Iklan arak hina kaum India Berita Harian :23-10-2003.
GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap syarikat minuman keras yang
menghina tradisi dan budaya masyarakat India menerusi iklan arak. Iklan arak berkenaan disiarkan dalam akhbar tamil sejak beberapa hari lalu.
Presiden CAP, S M Mohamed Idris, berkata dalam satu iklan alkohol,
cahaya lampu keluar dari penutup botol minuman (botol bir).
Katanya, cahaya adalah unsur yang melambangkan kecerahan masa depan dan iklan itu seolah-olah melambangkan kehidupan masa depan menyambut Deepavali
akan menjadi cerah dengan minuman alkohol.
Beliau berkata, ramai penganut Hindu yang menunggu untuk menyambut Deepavali terkejut dengan iklan itu dan menyuarakan bantahan kepada CAP.
"Masyarakat
Malaysia sedia maklum bahawa alkohol menjadi punca pelbagai masalah sosial di kalangan masyarakat India di negara ini.
"Dengan mengaitkan alkohol dengan lambang murni cahaya, golongan muda yang
terpengaruh dengan tabiat minum arak akan mencuba tabiat ini pada hari Deepavali," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Idris berkata, oleh kerana alkohol itu amat menghina tradisi dan budaya
masyarakat India terutama pada perayaan seperti Deepavali, CAP mendesak syarikat minuman keras itu menarik balik iklan berkenaan serta merta.
|