Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

Penduduk Air Itam Terseksa Bau Busuk Dari Ternakan Ayam
 
Wednesday, October 23
NIBUNG TEBAL, 22 Okt (Hrkh)- Kira-kira 100 orang penduduk Sungai Air Itam, Nibung Tebal kecewa dengan pengusaha ayam di kampung tersebut kerana tidak mengendahkan notis pemberhentian operasi daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). 

Penduduk juga terkilan terhadap MPSP yang seolah-olah tidak bersungguh menangani masalah ini walaupun puluhan surat, talipon dan perjumpaan diadakan.

Harakah yang melakukan tinjauan bersama Ahli Parlimen Nibung Tebal, Goh Kheng Huat mendapati ternakan pertama telah pun dijual pada 6 Oktober lalu dan bakal menempatkan semula ternakan baru tidak lama lagi.

Harakah juga mendapati sistem baru ternakan (reban tertutup) memang tidak mendatangkan masalah sekiranya pembinaan jauh dari perkampungan tidak sepertimana reban terbuka yang tetap mendatangkan risiko seperti lalat dan bau yang busuk walaupun jauh dari penempatan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Projek Ternakan Ayam Sungai Air Itam, Hashim Haji Ahmad ketika ditemui menegaskan, aduan juga dikemukakan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Acheh, Dato' Abdul Rashid Abdullah.

Namun mereka memarahi badan bertindak kembali kononnya sengaja menimbulkan isu ini untuk memalukan Adun yang telah lama berkhidmat di sini.

"Kami tidak berniat langsung untuk memalukan Adun sebaliknya kecewa kerana gagal bertindak walaupun aduan telah dikemukakan. Kami bertambah marah apabila beliau dengan ego mengatakan ini bukan ahli parti Umno, " tegasnya.

Sebagai Adun dan Exco Kerajaan Negeri tambahnya, beliau tidak wajar bercakap begitu kerana ini adalah masalah rakyat yang perlu ditangani segera tidak kira penyokongnya atau tidak.

Rakannya, Sapini Shamsuddin 36 berkata, akibat debu-debu halus dan bulu sering berterbangan, rumah berhampiran tempat ternakan itu terpaksa di tutup sepanjang masa.

Bukan itu sahaja bahkan, beliau dan beberapa keluarga lain terpaksa makan di luar kawasan itu termasuk di kedai kerana tidak tahan dengan bau yang begitu meloyakan.

"Keluarga saya terpaksa berselindung di sebalik rumah untuk makan tengahari kerana angin selalu bertiup ke arah kampung dengan membawa debu-debu halus bersama bau yang meloyakan, " ujarnya.

Sementara itu Ahli Parlimen Nibung Tebal, Goh Kheng Kuat dalam kenyataanya berkata, isu ini patut ditangani segera dengan campur tangan Adun, JKKK, MPSP dan sebagainya.

Bila isu ini sering disekat kemungkinan ianya mempunyai kroni dengan orang politik.

"Sepatutnya mereka tidak boleh sekat dan mengatakan itu dan ini. Bila notis dikeluarkan mesti dipatuhi. Kita akan siasat dan jika terdapat udang di sebalik batu penduduk mesti buat lapuran kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), " terangnya.