Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

Memo untuk Ketua Menteri Dari Rakyat Jelutong
Harian Metro 22/8/2003
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


GEORGETOWN: Akibat aduan tidak dilayan selepas dua tahun, penduduk lima kampung sekitar Jelutong di sini, menghantar memorandum kepada Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, semalam.

Penduduk Kampung Hj Mat Taib, Kampung Madrasah, Kampung Tengah, Kampung Hajah Rahman dan Kampung Pokok Assam, menghadapi pelbagai masalah seperti banjir, sistem perparitan tidak sempurna dan saluran najis pecah.

Memorandum disampaikan lima penduduk mewakili lima kampung berkenaan kepada Pembantu Khas Ketua Menteri, Cheang Chee Gooi, di Aras 3, Komtar, pada jam 10.30 pagi.

Timbalan Pengerusi, Badan Bertindak Banjir Kawasan Jelutong, Zarus Yusoff, berkata, masalah banjir dihadapi lebih 800 penduduk lima kampung itu sudah berlarutan sejak dua tahun lalu.

“Masalah timbul apabila projek pembinaan pangsapuri setinggi 21 tingkat dilakukan berhampiran kawasan perkampungan kami.

“Sebelum ini kami sudah membuat aduan kepada pelbagai pihak, termasuk pemaju projek, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

“Namun, tiada sebarang tindakan diambil. Jadi, hari ini (semalam) kami mengambil keputusan menyerahkan memorandum mengenai masalah kami kepada Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berharap, penyerahan memorandum membolehkan Koh mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi masalah itu.

Menurutnya, 53 daripada kira-kira 800 penduduk terbabit turut melantik peguam bagi mewakili mereka dalam usaha mendapatkan tuntutan ganti rugi daripada pemaju projek pangsapuri.

Zarus berkata, banjir paling teruk berlaku dua kali pada Julai lalu disebabkan sistem perparitan di kampung mereka melimpah dan tersumbat.

“Akibatnya, sebahagian penduduk kampung mengalami kerugian dianggarkan lebih RM500,000 selepas harta benda dan kenderaan mereka rosak,” katanya.