Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

Pembangunan: Penduduk Melayu Kampung Tanjung Tokong seperti dihalau

TANJUNG TOKONG:- Penduduk Tanjung Tokong Pulau Pinang bimbang perancangan pembangunan yang tidak seimbang di sini terus menjadikan masyarakat Melayu seperti 'melukut di tepi gantang'.

Pembangunan mewah seperti kondominuim serta rumah kedai yang bernilai ratusan ribu ringgit tidak memberi peluang orang Melayu menikmati erti pembangunan sebenar melainkan sekadar berputih mata. Seorang penduduk, Hamid Jabar berkata, nilai harga rumah yang rendah yang ditawarkan kepada penduduk asal sebagai pampasan untuk tujuan pembangunan umpama menghalau penduduk secara terhormat. Di kiri kanan kampung seperti Kampung Haji Mahmud, Kampung Bagan Jermal, Kampung Tanjung Tokong, Tanjung Bungah dan sekitar Batu Feringgi semuanya telah terbina bangunan pencakar langgit.

"Rumah saya sendiri di nilai dengan harga yang murah semata-mata untuk memberi laluan kepada pembangunan projek mewah. Di mana saya dan keluarga hendak pergi dengan pampasan yang tidak seberapa itu?" terangnya.

Mohd Husaini Zainuddin pula berkata, peniaga Melayu turut menjadi mangsa ekoran pembangunan rumah kedai yang tinggi harganya. "Mana mungkin kami boleh berdaya saing dengan kaum lain jika pembangunan di sini berat sebelah sehingga kami sendiri seolah-olah terpulau begitu sahaja," tambahnya.

Sementara itu Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Abdul Rahman Kadir dan Pesuruhjaya PAS Negeri, Mohd Hamdan Abdul Rahman dalam ucapan masing-masing di majlis 'Dialog Melayu Terpinggir' baru-baru ini jelas mengatakan kegagalan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk menangani masalah tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bungah, Tan Sri Koh Tsu Koon kata mereka, gagal berfungsi bagi mengimbangi sosio ekonomi antara kaum di situ. Sepatutnya, beliau yang bertindak sebagai Ketua Menteri cuba jadikan Dun Tanjung Bungah sebagai contoh pembangunan yang seimbang untuk semua rakyat tanpa mengira bangsa.

"Sekarang ini jelas dasar Kerajaan Negeri telah gagal sehingga kelihatan berat sebelah. Tidak hairanlah Perdana Menteri sanggup menegur secara terbuka," tegas kedua-dua ahli pembangkang itu. Sebelum itu, PAS Kawasan Bukit Bendera menerusi Ketua Dewan Pemudanya, Saiful Lizan Mohd Yusuf menyerahkan memorandum penduduk kepada Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Abdul Rahman Kadir.