Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

Pemuda kutuk konsert Salem di Jetty Swettenham
Monday, October 13 @ 11:18:38 MYT


OLEH: Mohd Sabri Said.
BUKIT MERTAJAM, 13 Okt (Hrkh) - Dewan Pemuda Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang mengutuk sekeras-kerasnya konsert Mega Salem yang diadakan di Jetty Swettenham pada malam 11 Okt lalu.

Ketuanya, Azizi Ayub dalam kenyataan akhbar di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Taman Alma Jaya, Bukit Mertajam semalam menegaskan, dalam keghairahan Umno dan Barisan Nasional (BN) menjaja negara ini sebuah negara Islam di masa yang sama konsert liar terus diadakan.
"Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang mengutuk tindakan Kerajaan Negeri dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) kerana memberi ruang kepada program maksiat yang nyata meruntuhkan maruah generasi muda negara, " ujarnya.

Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah Timbalan Ketua, Ustaz Hafiz Nordin, Naib Ketua Haji Rahim Hasan, Setiausaha Dewan Pemuda, Helmi Harun, Bendahari Baharudin Abu Kasim dan Ketua Penerangan, Anuar Abdul Hamid.

Antara sebab lapuran polis dibuat kerana pihak penganjur tidak menghormati Islam sebagai agama rasmi negara yang termaktub dalam perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu ianya mencabul dan melanggari zon keselamatan yang menjadi pintu masuk utama ke Malaysia.

"Pihak keselamatan pula gagal menghalang secara profesional konsert tersebut sehingga diadakan di zon keselamatan pelabuhan. Sedangkan pihak polis beriya-iya menghalang ceramah pembangkang walaupun diadakan di dalam bangunan dan tanah milik parti, " terang beliau.

Dewan Pemuda berharap perkara ini tidak akan berulang lagi kerana ia boleh menimbulkan kemarahan umat Islam serta merosakan generasi muda kaum lain yang juga mengharapkan belia mereka hidup dalam keharmonian./mn