Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

Penduduk desak MPSP halang pemaju teruskan projek buat simen
Oleh Mohd Sabri Said

TASEK GELUGOR :- Kira-kira 700 penduduk Kampung Tok Bedu, Kubang Menerong, Pokok Jenerih dan Taman Kubang Menerung mendesak Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bertindak segera menghalang sebuah syarikat yang menjalankan projek membuat simen daripada terus melaksanakan projek mereka.

Penduduk mendakwa, sejak wujudnya kilang projek berkenaan sebulan lalu, laluan di kampung mereka tidak tenteram kerana bunyi bising, debu berterbangan sehingga boleh mengancam keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak yang berulang alik ke sekolah. Wakil penduduk, Jusoh Awang, 80 berkata, keselamatan penduduk terancam terutama kanak-kanak kerana jalan di kawasan itu terlalu sempit. "Bila lori simen berselisih, kenderaan lain terpaksa mengelak ke tepi kerana lori itu besar serta laju," katanya. Maizun Mohd Arif dan Ali Awang pula masing-masing sependapat bahawa kerja-kerja memproses simen tidak sepatutnya di adakan di dalam kawasan perkampungan. "Kenapa mereka tidak membina kilang itu di kawasan projek perumahan dan tidak menganggu lalu lintas dan pengguna jalan?," soal beliau. "Setakat ini kami telah membuat surat bantahan kepada MPSP tentang perkara ini dan berharap MPSP akan bertindak segera, " tambah rakannya, Othman Long. Seorang lagi penduduk, Johari Sharif turut melahirkan rasa kesal kerana lori-lori yang keluar masuk ke kampung mereka akan beroperasi awal pagi dan berakhir sehingga lewat malam.