MELAYU TERPINGGIR PULAU PINANG Rakyat Pulau Pinang akui dakwaan Dr Mahathir
PULAU PINANG:-Penduduk sekitar perkampungan Jelutong mengakui kebenaran dakwaan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr.
Mahathir Mohamad bahawa pembangunan yang tidak seimbang membuatkan banyak kawasan di negeri itu kelihatan seperti di zaman perang dunia kedua.
Tinjauan Harakah ke beberapa buah kampung sekitar Jelutong lalu mendapati keadaan rumah yang tidak tersusun menyebabkan fenomena itu berlaku. Baunya yang hanyir, kotor dan meloyakan memedihkan mata yang memandang.
Ramai penduduk yang ditemui mengesahkan apa yang dikatakan Dr Mahathir kerana pembangunan yang tidak seimbang membuatkan mereka terus berputih mata daripada menikmati pembangunan sebenar.
Wakil penduduk Kampung Kota Giam, Abdul Majid Khan, 58 berkata, selama 27 tahun menetap di sini semua pembangunan yang dicanangkan tidak pernah dirasai sebaliknya sekadar melihat kerana harganya yang terlalu tinggi.
Tambah beliau, penduduk tidak mampu membeli rumah yang ditawarkan kerana rata-rata mereka berpendapatan rendah dan sederhana. "Kami hanya berputih mata bila melihat pembangunan didirikan kerana tidak mampu
memilikinya, " jelasnya yang juga seorang pesara.
Hamid Othman, 49, pula membidas kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana tidak menyediakan pembangunan yang seimbang dengan rakyat sebaliknya terlalu mengutamakan projek tertaraf mewah. "Kita tidak tentang
pembangunan yang membawa kebaikan kepada semua. Cuma apa yang kita kesal ialah pembinaan projek terlalu mewah sehingga kami diabaikan, " ujar beliau. Menurutnya lagi, sebagai contoh pembangunan di Kampung
Tengah, Jelutong di mana pemaju lebih suka mengejar keuntungan dengan mengutamakan projek besar seperti Pangsapuri Idaman yang bernilai RM80 ribu dan Pangsapuri Mutiara Idaman berharga RM90 ribu ke atas.
Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Jelutong, Ustaz Taqiyudin Hamzah ketika mengulas perkara itu menjelaskan, kerajaan Kerajaan Negeri sepatutnya mengutamakan pembangunan mesra rakyat bukannya membiarkan pemaju
mendirikan projek mewah sahaja. "Buatlah perubahan dalam pilihan raya ini sebagai hukuman kepada BN yang tidak langsung prihatin terhadap pembangunan seimbang terutamanya membabitkan kawasan melayu, "
tegasnya kesal.
|