Hantarkan Komen Anda Terhadap Isu Ini!get this gear!

PAS bantah Pejabat Daerah jadi kuda tunggangan Umno

Permatang Pauh :--Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang bersama Dewan Pemuda PAS Permatang Pauh telah menyerahkan memorandum bantahan penyalahgunaan agensi kerajaan oleh Umno kepada Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Ini kerana, agensi kerajaan itu terlibat dengan program 'Pemuda Masuk Kampung' anjuran Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Pemuda Pulau Pinang dan Pemuda Bahagian Permatang Pauh. Memorandum tersebut diserahkan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Saudara Azizi Ayob kepada Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Puan Siti Asmah Saleh di pejabatnya sekitar jam 10.20 pagi (15 Ogos 2003) tadi.
 
Hadir sama dalam rombongan tersebut ialah Yang DiPertua PAS Kawasan, Omar Hasan, Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan, Haji Abdul Rahim Hasan serta beberapa orang Ahli Jawatankuasa Pemuda. Menurut Azizi, Pejabat Daerah SPT tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana menyalahi prinsipnya sebagai sebuah agensi kerajaan.

Katanya lagi, tindakan tersebut boleh melunturkan kepercayaan orang ramai terhadap Pejabat Daerah yang diamanahkan untuk membangunkan sesebuah kawasan. "Dewan Pemuda PAS Negeri merasa kecewa terhadap Pejabat Daerah SPT kerana sanggup menjadi kuda tunggangan Umno untuk memaksa pelajar dan kakitangan kerajaan menyertai program mereka, " jelasnya dalam pertemuan tersebut.

Memorandum itu dilakukan kerana surat Pejabat Daerah SPT bertarikh 8 Ogos telah mengarahkan semua kakitangan kerajaan dan pelajar menyertai program 'Pemuda Masuk Kampung' yang diadakan di Padang Taman Guar Perahu pada 16 Ogos 2003 jam 8.30 malam.

Tetamu kehormat yang hadir dalam program tersebut ialah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malayia, Dato' Hishamudin Tun Husein, Dato' Mohamed Nazri Tan Sri Aziz dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon. Dewan Pemuda PAS Negeri iaitu Exco pemuda saudara Helmi telah membuat laporan Polis di balai Polis Seberang Jaya dan balai Polis Bukit Mertajam atas bantahan penyalahgunaan agensi kerajaan oleh Umno kepada Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pada 16 Ogos 2003 jam 10.00 pagi.

Hadir sama dalam membuat laporan Polis ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Saudara Azizi, Haji Abdul Rahim Hasan,Saiful Lizan serta beberapa orang Ahli Jawatankuasa Pemuda kawasan Permatang Pauh dan Bukit Mertajam.