Penduduk Bantah Umno Bina Bangunan Atas Kubur JELUTONG, 31 Dis (Hrkh)- Penduduk Kampung Makam, Jelutong membantah pembinaan semula bangunan Umno setinggi dua tingkat di atas tanah
perkuburan Masjid kampung berkenaan.
Menurut salah seorang penduduk, Hajjah Fatimah Kasim, bangunan itu tidak wajar didirikan kerana ianya jelas dibina di atas 40 kubur serta menutupi laluan sedia ada.
Bukan itu sahaja bahkan, aktivitinya juga sering menganggu jemaah yang sedang bersolat kerana jarak antara masjid dan bangunan tersebut hanyalah lima kaki. "Memang wajar ianya dibantah kerana segala
aktiviti seperti tarian, boria dan sebagainya di adakan disitu sehingga menganggu keselesaan jemaah. Paling menyedihkan tarian terus diadakan pada sebelah malam dalam bulan Ramadhan lalu, " ujarnya.
Pengerusi Persatuan Belia Kampung Makam, Mahmud Halim pula berkata, anak-anak muda boleh lalai apabila menyertai majlis yang diadakan di situ. Sambungnya, Persatuan Belia juga pernah mencadangkan kepada Majlis
Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) supaya merobohkannya namun tiada apa-apa tindakan diambil. "Kami juga kesal kerana MPPP tidak bertindak merobohkan kerana pembinaannya telah dibuat secara haram, " kata
beliau.
Sementara itu, Ketua PAS Cawangan Kampung Makam, Salim Hashim menambah, sepatutnya Majlis Agama Islam (Maipp) masuk campur segera supaya kerja-kerja tidak diteruskan kerana pembinaannya di atas tanah
perkuburan. "Maipp tidak wajar biarkan kerana pernah suatu ketika Umno Bahagian Jelutong mengepung masjid memarahi seorang penceramah kerana dikatakan mencaci kerajaan sedangkan mereka sendiri tidak
menghiraukan nasihat qariah masjid apabila mengadakan majlis tari menari di bulan Ramadhan lalu, "tegasnya.
|