Mendedahkan kelemahan wakil rakyat UMNO, diantaranya termasuklah Badawi
Pemimpin UMNO dedah pemaju enggan bina rumah kos rendah PULAU PINANG 25 Mei - Seorang pemimpin UMNO negeri ini mendedahkan
beberapa pemaju perumahan di sini enggan membina rumah kos rendah berharga di bawah RM35,000 atas alasan ia tidak menguntungkan mereka.
Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera yang juga ahli Majlis Perbandaran
Pulau Pinang (MPPP), Datuk Ahmad Ismail berkata, walaupun beliau telah mengingatkan berulang kali supaya mereka komited dalam perkara itu, pemaju terbabit tetap dengan pendirian tersebut.
Beliau menggesa
kerajaan negeri supaya segera mempercepatkan projek pembinaan rumah kos rendah bagi memindahkan penduduk yang mendiami kawasan penempatan lama dalam bandar.
Tegas beliau, sudah tiba masanya MPPP dan
pemaju-pemaju perumahan mengutamakan kebajikan penduduk berpendapatan rendah daripada mengaut untung.
``Saya sudah meminta mereka (pemaju) menjalankan tanggungjawab sosial untuk membela nasib penduduk yang
tersepit dan kurang berkemampuan".
``Namun, pemaju terus tidak mempedulikan rintihan penduduk seolah-olah ia bukan tanggungjawab mereka. Pemaju tidak berminat untuk membina rumah kos rendah,'' ujarnya
ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semalam yang kecewa kerana kemajuan Pulau Pinang tidak dilaksanakan secara menyeluruh dan seimbang sehingga masih
ada penduduk yang tertinggal dan hidup seperti pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua.
Sambil menyifatkan keadaan itu tidak wajar berlaku, Perdana Menteri berkata, masih ada rumah-rumah yang tidak begitu
selesa dan dibuat daripada kayu seperti yang dilihatnya ketika melawat negeri ini sekitar tahun 1950-an.
Ahmad turut menyifatkan jaminan Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Hilmi Yahaya hari ini bahawa semua
penempatan lama akan dibersihkan dalam tempoh 10 tahun, sebagai tidak wajar.
``Tempoh pelaksanaan yang terlalu lama menyebabkan kepadatan penduduk pasti bertambah dan boleh merumitkan lagi keadaan,'' katanya.
Ahmad menekankan bahawa sebarang projek harus dilaksanakan segera dalam daerah yang sama walaupun kawasan itu dibangunkan untuk projek-projek lain.
Beliau turut menyarankan kerajaan negeri memberi
subsidi dengan menambah projek rumah kos rendah supaya lebih ramai penduduk dapat mendiami kawasan berkenaan.
``Tiada gunanya pembangunan dan kemewahan jika masih ada penduduk yang dibelenggu ketidakselesaan
akibat kemiskinan yang ditanggung bertahun-tahun.
``Saya khuatir jika ketidakseimbangan ini dibiarkan, lambat laun ia akan mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat yang boleh membawa kepada
perpecahan kaum dan masalah sosial yang sukar dibendung,'' katanya
|