Edisi Utara: Tompokan darah 1 km Harian Metro 28/8/2003 Oleh Badaruddin Mat Zakaria
GEORGETOWN: Tompokan darah seorang kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) bertaburan sepanjang hampir satu
kilometer selepas dia diseret sebuah kereta yang merempuh motosikalnya dari arah belakang.
Dalam kemalangan di Jalan Bukit Gambir, dekat sini, malam kelmarin, Razali Meh, 49, mati di tempat kejadian manakala
isterinya, Jamalah Shaik Mohammad, 48, yang membonceng motosikal, cedera parah.
Kemalangan kira-kira jam 10.30 malam ketika pasangan suami isteri itu menunggang motosikal dari USM pulang ke rumah mereka di
Bukit Jambul, dekat sini.
Pegawai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Cif Inspektor Rohaizad Halim, berkata Razali memberhentikan motosikalnya di lampu isyarat merah berdekatan persimpangan Jalan
Pekaka.
“Tiba-tiba sebuah kereta Honda Civic dipandu seorang lelaki merempuh motosikal mangsa dari belakang, menyebabkan Razali terjatuh dan diseret hampir satu kilometer.
“Pemandu kereta itu
dipercayai mabuk mungkin mahu melarikan diri dan terus memecut keretanya tanpa menyedari mangsa masih berada di bawah keretanya,” katanya.
Rohaizad berkata, pemandu itu hanya memberhentikan kereta selepas
sebuah kereta lain memintas dan menyuruhnya berhenti selepas mendapati terdapat seseorang di bawah kereta.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dikeluarkan dari bahagian bawah kereta dengan bantuan orang ramai.
“Terdapat kesan darah di atas jalan raya sepanjang jarak mangsa diheret dan kecederaan teruk dikesan di bahagian punggung mangsa.
“Isterinya yang terpelanting dan jatuh ke atas jalan raya patah kaki
kiri dan retak kepala. Dia dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) oleh orang ramai,” katanya.
Berikutan kejadian itu, polis menahan reman selama tiga hari pemandu kereta berusia 45 tahun mengikut Seksyen
117 Kanun Acara Jenayah, untuk siasatan lanjut.
Rohaizad berkata, lelaki itu bekerja sebagai pengurus cawangan sebuah kilang di Air Itam ditahan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini.
Beliau
meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan menghubunginya di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Timur Laut, talian 04-2221896 atau 019-4161094 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Penolong
Pendaftar Pejabat Perhubungan Awam USM, Mohamad Abdullah, berkata, Jamalah kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
Menurutnya, Razali yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir Kanan Pejabat Perhubungan Awam USM
mula berkhidmat sejak 21 Jun 1973 dan antara kakitangan paling lama berkhidmat di universiti itu.
“Kehilangan Razali amat dirasai seluruh masyarakat yang mengenali beliau yang aktif dengan kerja
kemasyarakatan terutama kegiatan anjuran Kemas Pulau Pinang,” katanya.
Mangsa meninggalkan seorang isteri dan dua anak iaitu Rohatine Razali, 25, yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Pantai Mutiara dan
Rohartina Razali, 19, yang juga kakitangan USM.
|