Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

Isu Tol Project Outer Ring Road (PORR)

Samy Vellu patut meminta Kabinet mempertimbangkan pembukaan semula tawaran tender untuk PORR memandangkan pemberian tendernya adalah bertentangan dengan amalan terbaik antarabangsa berkenaan dengan pentadbiran bandar yang baik dan integriti awam

Kenyataan Media Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Kit Siang

Pulau Pinang, 4 Jun Khamis lalu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Hilmi Yahaya memberitahu Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bahawa Kerajaan Negeri telah "mengorbankan" 31 hektar tanah negeri terbaik dan 202 hektar tanah ditebus guna bersebelahan dengan Gurney Drive untuk mengurangkan tol Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) di setiap stesen tol yang disyorkan pada awalnya daripada RM1.70 kepada RM1. Akan tetapi, pada masa yang sama, beliau mendakwa PORR akan dibina "tanpa kos langsung kepada orang awam."

Namun demikian, pada hari Ahad, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu datang ke Pulau Pinang dan mengatakan bahawa kadar tol bagi PORR masih dikaji dan belum ditentukan lagi. Beliau memberikan jaminan bahawa kadar tol yang akan dikenakan adalah amat munasabah sekali dengan mengambil kira beban yang ditanggung oleh pengguna dan kos yang terpaksa dipikul oleh kerajaan dalam pembinaan jalan tersebut. Adakah tol bagi PORR akan kurang daripada kadar RM1 bagi setiap stesen tol?

Walau bagaimanapun, apakah "kos" yang akan dipikul oleh kerajaan yang dikatakan oleh Samy Vellu padahal Hilmi telah memberitahu Dewan Undangan Pulau Pinang bahawa tidak ada "kos langsung kepada orang ramai"?

Menurut Samy Vellu, "kos awam" ini adalah peruntukan daripada Persekutuan sebanyak "RM150 juta bagi skim pampasan berkenaan, RM200 juta dalam bentuk tanah negeri terbaik dan hak untuk menebus guna 200 hektar tanah bagi projek pembangunan bercampur kepada pemegang konsesi untuk mengurangkan kos kepada RM740 juta" mendakwa bahawa "mengurangkan kos projek bererti mengurangkan kadar tol."

Memandangkan terdapat konflik nyata di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri mengenai sama ada terdapat "kos awam" untuk PORR, pemimpin-pemimpin Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu memperjelas PORR dan berhenti mempermainkan penduduk Pulau Pinang dengan membuat kenyataan yang bercanggah dan mengelirukan yang kesemuanya timbul daripada kekurangan ketelusan berhubung PORR sama sekali.

Samy Vellu tidak mampu memberikan apa-apa sebab yang menyakinkan apabila beliau menolak seruan untuk mengadakan tawaran semula PORR kecuali mengatakan bahawa "mereka yang terlibat hanya akan meminta wang yang lebih."

Penduduk Pulau Pinang semestinya menganggap bahawa "mereka yang terlibat" hanya boleh merujuk kepada Peninsular Metroworks Sdn Bhd yang telah diberikan Letter of Intent bagi konsesi PORR tersebut memandangkan ia adalah pemohon tunggal beberapa tahun lalu. Ini bukannya kata-kata yang mewajarkan pujian tentang tanggungjawab korporat sebuah syarikat bernilai RM50, 000 tanpa apa-apa rekod sebelum ini dalam pembinaan lebuh raya tetapi ditawarkan projek penswastaan mega berbilion ringgit secara bertentangan dengan amalan terbaik antarabangsa berkenaan dengan pentadbiran bandar baik dan integriti awam.

Sungguhpun begitu, Samy Vellu tidak mungkin betul bahawa sekiranya terdapat tawaran semula untuk penswastaan PORR, Peninsular Metroworks akan "meminta wang yang lebih," kerana ianya tidak akan menjadi suatu ulangan tawaran asal lima tahun lalu apabila tidak seorang pun yang tahu bahawa pemegang konsesi PORR akan diberikan habuan konsesi tol selama 30 tahun, 31 hektar tanah negeri terbaik dan 202 hektar tanah yang ditebus guna bersebelahan dengan Gurney Drive julung kali yang dianggarkan bernilai kira-kira RM5 bilion!

Samy Vellu telah menghadiri banyak persidangan antarabangsa sebagai Menteri Kerja Raya di pelbagai bahagian dunia serta merasmikan pembukaan lebih banyak lagi persidangan mengenai pengangkutan dan penswastaan di Malaysia.

Biarlah Samy Vellu menjelaskan sebab beliau telah membenarkan projek PORR menyalahi amalan terbaik antarabangsa berkenaan dengan pentadbiran bandar baik dan integriti awam di mana sokongan kerajaan bagi apa-apa projek penswastaan patut didefinasikan dari awal lagi dengan sepenuhnya supaya sektor swasta dapat menyediakan tawaran realistik dan mengelakkan apa-apa yang tidak betul dan pengaruh tidak wajar serta amalan curang apabila membuat tawaran.

Samy Vellu juga harus menjelaskan sebab Kerajaan Persekutuan sedang bersikap mendiskriminasikan Pulau Pinang dengan tidak menjamin bahawa PORR adalah bebas daripada tol sedangkan ia dapat menjamin Jalan Lingkaran Tengah Seremban yang bernilai RM500 juta bebas daripada tol serta memperuntukkan RM1 bilion kepada Kedah bagi Jalan Lingkaran Luar Sungai Petani yang tidak dikenakan tol di samping projek-projek jalan yang lain di negeri tersebut padahal Pulau Pinang sama berhak jikapun bukan lebih berhak mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan sebegitu memandangkan sumbangan Pulau Pinang kepada rizab perbendaharaan Persekutuan.

Samy Vellu perlu membangkitkan isu PORR di Kabinet untuk mengkaji tawarannya kerana ianya penuh dengan kecacatan, yakni bertentangan dengan amalan terbaik antarabangsa berkenaan dengan pentadbiran bandar yang baik dan integriti awam, dan mempertimbangkan opsyen adil dan sewajar untuk mengadakan tawaran semula di mana sokongan kerajaan sepenuhnya untuk PORR seperti peruntukan RM150 juta Kerajaan Persekutuan dan kutipan tol 30 tahun yang bernilai RM5 bilion, 31 hektar tanah negeri terbaik dan 202 hektar tanah ditebus guna bersebelahan dengan Gurney Drive diumumkan dari awal lagi dan dimaklumkan kepada semua pihak yang berminat.

Selanjutnya, Kabinet patut mentauliahkan perumusan suatu pelan induk pengangkutan yang terperinci untuk menyediakan suatu sistem pengangkutan awam yang berkesan berdasarkan dasar pengangkutan yang dapat berkekalan bagi tujuan menyelesaikan kesesakan trafik yang amat ditakuti di Pulau Pinang.

Memandangkan pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan di Pulau Pinang telah mendakwa bahawa PORR adalah suatu beban tidak adil yang dikenakan ke atas Kerajaan Negeri Pulau Pinang, MCA Pulau Pinang dan Gerakan Pulau Pinang oleh Kerajaan Persekutuan dan UMNO, maka mereka haruslah melobi Menteri-menteri MCA dan Gerakan untuk mengambil pendirian yang tegas dan meminta kajian semula projek PORR bukan sahaja berkenaan dengan soal tol tetapi juga tawaran semula tender serta perumusan suatu pelan induk pengangkutan yang terperinci untuk menyelesaikan masalah kesesakan trafik di negeri tersebut.