini disebut sebagai KPJ)] adalah :

(i) sesiapa yang terlibat dalam mana-aman kesalahan yang dilakukan di Malaysia, di mana kesalahan iaitu merupakan kesalahan boleh ditangkap atau lazim ditangkap (seizable offence) di bawah mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia, di mana kesalahan tersebut telah dilakukan, atau lanjutan suatu aduan yang munasabah yang telah dibuat, atau atas maklumat yang boleh dipercayai, tau terdapat syak yang munasabah bahawa orang tersebut telah terlibat dalam kesalahan yang berkenaan;

(ii) mana-mana orang yang memiliki tanpa alas an yang sah dari segi undang-undang, yang mana beban membuktikannya sebab-sebab itu adalah bertanggungan di atas orang itu, sebarang perkakas pecah rumah;

(iii)sesiapa yang telah diisytiharkan sebagai telah melarikan diri daripada satu waran tangkap yang telah dikeluarkan kepadanya;

(iv) sesiapa yang memiliki dalam simpanannya, apa-apa barang yang disyaki telah dicuri atau diperolehi dengan cara menipu dan yang boleh disyaki telah melakukan suatu kesalahan berkaitan dengan barang berkenaan;

(v) sesiapa yang menghalang mana-mana anggota polis daripada menjalankan tugasnya atau yang telah lari atau cuba untuk melarikan diri dari tahanan yang sah;

(vi) sesiapa yang disyaki dengan munasabah lari daripada Angkatan Bersenjata Persekutuan;

(vii)sesiapa yang dijumpai berikhtiar menyembunyikan diri di dalam keadaan yang menimbulkan alas an untuk mempercayai bahawa ia berbuat demikian bagi maksud untuk melakukan suatu kesalahan boleh ditangkap;

(viii)sesiapa yang diperihalkan sebagai tidak mempunyai mata pencarian atau gagal memberikan keterangan yang memuaskan mengenai dirinya;

(ix) sesiapa yang mempunyai reputasi sebagai penyamun, pemecah rumah, pencuri atau pada lazimnya menjadi penerima barang curi, ataupun yang mempunyai reputasi melakukan kesalahan pemerasan, atau kerana hendak melakukan pemerasan biasa untuk manakutkan atau cuba menakutkan orang lain dengan kecederaan;

(x) sesiapa yang melanggar keamanan di hadapan mana-mana pegawai polis;

(xi) sesiapa yang di bawah pemerhatian polis dan telah ingkar mematuhi syarat-syarat yang dikenakan kepadanya.

Yang dimaksudkan dengan kesalahan yang boleh ditangkap atau lazim ditangkap adalah mana-mana pegawai polis boleh menangkap tanpa perlu mendapatkan waran tangkap terlebih dulu sebagaimana yang disebutkan dalam Ruangan 3 Jadual Pertama KPJ. Kebanyakan kesalahannya adalah mana-mana kesalahan yang mana penaltinya adalah boleh dihukum penjara 3 tahun ke atas atau hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup (Seksyen 2 KPJ).

Oleh yang demikian, boleh dikatakan bahawa pihak polis mempunyai ruang yang begitu luas untuk menjalankan tangkapan terhadap mana-mana orang yang berkenaan.

Bagaimana Menanganinya?
Beberapa perkara hendaklah diketahui apabila seseorang ditangkap oleh pihak yang berkenaan antaranya :

(a) Menurut Seksyen 112 KPJ, pihak polis boleh mendapatkan maklumat yang boleh membawa seseorang yang ditangkap dikenakan atau disabitkan dengan kesalahan yang dilakukannya. Ianya boleh dilakukan di hadapan pegawai penyiasat yang ditakrifkan sebagai pegawai polis yang berpangkat sarjan ke atas (Seksyen 109 KPJ). Ianya berkaitan dengan hal yang berkaitan dengan siasatan polis terhadap sesuatu kes. Sesuatu maklumat hanya akan diterima menjadi keterangan di mahkamah apabila ianya dilakukan dengan kehadiran seorang pegawai polis berpangkat Inspektor ke atas. Ianya boleh dilakukan oleh mana-mana orang yang akhirnya beliau sendiri boleh dituduh dengan kesalahan tersebut. Soalan yang perlu dijawab adalah berkenaan dengan nama dan alamat yang sebenar orang yang berkenaan (orang yang ditangkap) menurut Seksyen 24 KPJ.

(b) Menurut Seksyen 113 KPJ pula memperuntukkan bahawa suatu kenyataan beramaran hendaklah dibacakan atau dengan kehadiran oleh mana-mana pegawai polis yang berpangkat Inspektor ke atas bagi membolehkan apa-apa maklumat yang diperolehi boleh diambilkira sebagai suatu keterangan di mahkamah. Ianya hendaklah diberikan secara sukarela oleh orang yang kena tuduh (selepas ini disebut sebagai OKT). Hanya mana-aman pegawai polis yang berpangkat Inspektor ke atas sahaja yang mempunyai autoriti merekodkan pernyataan yang diberikan oleh OKT selepas kenyataan beramaran dibacakan kepadanya. Seksyen ini lebih melibatkan apabila seseorang dituduh atas sesuatu kesalahan. Soalan yang perlu dijawab adalah berkenaan dengan nama dan alamat yang sebenar orang yang berkenaan (orang yang ditangkap) menurut Seksyen 24 KPJ.

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Kenyataan Beramaran?
Elemen-elemen kenyataan beramaran (Perkara 5(3) Perlembagaan) adalah:

(a) Diberitahu dengan seberapa segera yang boleh sebab-sebab ia ditangkap;

(b) Ia dibenarkan berunding dengan seorang pengamal undang-undang yang dipilih olehnya;

(c) Ia dibenarkan dibela oleh pengamal undang-undang yang dipilih olehnya.

Penutup
Oleh yang demikian, kita hendaklah berhati-hati dalam menghadapi tindakan yang dikenakan terhadap kita oleh pihak yang berkuasa dalam usaha mereka untuk mengekang Gerakan Islam dari terus subur dan menyinar di bumi yang bertuah ini. Moga-moga dengan penerangan ringkas ini, ianya akan dapat membuka minda kita sebagai bekalan menghadapi cabaraan dan dugaan ini.

Wassalam.