Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

Arak Dilarang Di Kalangan Kaum India
 
Wednesday, August 20 @ 17:55:44 MYT


KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Hrkh)- Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Thirukkural Malaysia, Dr Ananda Krishnan menyifatkan MIC Terengganu sebagai penyokong sikap pemabuk di kalangan kaum India

"Sebagai rakyat Malaysia berketurunan India Selatan, saya merasa amat terkejut dan kecewa dengan Ketua MIC Terengganu yang terang-terangan menggalakkan pengambilan alkohol semasa perayaan Deepavali yang akan datang," katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakah.
Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh pihak MIC sebagai sebuah parti gabungan pemerintah memberikan keaiban kepada kebudayaan, agama dan tradisi India Selatan, katanya.

"Orang-orang India Selatan adalah berketurunan terus dari tamadun Dravidian (Mohenjo Dara, Harrapa), dari Lembah Indus dan hidup berpandukan kitab suci Thirukkular yang di asaskan lebih 2000 tahun lalu oleh Yang Mulia Thiruvalluvar.

"Orang-orang India Selatan amat menyanjungi kitab suci tersebut yang melarang keras pengambilan alkohol. Tidak kurang dari 10 daripada 1330 ayat di dalam kitab tersebut mengecam akan kesan buruk pengambilan alkohol dan penggunaanya diharamkan sampai bila-bila," kata Dr Krishnan.

Beliau memberikan terjemahan dari Thirukkural Ayat 926 berbunyi:

"Tidur mereka adalah seperti orang mati;dan yang meminumnya pula seumpama memakan racun."

Begitu jelas bahawa alkohol itu beracun dan kesan pengambilannya akan membahayakan kesihatan seseorang individu, kata Dr Krishnan.

"Amat memalukan apabila melihat MIC menggalakkan sikap pemabuk di kalangan kaum India yang memang terkenal dengan keburukan akhlaknya disebabkan pengambilan minuman keras.

"Di sebalik berterima kasih kepada kerajaan PAS, MIC berusaha untuk mendapatkan hak menyalahgunakan alkohol, dan mengenepikan ajaran Thirukkural, melanggar peraturan dan merosakkan kehidupan sosial kaum India.

"Saya sangat-sangat berterima kasih kepada PAS kerana berusaha keras dalam membasmi ancaman sikap pemabuk selari dengan ajaran Islam. MIC dan BN memilih untuk tidak mempedulikan penyakit sosial yang teruk ini dan menggalakkan lagi kehancuran kaum India yang sekarang ini telah dicap sebagai golongan gangster, pemabuk dan tidak bermoral," tegas beliau.

Beliau berkata, pihaknya merayu agar PAS bersikap tegas di dalam usaha mereka untuk membanteras pengambilan alkohol yang telah memusnahkan kesihatan beribu-ribu keluarga kaum India.

"Ia akan lebih bermakna sekiranya kaum India di dalam BA menganjurkan satu seminar untuk menyedarkan kaum India bahawa alkohol itu “haram” seperti ajaran agama mereka, dan membangunkan spiritual mereka dari kemabukan yang disebabkan oleh UMNO BN," tegas Dr Krishnan.