Jual arak melebihi had masa: Pemuda PAS Bukit Bendera buat laporan polis
Oleh Mohd Sabri Said BUTTERWORTH, 2 Sept (Hrkh)- Dewan Pemuda PAS kawasan Bukit Bendera buat
pertama kalinya membuat laporan polis berhubung penjualan arak melebihi jam 12.00 tengah malam di Balai Polis Batu Feringgi pada malam kemerdekaan, 31 Ogos lalu.
Ketua Pemudanya, Saiful Lizan Mohd Yusuf berkata, sudah sampai masanya PAS bertindak terhadap kegiatan itu kerana Batu Feringgi merupakan pusat maksiat terulung di sebelah pulau.
"Dewan Pemuda PAS Bukit Bendera merasakan sudah sampai masanya masalah maksiat terutamanya penjualan arak di Batu Feringgi dilaporkan kerana kegagalan kerajaan membendungnya, " tegas beliau.
Beliau kesal kerana tingkah laku peminum arak sering menggangu ketenteraman awam dan melanggari peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Sepatutnya pusat seumpama itu ditutup supaya kegiataan minum arak yang menggangu ketenteraman awam dapat dibendung, " katanya dalam laporan tersebut.
Seterusnya, beliau memberitahu, remaja Melayu semakin berani minum arak di hadapan khalayak ramai walaupun pada waktu siang hari.
Masalah itu, ujarnya, tidak akan selesai jika kerajaan negeri tidak menguatkuasakan peraturan yang ada bagi membendung kegiatan tidak bermoral itu terutama yang membabitkan golongan remaja.
"Jika melintasi Batu Feringgi di waktu malam, pasti akan terserempak dengan remaja yang mabuk di tepi jalan. Gejala seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam negara
yang didakwa sebuah negara Islam, " katanya kesal. /nr
|